Thursday, April 26, 2012

Majlis hari jadi Rita Rudaini ditaja Datuk R?


Ketika sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga yang mencengkam, dramatis, Rita Rudaini Mokhtar yang berusia 36 tahun ini dikejutkan pula dengan gosip kononnya majlis hari jadinya pada 11 April lalu, ditaja seorang Datuk yang dikenali dengan panggilan Datuk R. 

Majlis sambutan hari jadi Rita di buat di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur yang dikatakan diuruskan oleh rakan Rita. Namun menurut satu sumber yang terlibat dalam majlis sambutan itu memberitahu bahawa segala perbelanjaan majlis tersebut ditaja seorang VIP, iaitu Datuk R. 

Datuk R juga dikatakan merupakan pencetus idea kek yang unik pada majlis tersebut dimana khabarnya kek tersebut bernilai hampir RM1, 000. 

Ibu kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi nyata kecewa dengan dakwaan yang disiarkan beberapa portal hiburan tempatan. Rita yakin, dakwaan tersebut sengaja disebarkan bertujuan untuk merosakkan reputasinya. 

"Saya sedih kerana dakwaan itu sangat melampau. Sedangkan majlis yang saya buat itu dengan tujuan baik. Meraikan keluarga dan rakan yang selama ini banyak membantu saya membina karier sebagai pelakon."
"Mengapa sekarang baru timbul cerita saya ditaja Datuk yang saya sendiri tidak kenal siapa dimaksudkan kalau tidak tujuannya mahu mempengaruhi umum membabitkan kes perceraian bakal berlangsung?" 

"Taktik seperti itu sangat hina dan menjijikkan. Tidak perlu hendak memburukkan saya dengan cerita bukan-bukan. Saya tidak pernah hadap duit orang sebab saya boleh cari duit sendiri. Selama ini saya menanggung hidup dengan hasil titik peluh sendiri, termasuk menyara keluarga dan anak," katanya kepada Harian Metro.
Tambah Rita, mengapa ketika dia memandu kereta mewah tiada siapa sebut dirinya ditaja Datuk. Adakah kerana sebelum ini dia berstatus isteri orang. Walaupun permohonan cerai sudah difailkan, Rita menjelaskan bahawa dia tidak sesekali akan melakukan perkara yang boleh menjejaskan maruah diri, keluarga dan agama. 

Jelasnya lagi, segala perbelanjaan majlis tersebut adalah daripada simpanannya sendiri hasil titik peluhnya sepanjang hampir 15 tahun berada dalam industri hiburan. Majlis ini dibuat bagi menghargai orang-orang yang banyak menyokongnya selama ini. 

"Disebabkan sibuk di lokasi, saya meminta bantuan Diana dan Linda Rafar untuk mengaturkan majlis. Pada majlis itu juga, kebetulan suami Diana, Zamarul Hisham kini giat dengan perniagaan coklat dan mereka berbesar hati menaja buah tangan buat tetamu dengan memberikan coklat." 

Sementara itu, ketika ditanya adakah dengan gosip ini akan mempengaruhi keputusan perbicaraan kes perceraiannya tidak lama lagi, Rita enggan mengulas. 

"Saya serahkan segala-galanya kepada peguam dan mereka lebih tahu apa hendak dilakukan. Pada saya, cukup jika orang terdekat tahu apa sebenarnya berlaku." 

"Saya juga berharap tiada pihak cuba mencampuri urusan perceraian yang bakal berlangsung dan bertindak ibarat lebih sudu daripada kuah sehingga mengganggu dan mempengaruhi perjalanan perbicaraan," katanya.

- ---

Putus Tunang Bukan Penyebab Akmar (AF3) Segerakan Pernikahan

Akma (AF3) 
PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Akma berkata langkah untuk menyegerakan pernikahannya yang dijadualkan pada hujung Jun depan bukan kerana serik akibat pernah putus tunang.
Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata keputusan itu dibuat kerana segala perancangan dan persiapan ke arah itu dilihat dengan berjalan lancar.
“Saya mahu menyegerakan majlis pernikahan pada hujung Jun depan bukan sebab saya berasa serik apabila perancangan untuk bertunang sebelum ini pernah terbatal.
“Secara kebetulan, perjalanan majlis merisik pada Mac lalu berjalan dengan baik sekali sehingga kami memutuskan untuk bertunang pada 6 Mei ini dan bernikah pula pada hujung Jun depan,” katanya ketika dihubungi petang Rabu.
Akma mengenali lelaki bernama Farih kira-kira lima tahun lalu. Hubungan mereka mula rapat sejak lelaki itu pulang dari Melbourne, Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut kira-kira setahun yang lalu.
Berkongsi mengenai bakal tunangnya yang bekerja sebagai eksekutif di Petronas itu Akma berkata, faktor usia yang hanya berbeza setahun tidak menjadi masalah buatnya kerana kematangan dan sikap bertanggungjawab lelaki itu.
“Walaupun jarak usia kami hanya berselang setahun, saya dapati dia (Farih) seorang yang matang melebihi umurnya. Sifatnya yang rapat dengan keluarga memberikan keyakinan untuk saya memilih dia sebagai calon suami.
“Menariknya, dia juga seorang yang kelakar dan bijak mengambil hati keluarga saya,” katanya yang mendapat tajaan ketiga-tiga majlis itu daripada Butik Chantik.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Akma kini mengajar kursus vokal di One Music Academy Malaysia di Subang sejak tiga bulan lalu.
“Saya mengajar secara separuh masa kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah vokal. Naluri saya memang suka mengajar.
“Pendapatan saya mengajar ini dapat menambahkan lagi sumber kewangan saya,” katanya yang kini terlibat dalam Karnival Mesra Belia Satu Felda Satu Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada setiap hujung minggu.

