Thursday, April 17, 2008

Beego ada masalah rumahtangga??

IKATAN perkahwinan yang dibina belum pun mencecah empat bulan usianya. Namun gelodak rumah tangganya bagai tidak boleh disembunyikan lagi apabila semakin banyak diperkatakan orang.

Apatah lagi bila kisah itu dihidu pihak media, memang tak senang duduk jadinya yang empunya diri.

Bekas anggota kumpulan Phynne Ballerz, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah bernikahi dengan isterinya Intan Shahira Mohd. Shahru pada 28 Disember 2007.

Namun akhir-akhir ini heboh desas-desus mengatakan sudah ada masalah dalam rumahtangga yang baru dibina itu.

Kononnya ada retak yang menanti belah dalam perkahwinan dua anak muda yang menganyam benang cinta selama hampir satu dekad itu.

Yang menjadi tanda tanya orang, bercinta sekian lama kenapa keindahan perkahwinan hanya seketika cuma?

Ditanya tentang persoalan berkenaan dan rumahtangganya yang dikatakan bergolak, Beego enggan mengulas terlalu banyak. Apa yang dia mahu katakan hanyalah "Tunggulah. Segalanya akan diselesaikan tidak lama lagi," kata Beego kepada media ketika ditemui dengan nada penuh rahsia.

Melihat jauh ke dalam diri Beego, ada rasa kasihan yang bertamu di dada. Sehebat ini cabaran perkahwinan rupa-rupanya tetapi Beego masih mampu untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.


BEEGO kelihatan sedikit kurus dan cengkung kala pertemuan terbarunya dengan media kelmarin.


Tidak kurang juga khabar yang disebar merata kononnya punca permasalahan itu ekoran daripada kasih sayang yang tidak ikhlas.

Beego dituduh mengahwini isterinya semata-mata kerana harta, bukan berteraskan kasih sayang yang sejati. Teruk benar tuduhan itu dan Beego sendiri mengaku dia agak terkesima dengan pelbagai tuduhan tidak berasas itu.

Sudah pastinya dia menolak dakwaan itu sekeras-kerasnya.

"Ini saya nak betulkan fakta yang salah. Saya berkahwin dengan isteri saya bukan kerana harta. Kami sudah kenal hampir sembilan tahun.

"Waktu itu umur baru belasan tahun, mana fikir soal harta lagi? Saya pun tak tahu kenapa perkara ini dihebohkan orang. Itu semua fitnah!" tegas Beego. Masih dengan emosi yang cukup tenang, Beego meminta supaya media memahami keadaan dirinya dan tidak diasak dengan persoalan yang lebih bersifat peribadi.

Masih suami isteri

Pun sudah semulajadi tugas media untuk mengkhabarkan perkembangan terbaru artis, mahu juga bertanya apakah benar bagai dikata yang rumahtangga mereka menuju sedang kehancuran?


PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta setelah sembilan tahun bercinta.


Beego tidak mahu menjawab soalan berkenaan sebaliknya memilih untuk bercerita secara 'kawan-kawan' sahaja, bukan untuk dipaparkan di media.

Pun katanya, sehingga ke hari di temu bual, Selasa lepas, dia masih lagi suami yang sah kepada wanita berkenaan.

Jejaka berusia 28 tahun ini yang mula popular dengan drama bersiri Puteri ini menjelaskan dia dan isterinya saat ini kekal sebagai pasangan suami isteri, bukan seperti yang dilaporkan.

"Yang boleh saya katakan, kami masih lagi suami isteri. Orang tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi antara kami. Mereka tidak kenal isteri saya, mereka senang sahaja hendak memfitnah dia dan saya tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Pada saya mereka yang suka mengata macam-macam ini tidak lebih hanya membuat dosa. Biarlah kami menyelesaikan masalah kami dengan tenang" tegasnya lagi.

Banyak cerita fitnah

Apa pun jelas Beego impak daripada isu rumah tangganya menjadi perhatian media, ia nyata telah mengguris naluri kelelakiannya.

Sebagai insan seni Beego tahu dia tidak mampu untuk menangkis segala kata-kata fitnah yang bertebaran tentang dirinya dan isteri.

"Saya sedih dan marah sebenarnya. Sebab banyak cerita yang dilaporkan terutamanya di internet semuanya tidak betul sama sekali.

"Namun, banyak mana pun saya cakap mereka masih nak mengata buruk tentang saya, terpulanglah," katanya lagi yang ditemui pada majlis Astro MegaDrama di Cathay Cineleisure, Damansara kelmarin.


