Saiful Apek
PETALING JAYA - Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa ujian saringan awal air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya yang lain didapati positif dadah.
Sarjan M.Sanggar, 48, berkata beliau menjalankan ujian air kencing terhadap Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, Noremy Mohamad, 28, selepas selesai melakukan
satu operasi serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway dekat sini.
"Hasil keputusan ujian air kencing itu didapati kesemua tertuduh positif dadah," kata saksi kedua pendakwaan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.
Sanggar yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata beliau kemudiannya menyerahkan sampel air kencing kesemua tertuduh kepada Pegawai Penyiasat Insp Rozlia Razali untuk tindakan seterusnya.