- ---

Sheila Majid Tidak Ambil Botoks

Sheila Majid
KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam.
Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya.
“Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks,” katanya.
Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu.
Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee.
Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari.
Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak.
“Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat,” ujarnya.
Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing.
Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can’t Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna.
Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.

- ---

Anggap Sudah Tua, Normala Enggan Jadi Pengacara

Normala Samsuddin 
KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsuddin nekad meninggalkan terus dunia glamor dan enggan bergelar seorang pengacara jika ditawarkan oleh mana-mana pihak.
Normala berkata, beliau merasakan zamannya sudah berakhir dan ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan keluarga.
"Saya sudah tua dan rasanya tak payah la lagi muncul sebagai pengacara. Beri pula kepada muka-muka baru.
"Tambahan pula saya kini gembira dengan kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan nenek. Ia adalah perkara terbaik dan terpenting dalam hidup saya kini," ujarnya  pada majlis memperkenalkan 20 Finalis Program On Air di sini pada Rabu.
Ujarnya, komitmen yang diperlukan sebagai seorang pengacara adalah antara faktor beliau enggan kembali menjadi pengacara walaupun banyak tawaran diberikan kepadanya.
"Saya bukannya seorang wanita muda yang boleh bergerak ke sana ke mari dengan pantas kerana bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi.
"Daripada menimbulkan masalah kemudian hari lebih baik kita elakkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Normala menolak dakwaan beliau tidak mahu untuk muncul dalam dunia penyiaran kerana dihalang oleh suaminya, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitariaitu, Datuk Seri Azmi Khalid.
"Suami tidak pernah menghalang cuma tidak begitu menggalakkan saya untuk terus tampil di televisyen. Bagaimanapun keputusan ini saya buat atas pilihan sendiri dengan panduan daripada suami," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai juri tetap program On Air, Normala memberitahu, Aznil Nawawi telah memintanya menjadi sebahagian daripada individu untuk terlibat dalam rancangan realiti itu selepas menjadi juri jemputan pada uji bakat sebelum ini.
Normala berkata, dia bersetuju untuk menyertai selepas mendapat keizinan daripada suaminya.
"Suami setuju saya terlibat kerana saya menjadi juri dan bukannya menghoskan program itu.
"Saya bagaimanapun teruja untuk berkongsi pengalaman bersama-sama peserta terpilih nanti, katanya.
Normala akan muncul dalam program Studio On Air pada setiap hari Ahad pukul 10 malam bermula 27 Mei ini di saluran Astro Ria.

- ---

Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K

Maulana
PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan.
Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing.
“Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis.
“Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran.
“Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu.
“Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu.
“Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian,” katanya.
Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K.
“Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu,” katanya.

- ---

Wednesday, April 25, 2012

Sami Yusuf Berduet Bersama Datuk Siti Nurhaliza



SAMI berasa sangat bertuah kerana meraih peluang keemasan berduet dengan Siti Nurhaliza.