BEEGO dan isteri di hari bersejarah mereka pada Disember lalu.


Dihalau Aziz M. Osman

Walaupun dilanda masalah peribadi, pintu rezeki Beego nyata masih terbuka luas. Buktinya, drama bersiri lakonannya yang berjudul Bicara Cinta bakal ditayangkan di Astro Prima bermula 7 Mei ini.

Digandingkan bersama Fazura, Zizie Izzette dan Aqasha, Beego memberitahu drama ini berlainan dengan drama lakonannya sebelum ini. Ini kerana ia adalah drama pertama yang dilakonkan bukan dengan arahan Aziz M.Osman tetapi oleh Rashid Sibir

"Orang mengenali saya menerusi drama Puteri. Mungkin kerana saya terlalu lama bersama Aziz sebab itu orang lain takut hendak beri tawaran kepada saya seolah-olah saya ada kontrak pula dengan Aziz.

"Sampai Aziz sendiri halau saya untuk cuba keluar daripada drama arahannya kerana ingin memberi peluang lain buat saya. Syukur Alhamdulillah, kemudiannya saya menerima tawaran daripada Rashid pula," ujarnya.

Menurut Beego lagi, selepas ini banyak lagi projek drama yang menanti, antaranya drama berjudul Exora juga lakonan bersama Fazura.

"Kalau dalam drama Bicara Cinta, Fazura heroin kepada Aqasha tetapi untuk Exora dia menjadi heroin saya pula," seloroh Beego.

Tambahnya lagi, pengalaman berlakon di bawah pengarah seperti Rashid Sibir memberinya satu pengalaman yang cukup berguna dan berharap drama ini akan diterima ramai.

"Biasanya drama arahan Rashid pasti mengalirkan air mata. Dan drama ini memang ada elemen itu cuma apa yang lain itu kenalah nantikan tayangannya," bicaranya.


KENANGAN pada majlis resepsi meriah yang dihadiri banyak rakan artis.

Wednesday, April 16, 2008

Hantaran Kahwin Rosma RM 16,161.61


Nampaknya kini penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Rosma dan Khai bakal dinikahkan pada tanggal 26 April 2008. Peciter ingatkan mereka akan bernikah selepas Khai menyertai Ikon. Rupa-rupanya tak sampai dua minggu lagi mereka akan disatukan sebagai pasangan suami. Pernikahan mereka akan berlangsung di Masjid Putrajaya pada jam 11 pagi. Pasangan cantik sama padan ini akan bersanding di Dewan Persidangan Putrajaya pada 27 April jam 8 malam. Untuk majlis persandingan mereka, dijangka 800 tetamu akan memenuhi Dewan Persidangan Putrajaya Wah! Nampaknya Rosma dan Khai telah pun bertemu tarikh yang sesuai untuk majlis bersejarah mereka. Ini kerana mereka berdua sebelum ni tercari-cari tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan dan persandingan tersebut memandangkan masing-masing begitu sibuk dengan pelbagai komitmen.

Rosma dan Khai dibantu oleh Fizi, Pengurusnya dalam membuat segala persiapan perkahwinan terutamanya pelamin. Pasangan ini memilih konsep kontemporari untuk pelamin mereka berdua. Manakala dengar ceritanya hantaran Khai untuk Rosma sebanyak RM16,161.61! Wah semuanya main belas-belas ribu yer...Apa yang bestnya, Rosma dan Khai mendapat tajaan dari banyak pihak. Cuma selepas sahaja majlis berlangsung barulah mereka berdua bersedia untuk mendedahkan siapa penaja-penaja tersebut. Apa yang pasti Aura Seri telah bermurah hati menaja perbelanjaan destinasi berbulan madu dan spa. Amboi. Bertuah lah badan yer.. artis yang tak banyak kerenah macam mereka berdua, sentiasa disenangi oleh ramai pihak. Maka dihari bersejarah mereka, ramailah pihak yang bermurah hati memberi penajaan.

Rosma ketika dihubungi masih sibuk ke hulu ke hilir membuat persiapan perkahwinannya. "Kepala kusut, hati berdebar-debar"..Biasalah. Semua bakal pengantin akan merasakan perkara yang sama. Di majlis persandingan itu nanti, Rosma dan Khai akan memakai dua persalinan iaitu baju bersanding berwarna krim terquoise dan gaun potong kek berwarna krim. Di pihak lelaki mereka akan membawa 9 dulang hantaran manakala pihak perempuan akan membalas sebanyak 11 dulang hantaran.

