Thursday, February 25, 2010

Zila Bakarin: Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul

Zila mahukan perubahan yang ikhlas lahir dari hati dan bukannya dirancang.

GELARAN ‘hot mama’ lebih sesuai untuk aktres Zila Bakarin yang bertubuh seksi walaupun baru melahirkan bayi sulungnya, Kaseh Azri yang berusia 10 bulan.

Mempunyai anak tidak menghalangnya untuk mengekalkan tubuh montok dan seksi. Zila akui ramai yang bertanyakan tentang perubahannya selepas berkahwin namun dia selesa sekiranya perubahan itu berlaku tanpa dirancang.

“Semua orang mahukan perubahan tetapi saya rela sekiranya perubahan itu berlaku bukan kerana dirancang.

“Memang ada sesetengah benda yang saya sudah berubah tetapi orang lain tak nampak. Apa yang orang nampak, itulah diri saya yang sebenar.

“Takkan tiba-tiba saya nak pakai baju kurung dan bertudung. Kalau boleh biarlah dengan rela hati kerana banyak perkara yang saya kena ubah,” kata Zila kepada mStar Online baru-baru ini.

Zila akui setiap perkara yang dirancang olehnya sebelum ini selalu tidak menjadi.

“Saya merupakan seorang yang last minute. Saya rasa tiada perkara yang saya nak ubah setakat ini dan hanya berserah.

“Setiap minit dan saat yang saya lalui sebagai suatu pengalaman. Misalnya, apa kelemahan yang saya nampak hari ini. Tetapi saya tidak harapkan perubahan yang ketara.

“Setiap perkara yang saya lakukan mengikut kata hati. Kalau saya tak buat hari ini, saya akan buat esok. Lama-kelamaan ia mungkin akan menjadi lebih baik,” ujar pelakon drama bersiri Siong itu.

Sejujurnya, keinginan untuk berubah kepada yang lebih baik memang ada namun biarlah masa yang menentukan dan bukannya dirancang.

“Misalnya pakai tudung memang saya nak sangat tetapi biarlah saya ubah perkara yang lain dulu. Bagi saya bertudung ini bagus dan harap-harap Tuhan bukakan pintu hati ini.

“Saya tak nak pakai tudung di luar tetapi hati kita benci dengan orang lain. Saya nak berbaik dengan semua orang dulu. Biarlah orang tak suka saya pun, itu perkara nombor 10,” ulasnya lagi.

Ditanya mengenai perubahan yang dirasai oleh dirinya yang mungkin tidak disedari oleh orang lain, dia akui perubahan yang berlaku terkesan kepada kehidupan peribadi dalam rumah tangganya.

“Sekarang, saya sudah tiada masa untuk diri-sendiri. Tetapi saya tak kata tiada alasan untuk cantik.

“Perubahannya berlaku apabila dulu, sayalah yang paling lembap dan pentingkan diri-sendiri. Tetapi sekarang, saya boleh bangun awal dan siapkan anak terlebih dahulu. Kadangkala saya melayan suami dan anak sehingga terlupa untuk makan.

“Perkara lain yang orang tidak nampak adalah saya lebih mementingkan keselamatan anak berbanding diri-sendiri apabila keluar ke sesuatu tempat. Siapa yang tak sayangkan anak…,” kata pelakon teater itu.

Selepas bersalin, berat badannya naik sehingga mencecah 67 kg. Apabila masuk tiga hingga empat bulan, badannya kurus sedikit dan dia mula menjaga makan.

“Saya menyusukan bayi dalam sebulan sahaja. Selepas itu, saya makan jamu dan ubat kesihatan. Sekarang, berat badan saya sudah turun kepada 55 kg tetapi kalau boleh saya nak turun sehingga 53 kg,” beritahunya.



Suami Ida Nerina Sanggup Bersumpah Pernah Lafaz Cerai


KUALA LUMPUR: Sha’arin Mohd Razali sanggup bersumpah dia pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, aktres Ida Nerina Hussain.

Bekas anggota kumpulan Blackrose yang dikenali sebagai Shahrin itu mengaku di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin dalam kamar hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ida tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan kesihatan di luar negara.

“Ida menghubungi saya dan memberitahu dia masih mendapatkan rawatan dan bukannya sengaja lengah-lengahkan kes ini.

“Dia juga kata dia ‘ok’ dan akan datang pada hari perbicaraan nanti,” kata peguamnya, Akhbardin Abdul Kadir ketika ditemubual di luar mahkamah.

Atas sebab itu, Mohd Yunus memutuskan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai di bawah Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 ini ditangguhkan pada 13 dan 21 April depan.

Perbicaraan pertama pada 13 April ini akan dimulakan dengan keterangan Sha’arin selaku plaintif.

Difahamkan, jika Ida tidak hadir ke mahkamah selepas ini, hakim akan membuat keputusan perbicaraan kes ini tanpa kehadirannya di bawah Seksyen 121 (1)(b) Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan 1998.

Pada 22 Januari lalu, Ida melalui peguamnya, Akhbardin Abdul Kadir bersetuju untuk diceraikan secara baik. Pada 22 Disember lalu, Akhbardin berkata anak guamnya itu tidak bersetuju dengan permohonan pengesahan cerai yang difailkan oleh Shahrin. Pada 23 November lalu, Shahrin memaklumkan kepada mahkamah yang dia telah tidak tinggal sebumbung dengan Ida sejak lebih dua bulan lalu.

Pada Hari Raya Puasa kedua tahun lalu, Shahrin didakwa telah melafazkan cerai terhadap pelakon filem Susuk dan Anak itu.

Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sehingga Shahrin tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.

Dimaklumkan, selepas Shahrin melafazkan cerai terhadap Ida, beliau telah keluar meninggalkan rumah Ida. Pada 9 Oktober lalu, Shahrin telah mengisi borang pengesahan lafaz cerai di mahkamah itu. Pada 21 Jun lalu, Ida yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ke-7 ini telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di rumahnya.

Kemalangan itu berlaku ketika menaiki tangga di ruang tamu dalam rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.

Sebelum ini, pengurus peribadi Ida, Fizaruddin Harun atau Fizar menafikan khabar angin yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh. Fizar juga mendakwa Ida tidak mungkin terjatuh disebabkan hilang pertimbangan kerana 'mabuk' memandangkan aktres itu baru pulang dari umrah. Katanya, Ida tergelincir lalu terjatuh apabila sedang menaiki tangga dengan tergesa-gesa.

Fizar juga turut menafikan yang Ida mungkin lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas insiden itu kerana sehingga kini doktor belum mengeluarkan laporan itu.

Ida, aktres kelahiran Middlesex, England, dan Shahrin telah berkahwin pada 2 Jun 2006. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan ini.

Pasangan ini tidak mempunyai anak manakala Shahrin mempunyai dua orang anak iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8, hasil perkahwinan pertamanya.