Apa yang menariknya, Rosma dan Khai akan menyanyikan sebuah lagu Khai yang judul asalnya Kini Kau Tiada Lagi menjadi Kini Kau Di Sisiku. Menurut Rosma, Khai telah mengubah lirik lagu tersebut. Adoi...Peciter tak dapat bayangkan betapa romantiknya Rosma dan Khai menyanyikan lagu itu. Harapan Peciter, agar mahligai yang bakal dibina pasangan ini akan berkekalan hingga ke akhirnya. Selamat Pengantin Baru, Rosma & Khai.

Luahan Hati Ifa Raziah


Assalamualaikum…salam sayang dari saya Ifa Raziah…saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada JomStar kerna memberi saya ruang untuk muncul dialam siber ini dan berkongsi pengalaman saya dengan rakan baik saya Azwan Ali…

Sebelum saya memulakan rentetan kisah antara Ifa Raziah dan Azwan Ali ini…saya ingin memohon maaf pada penonton & pengacara rancangan kring…kring di Astro Ria pada 13/4/08, kerana saya terlalu emosional…saya kurang berpengalaman dalam hal bergaduh dengan rakan-rakan artis, jadi apabila mengenangkan apa yang berlaku …saya sedikit meledak…maafkan saya.

Azwan sentiasa mencanangkan kepada media bahawa saya mencetuskan kontroversi dan membuat publisiti murahan.

Pada saya, kontroversi ini telah dicetuskan oleh Azwan Ali sendiri dan saya akui, saya cuma memberi publisiti sahaja kepada kisah benar ini. Sebagai public figure atau selebriti, peminat berhak mengetahui apa yang berlaku kepada artis kegemaran mereka.

Siapa Azwan Ali..nak melabelkan publisiti itu murah atau mahal? Publisiti itu baik atau buruk ? Adakah jika beliau dikritik, publisiti itu akan menjadi murah…tetapi apabila Azwan menghentam orang, publisiti itu baik!

Kalau kisah ini dikatakan publisiti murahan…mengapa ia mendapat liputan yang begitu meluas dan hebat sekali di seluruh negara, malah sampai juga ke negara jiran iaitu singapura?

Atau adakah Azwan Ali ingin menyatakan bahawa para wartawan dimalaysia ini tidak pandai menilai artikel – artikel yang mereka hasilkan? Sehingga terhasilnya publisiti murahan ini…

Saya tidak perbesarkan isu remeh seperti yang didakwa…isu “tak boleh guna bilik” adalah sebahagian daripada keseluruhan episod ‘aku berlagak diva’ ini.

Tapi isu yang saya bangkitkan & persoalkan pada Azwan ialah mengapa beliau sanggup mempermainkan diri saya yang dianggapnya kawan baik? Kenapa menuduh saya akan mencuri barangnya…? Mengapa pula dia sanggup memperlakukan P.A sebegitu kejam tanpa belas kasihan?

Tetapi saya pula yang ditempelak oleh Azwan didalam ‘melodi’…katanya “beginikah ifa melayan kawan baiknya?” Saya rasa soalan itu patut ditanya oleh Azwan pada dirinya sendiri . Kalau betul dia ikhlas mengaku saya rakan ‘cium molot’ nya…dia tidak akan buat saya seperti mana yang dilakukannya di Genting Highlands.

Bukan nya saya tidak mampu untuk menyewa bilik (seperti yang didakwa oleh Azwan)…suami saya telah pun beratur menunggu giliran untuk mendapatkan bilik, tetapi kami terpaksa menunggu seramai 200 orang lagi sebelum giliran kami. Pukul berapa saya akan dapat bilik???

Sedangkan saya kesuntukkan masa, kerana saya perlu bersiap dalam masa tidak kurang 2 jam sahaja. Sebab itulah saya menerima pelawaan peminat saya (Nurul Husna) untuk bersiap dibiliknya.

Yang menyentuh hati saya, ialah apabila Nurul sanggup meninggalkan kami dibiliknya tanpa sebarang syak wasangka, dan barang milik mereka dibiarkan begitu saja. Peminat yang baru 5 minit saya kenali boleh mempercayai saya ??? Sedangkan kawan baik saya,…risau saya akan mencuri baranganya!?

Inilah isu sebenarnya!!!...Bukan ‘Ifa tak mampu sewa bilik sendiri’ atau ‘Ifa cari publisiti murahan’…dia sendiri yang mempelawa saya, dan rancang bersama saya…tapi akhirnya dia yang mempermainkan saya.

Kata Azwan lagi, “saya sampai lambat, janji tengah hari, tetapi sampai petang ”. Saya tak berjanji dengannya untuk tiba pada tengah hari . Buat apa saya nak pergi awal sangat? Kalau saya sampai awal sudah tentu saya akan menyempitkan lagi biliknya. Macam mana Azwan nak berehat? Saya mahu dia berehat…jadi saya sampailah dalam jam 4 petang. Dengan harapan supaya Azwan sudah cukup berehat.

Yang peliknya apabila saya sampai, dia mengarahkan P.A nya untuk menipu saya (ini diakui sendiri oleh P.A nya) dengan mengatakan dia tiada dibilik, dan mereka berada disatu majlis di hotel lain. Jadi kami terpaksa tunggu di lobi. Tapi mungkin tuhan nak tunjuk…tanpa disedari mereka bertiga lalu betul-betul depan saya, dan Azwan hanya mampu membuat lambaian ‘diva’nya…tanpa menegur saya walau sepatah ayat.

Perancangan untuk berjalan di red carpet dan untuk duduk bersama, juga telah di batalkan oleh Azwan. Dalam satu temuramah radio Suria FM …Azwan menuduh saya sebagai ‘seorang artis yang gila glamour dan gila publisiti…sehingga sanggup mengenepikan suaminya…’

Semasa menjadi jemputan untuk majlis juara lagu 07, baru-baru ini… Azwan telah meminta izin dari suami saya untuk berjalan dan duduk dengan saya…tak pula perkara ini menjadi isu! Mungkin masa itu dia bukan calon atau finalis…jadi setaraf lah untuk berjalan dan duduk dengan saya. Suami saya pun bukannya kemaruk nak publisiti…

“Calon ke dia…nak duduk dengan saya? Nanti apa kata industri jika Ifa Raziah duduk ditempat calon?” kata Azwan lagi dalam Suria FM. Peminat boleh menilaikan sendiri kata-kata Azwan ini…barulah saya nampak warna sebenar Azwan Ali…barulah saya sedar dengan apa yang pernah dinasihatkan oleh bekas-bekas rakan baik Azwan yang tumpas dalam persahabatan dengannya. Saya nak duduk disebelah Azwan bukan untuk perasan tercalon…tapi saya ingin duduk disitu sebagai rakan baik Azwan Ali…saya ingin menyokong dia sama ada dia menang atau pun kalah… Akhirnya inikah balasan yang saya terima???

Mungkin juga ada hikmahnya saya tidak dibenarkan duduk ditempat calon tersebut, kerana saya tidak perlu menanggung “boo” yang dilemparkan oleh penonton apabila namanya disebut… tempias “boo” itu terpaksa ditanggung oleh ‘wanita atau lelaki’ yang lebih layak duduk disebelah calon ‘top 5’ tersebut…itu industri tak kata?

Azwan mengatakan dia menegur saya didalam wawancara, depan kamera Gua.Com… Memang saya akui perkara ini, tapi itu semua berlaku didepan kamera…saya telah ditarik oleh krew untuk temuramah itu. Nak tak nak, saya teruskan jugalah. Tak mungkin saya nak memarahi dia dihadapan kamera, begitu juga sebaliknya. Azwan & saya profesional, kami tahu meletakkan profesionalisme kami sebagai artis & pengacara, lebih utama dari perasaan atau emosi.

Rakaman itu tidak membuktikan apa-apa. Selepas wawancara tersebut, beliau tetap meneruskan perangai ‘diva’nya itu. Jauh disudut hati saya, tak mengapalah…dia tak nak tegur saya, dia calon
Top 5…saya ni siapa? Saya hanyalah artis publisiti murahan, yang hanya menyangka dirinya mempunyai kawan rapat bernama Azwan Ali…

Sekali lagi, Azwan mengatakan saya menfitnahnya dan mengatakan saya tidak pergi ke post party. Memang saya nampak Azwan makan disana…tapi untuk pengetahuan semua…saya adalah antara artis yang pulang paling lewat dari post party tersebut. Saya dan rakan artis yang lain berjoget beramai - ramai…berpoco - poco bagai nak rak! Antara yang menari bersama saya…Iqram Dinzly, Irma Hasmi, Fazly Zainal, Farah Asyikin, Kumpulan Kool dan ramai lagi artis popular. Dato Manja & Dato Farid Ridzuan pun turut berjoget bersama kami! Lensa kamera berita harian juga turut merakam aksi celebrti popular ini. Azwan yang balik cepat…mungkin ingin menghirup udara dingin & segar genting highlands, pada malam yang panas itu.

Tomahan seterusnya oleh saya… “Azwan langsung tidak menghubungi saya”, sedangkan dia telefon saya sebanyak dua kali ( dalam Melodi TV3). Untuk pengetahuan cik Azwan…rakaman tersebut telah dilakukan pada hari isnin jam 4 petang. Dia pula menelefon saya dalam jam 6.30 petang, dan hari jumaat minggu yang sama. Memang saya akui perkara ini. Tetapi saya tidak mampu untuk menarik balik rakaman yang telah dibuat oleh melodi. Saya memohon maaf atas kesilapan teknikal ini.

Apa bezanya Azwan menelefon saya dua kali atau empat puluh kali? Atau seratus kali? Sekadar telefon saya untuk menyatakan “semalam memang sengaja aku buat macam tu…tak nak kau tumpang bilik aku…sebab aku feeling aku diva…kalau kau nak tersentap, pergilah mampus!”. Itulah kata – kata yang telah dinyatakan oleh kawan baik saya, yang telah melukakan hati saya, memperbodohkan saya…dan kemudian memberi kenyataan dalam berita minggu, dia hanya bergurau!!??

Antara kenyataannya dalam berita minggu “saya antara yang popular…itu hak saya. Tipulah kalau saya tidak rasa ego bila sudah menjadi ‘top 5’. Berjalan dikarpet merah sebagai calon memang lain rasanya berbanding bukan finalis.”

Dalam perbualan telefon tersebut, langsung tiada perasaan bersalah atau bertujuan untuk memohon maaf kepada saya.

“Seperkara lagi, mengapa dia sibuk-sibuk pasal pembantu saya. Sebagai majikan…” petikan kata-kata dari Azwan.

Saya pun tertanya-tanya soalan yang sama… kenapa perlu Ifa & suami mengambil kisah tentang Kelly (pembantu Azwan) yang terlantar kesakitan menunggu maut, di First World Clinic? Apa perlunya saya melihat Kelly yang meraung mengerang kesakitan?…kenapa saya sibuk nak uruskan ambulans yang membawa Kelly ke Hospital Besar Kuala Lumpur? Buat apa saya sibuk nak bayar bil Kelly yang mencecah ratusan ringgit? Azwankan majikannya? Azwankan ada? ….. “Encik Azwan tak datang la Kak Ifa. Kami dah call berkali-kali…sekali je ada orang jawab…dia kata ok…ok, lepas tu letak” kata pekerja klinik. Setelah menunggu agak lama, yang datang untuk menjengguk kelly ialah make up artisnya…atas arahan Azwan untuk mengambil tiket parking!!??

Memang betul kata Azwan…kenapa sibuk-sibuk pasal pembantunya yang menurut doktor di HKL…jika terlambat sedikit lagi, Kelly mungkin kehilangan buah pinggangnya. Kelly diserang gastrik yang teruk sehingga asid telah masuk ke buah pingang kelly. P.A dia tak diberi makan ke?

Jadi kenapa sibuk-sibuk pasal pembantunya??? Mungkin sebab saya ni manusia! …insan yang tak sampai hati melihat insan lain dalam kesakitan… Mungkin juga sebab kelly tu kawan saya…kerana apabila saya berkawan baik dengan Azwan, secara tak langsung, saya & suami juga menjadi akrab dengan Kelly.

Kenyataan seterusnya… “dia perlu ingat, siapa yang banyak membantu dia sebelum ini…” dalam melodi pula “artis-artis yang buat hal dengan Azwan Ali adalah artis yang tidak mengenang jasa…mereka dibangunkan, dibesarkan, dihidupkan oleh Azwan Ali…” Kepada peminat Roslan Shah…sudah pasti anda ingat ayat – ayat ini…ayat yang sama kini digunakan untuk menghentam saya.

Berdasarkan kenyataan dalam melodi 13-4-08, nampaknya ramai juga artis – artis yang telah dibangunkan, dihidupkan & mungkin di popularkan oleh Azwan, “rakan baik” saya ini. Antaranya Sheila Rusly, Chef Wan, Jaafar Onn, Roslan Shah, Adibah Noor. Terbaru Ifa Raziah, dan yang paling hebat dan menakjubkan …pengacara no. 1 negara…Aznil Hj Nawawi !!!

Pada pendapat saya, Azwan tentu berbangga dengan pencapaian yang telah beliau lakukan setelah 20 tahun berada didalam industri ini. Semua nama artis ini telah menunjukkan pencapaian yang amat drastik & mengkagumkan. Masing-masing telah mempuyai karier yang jauh maju kehadapan. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Azwan Ali.

Akhir sekali, saya bukan berniat untuk mencari publisiti murahan…niat saya supaya Azwan muhasabah diri, cermin diri sendiri….Tanya diri sendiri, bila nak berhenti dari mencetuskan kontroversi…bila nak berhenti bergaduh dengan orang? Bila nak berhenti maki - hamun orang? Tidak perlulah berbangga hanya kerana menjadi calon ‘top 5’, kerana hidup ini umpama roda…kadang kita diatas, kadang engkau dibawah…
Semoga cerita penganiayaan terhadap saya dan pekerjanya sendiri, Kelly…dapat dikongsi dan dijadikan teladan.

Tidak perlulah berpesan kepada semua pihak supaya berhati-hati dengan Ifa Raziah…kerana banyak pihak sudah mengenali siapa Ifa Raziah… dan rasanya lebih banyak pihak juga yang sudah mengenali siapa Azwan ali…

-Ifa Raziah
14 april 2008

Adam AF2 Kekasih Juliana Evans?


Pengacara rancangan Remaja yang cantik dan berwajah Pan Asian, Juliana Evans khabarnya amat akrab dengan penyanyi Adam AF2. Malah kelibat pasangan ini dilihat begitu intim ketika berada di Anugerah Bintang Popular di Genting Highland baru-baru ini. Fotografi dengan Juliana Evans memberi kesempatan untuk saya bertanyakan apakah sebenar bentuk perhubungan di antara pasangan sama cantik sama padan ini. Adakah benar mereka sedang bercinta atau sebaliknya? Kemesraan di antara mereka berdua dapat dilihat dengan jelas apabila mereka ke mana sahaja berdua semasa Post Party diadakan. Agaknya apa komen Juliana apabila diajukan pertanyaan sedemikan. "Adam adalah kawan baik saya. Kami memang dah berkawan semenjak dia keluar dari AF2 lagi. Memang dia ada menemankan saya pada malam ABP di Genting Highland. Hubungan antara kami tak ada apa yang istimewa melainkan kawan baik. Dia seorang lelaki yang menyenangkan, soft spoken dan begitu mengambil berat. Saya rasa tak salah kalau saya dan dia berkawan sementelahan lagi kami berdua berada di bidang seni yang sama. Saya bercakap berlapik. Memang saya dan Adam tak ada hubungan istimewa. Kalau akan datang, saya tak tahu. Itu kuasa Tuhan. Sekarang saya akui saya sudah pun ada teman istimewa seorang ahli perniagaan. Dia bukan orang seni dan tiga tahun tua dari saya. Saya mengenalinya sudah setahun setengah dan selama perhubungan ni saya senang dengan dia. Jadi sedikit sebanyak dakwaan kononnya saya teman istimewa Adam, tidak betul sama sekali " akui Juliana tenang.

Gosip Melampau
Juliana Evans yang menceburkan diri dalam bidang pengacaraan seawal usia 12 tahun apabila mengacarakan rancangan kanak-kanak E-Zone di saluran Astro Ria. Wajah Pan-Asiannya memberi satu kelebihan kepada Juliana untuk mengatur langkahnya dalam bidang seni. Selain mengacara rancangan Remaja, Juliana juga turut berlakon dalam filem Kami The Movie dan drama bersiri Kami. Tidak mahu dikenali sebagai pengacara dan pelakon yang kosong ilmu, Juliana juga tidak mahu mencipta nama menerusi gosip melampau dan kontroversi yang menjatuhkan dirinya. Apatah lagi berbekalkan wajah Pan Asian yang dimilikinya, kebiasaannya amat mudah bagi wajah-wajah seperti Juliana menempatkan diri dalam bidang lakonan terutamanya. Namun pendapat Juliana pula lain. Bagi Juliana dia bermula dari bawah. Jika hendak dibandingkan dengan peserta program realiti tv, mereka lebih menonjol dan diberi peluang berlakon.

"Muka Pan Asian pada kebiasaannya memang senang laku. Tapi sekarang ni, pihak produksi drama dan filem lebih tertumpu kepada mereka yang lahir dari program realiti tv. Mereka lagi senang mendapat tawaran berlakon.tambahan mereka telah membina nama mereka sendiri ketika berada dalam program realiti yang mereka masuk. Bercakap tentang gosip dan kontroversi, saya bukan orangnya yang suka terlibat dalam kontroversi. Ibu bapa saya sudah berpesan untuk menjaga nama baik mereka. Saya sedaya upaya menghindarkan diri dari pergi ke tempat-tempat yang boleh mengudang orang berkata perkara tidak baik tentang saya. Saya hanya remaja biasa kalau tak di set pengambaran. Saya masih melepak di tempat yang biasa saya dan kawan-kawan berjumpa. Dari kecil lagi saya dah melibatkan diri dalam bidang pengacaraan jadi tidak timbul soal saya ingin mencari glamour bila terjun ke bidang ini. Saya hanya mengetengahkan sedikit kelebihan yang saya ada. Bidang seni ini saya anggap sudah mencari kerjaya saya. Jadi saya perlu jaga nama baik semua dan diri sendiri" ujar Juliana yang suka bersukan dan membeli belah ini.

Parut Di Muka

Di dalam hidup artis remaja cantik ini, Juliana Evans telah mengalami dua kali pengalaman pahit. Kali pertama ketika dia berusia 4 tahun.Kereta yang dipandu oleh salah seorang ahli keluarganya telah menghadapi kemalangan di mana muka Julia cedera apabila kereta tersebut terlanggar tiang. Sehingga kini, parut tersebut masih berbekas di pipinya. Kali kedua pula kereta yang dipandu Julia terlibat dalam kemalangan setelah tayar kereta yang dipandunya meletup. Dua insiden pahit di dalam hidupnya memberi kesan dan Juliana amat berhati-hati kini apabila memandu kereta.

"Parut di muka saya akibat kemalangan kereta ketika berusia 4 tahun masih ada। Apabila berlaku kemalangan kali kedua saya menjadi lebih berhati-hati. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan yang memudaratkan. Kadang-kadang teringat balik kemalangan yang terjadi membuat saya kecut juga. Saya bersyukur, walau dua kali berdepan dengan kemalangan, Tuhan masih memberi ruang untuk saya meneruskan hidup dan menyelamatkan saya dari kemalangan tersebut" kata Juliana mengimbas kemalangan pernah menimpanya.

Dicemburui
Adat hidup di dunia ini, pelbagai onak dan duri harus ditempuhi. Semuanya menuntut setiap dari kita agar sabar dalam mendepani segala macam dugaan. Adakala kita berjalan di jalan yang lurus, namun ada segelintir pihak yang tidak senang dengan tiap perjalanan yang kita lalui itu. Bila seseorang itu memiliki kelebihan seperti Juliana Evans yang berwajah Pan Asian dan terlibat dalam dunia glamour, ada juga pihak yang tidak senang dan mempunyai niat tidak baik terhadap gadis berbintang Cancer ini.

"Memang ada yang cemburukan saya. Ada yang menyebarkan khabar-khabar tidak baik tentang saya. Kalau melampau sangat apa tohmahan yang saya terima, selalunya saya akan menyiasat ke akar umbi dan terus berjumpa dengan orang yang membawa cerita tersebut. Saya lebih suka berdepan dengan orang yang tidak puas hati dengan saya agar segala kekeruhan dapat dijernihkan. Jika kita terus berdiam, nanti macam-macam cerita lain ditokok tambah. Sebaliknya, kalau gosip-gosip biasa tu saya malas nak layan. Saya buat tak tahu sahaja. Biasalah bila dah terlibat dalam bidang seni macam-macam orang kata. Maknanya kita memang menjadi perhatian masyarakat. Sejauh ini, tiada yang mengaibkan. Saya biasanya akan menjauhkan diri dari orang-orang yang nak jadikan saya kawan kerana nak glamer sekali. Kawan-kawan macam tu tak perlulah ada dalam hidup saya. Saya perlukan kawan yang ikhlas menerima saya kerana diri saya sendiri" tegas Juliana anak bongsu dari tiga beradik.

Tahun Depan Ke US

Untuk mengukuhkan kerjayanya di bidang seni, Juliana kini mengambil Ijazah Komunikasi Massa di Institut Help dan kini berada di tahun kedua pengajiannya. Mengikut perancangan, Juliana akan berlepas tahun depan meneruskan pengajiannya di US. Nyata pendapatan hasil dari bidang lakonan dan pengacaraan digunakan oleh Juliana untuk menampung pengajiannya nanti. Bagi Juliana selain laptop kesayangannya yang dibeli menerusi duit lakonan, membiayai perbelanjaan ketika di US nanti dengan menggunakan wang sendiri adalah satu keputusan. Walaupun menjadi anak bongsu yang sepatutnya manja dan menyerahkan semuanya pada keluarga, Juliana lebih suka berdikari sendiri.

Terbaru Juliana akan menjalani pengambaran sebuah filem Melayu Inggeris bertajuk 'Hooperz'. Memegang salah satu watak penting dalam filem itu, Juliana berhadap kerjayanya terus berkembang dan diterima ramai. Hooperz diterbitkan oleh tiga buah produksi iaitu KL Motion Pictures, Grand Billion dan MHZ Film.

Wednesday, April 9, 2008

Pengarah Senja Tak Sedar Diri

Ni Peciter nak cerita sikit pasal sorang pengarah filem yang baru saja selesai menghasilkan sebuah filem berunsur komedi yang bakal di tayangkan tak lama lagi di pawagam. Menurut sumber-sumber yang sampai ke telinga peciter ni pengarah tu khabarnya dia ni pantang tengok betis licin sikit terus nak diajak melakukan perbuatan yang kurang sopan. Adui apa nak jadi ni? Menurut sumber peciter ni lagi, si pengarah ni akan menggunakan kuasanya sebagai orang kuat dalam filem tu untuk menarik perhatian artis yang ingin diumpannya.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama cerita pasal pengarah ni sampai ke telinga peciter, dah banyak sangat dah sampai. Peciter nak komen banyak pun tak boleh sebab nanti kata peciter ni menyibuk tepi kain orang. Cuma apa yang boleh peciter cakap kat sini, peciter harap pengarah tu cepat-cepatlah bertaubat sebab usia tu pun dah nak masuk senja. Nasihat peciter kat artis-artis yang diluar sana, berhati-hatilah yer. Jangan kerana nak kejar glamer, body tergadai karier terbarai.

Artis ugut, pukul isteri

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG: Seorang pelakon filem dan drama yang popular sekitar awal 90-an, ditahan polis Sabtu lalu, selepas isterinya membuat laporan mendakwa tidak tahan dipukul secara berterusan oleh artis terbabit.

Malah, pemeriksaan dan hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pelakon berusia awal 40-an itu turut mendapati dia positif mengambil dadah dipercayai jenis syabu.

Dalam laporannya kepada polis, wanita berkenaan mengadu pelakon terbabit turut mengugut untuk mencederakannya.

Tidak tahan menanggung derita kerana sering dipukul dan bimbang terhadap ugutan dibuat pelakon terbabit, isterinya pasrah menyerahkan suami kepada polis untuk dikenakan tindakan sewajarnya.


Bagi menafikan perbuatannya, pelakon terbabit membuat laporan polis mendakwa dia tidak pernah mengugut isterinya.

Dia sebaliknya mendakwa isterinya sengaja mereka-reka cerita dan membuat laporan polis supaya dia ditahan.

Difahamkan, wanita itu sudah mendapatkan rawatan di hospital dan pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul dan ditampar.

Menurut sumber polis, pelakon terbabit ditahan selepas isterinya membuat laporan dia sering dipukul.

“Pelakon terbabit kemungkinan dibebaskan esok (hari ini), namun kami masih menyiasat perkara terbabit (kes pukul)” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Pelakon lelaki terbabit pernah dinobatkan sebagai pelakon lelaki popular pada zaman kemuncaknya, selain pernah menjadi hero remaja.

Malah, difahamkan ketika kariernya berada di kemuncak, banyak kontroversi dikaitkan dengan pelakon berkenaan tidak kira sama ada melalui filem yang dilakonkan atau dalam kehidupan realitinya sendiri.

Filem lakonannya pernah menggemparkan negara apabila dia bersama pelakon wanita pasangannya melakukan aksi panas dan berani dalam satu babak ketika berada di tepi pantai.

Selain itu, dia pernah ditahan pada 1994 atas kesalahan memandu tanpa memiliki lesen sah manakala cukai jalan kereta dipandunya pula sudah tamat tempoh.

Kesalahan dilakukannya itu mengundang padah apabila dia dihukum penjara sehari dan didenda RM1,100 selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan dia tidak dibenarkan memohon lesen memandu selama setahun.

Namun, kontroversi dan kisah panasnya tidak terhenti di situ apabila tidak lama selepas itu, dia ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) kerana disyaki bersekedudukan dan melakukan persetubuhan haram dengan seorang model dan pelakon sambilan.