NAMA Sami Yusuf barangkali sudah tenggelam bagi peminat di Malaysia lantaran fenomena Maher Zain. Hakikatnya, penyanyi Muslim kacukan Teheran-British itu muncul lebih awal di Malaysia bersama album pertamanya, Al-Mu'allim iaitu sekitar tahun 2003.
Setelah kemunculan lebih ramai penyanyi yang menyampaikan lagu genre ketuhanan, namanya kian pudar. Tidak mudah mengalah, Sami Yusuf, 31, kini akan muncul dengan album keempatnya, Salaam yang bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk sebuah lagu yang dirakamkan bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Ujarnya, memilih penyanyi nombor satu negara itu sebagai rakan duet merupakan langkah bijak menyatukan muzik dua benua Eropah dan Asia untuk album yang kemungkinan besar dikeluarkan pada bulan Jun nanti.
"Dia (Siti) merupakan seorang penyanyi berbakat yang sangat hebat dan mengagumkan! Dia mempunyai aura serta kelembutan sebagai penghibur sejati.
"Saya bakal beraksi bersama Siti dalam konsert di Singapura dan Kuala Lumpur menjelang Julai ini," ujar Sami yang ditemui ketika sidang akhbar di Restoran Hadramawt, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, lagu berjudul You Came To Me yang diciptanya sebelum datang ke Malaysia itu dinyanyikan dalam tiga versi iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.
Malah, sebahagian daripada lirik berbahasa Melayu dalam lagu itu mendapat kerjasama daripada komposer berbakat, Yasin Sulaiman.
"Lagu ini sangat cantik susunan muziknya, ia menyuntik elemen tradisional yang sesuai dengan genre muzik yang saya bawa," kata penyanyi merangkap penulis lirik dan komposer yang memperkenalkan genre muzik yang dikenali sebagai spiritique itu.
Sewaktu ditemui ketika sedang merakamkan lagu tersebut bersama Sami di Studio Harem, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, kata Siti, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menerima pelawaan Sami.
"Rugi untuk melepaskan peluang merakamkan sebuah lagu bercorak kerohanian secara duet dengan Sami.
"Siti juga sangat teruja kerana dapat mendendangkan lagu yang mempunyai melodi dan lirik yang indah dalam tiga bahasa ini, " ucap Siti.
Bintang rock Islam
Usai album pertamanya yang mendapat kejayaan sehingga diiktiraf Bintang Rock Islam oleh majalah berprestij di peringkat global iaitu Time, Sami tampil dengan buah tangan berikutnya berjudul My Ummah dan Wherever You Are.

SAMI sedang sibuk di studio rakaman Harem, Kuala Lumpur bagi kemunculan album terbaharu dan keempatnya yang berjudul Salaam.


Malah, ada beberapa lagu dalam album terdahulunya dinyanyikan dalam pelbagai bahasa antaranya, bahasa Parsi, Turki, Urdu dan Azeri.
Tidak banyak bezanya album keempat Sami berbanding album sebelum ini, katanya, apa yang membezakan adalah kematangan usia dirinya dan albumnya.
"Kalau dilihat dari segi revolusi muzik, tidak jauh berbeza kerana album ini masih dalam genre spritique, cuma apa yang berbezanya sudah tentu usia saya.
"Idea masih sama iaitu untuk menyatupadukan keamanan dan kasih sayang sesama manusia," ujar Sami yang lebih gemar mendengar muzik-muzik klasik.
Dalam pada itu, Sami turut memuji kumpulan nasyid Raihan yang diamatinya sangat berkembang dari segi muzik yang dibawa.
"Satu-satunya lagu kumpulan nasyid yang saya suka dengar semestinya kumpulan Raihan. Muziknya sangat berevolusi dan industri muzik Malaysia sepatutnya berbangga memiliki mereka (Raihan)," katanya.
Banyak kejutan
Selaras dengan pelancaran album keempatnya itu, Sami dijadualkan beraksi dalam konsert khas yang diberi nama Konsert Salaam Sami Yusuf bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam pada 14 Julai ini.
Sebelum itu, dia bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Julai melalui konsert debutnya.
"Banyak kejutan akan ditampilkan khusus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini. Sebanyak 18 buah lagu akan saya nyanyikan dan selebihnya perlu tunggu pada tarikh tersebut," janji pemilik syarikat rakaman Andante yang baru ditubuhkan itu.
Konsert Salaam Sami Yusuf dibawakan oleh Offshore Entertainment Production dengan kerjasama Shue Ellis Communication.
Sami kini berada di Salle Omnisports of Radès, Tunisia untuk konsert jelajah terakhir di sana sebelum ke Singapura dan Malaysia tidak lama lagi.

- ---

'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara

Gambar fail menunjukkan orang ramai menghadiri pengebumian 93 penumpang dan tujuh orang anak kapal terbunuh apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977.
PETALING JAYA: Stesen TV3 bakal menyiarkan sebuah dokumentari kisah benar yang memaparkan peristiwa cemas dalam negara termasuklah kejadian letupan kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers di Sungai Buloh dekat sini pada tahun 1991.
Penerbit Eksekutifnya, Mohd Said Abdullah Thani berkata, program Detik Tragik sebanyak 13 episod itu diterbitkan untuk memberi peluang kepada generasi hari ini menyaksikan peristiwa penting dan bencana yang telah meragut nyawa dan menggemparkan negara.
“Kami menggunakan pendekatan penyiasatan secara serius yang melibatkan tinjauan ke lokasi kejadian sebenar dan menemu bual saksi serta mangsa yang terlibat.
Zakiah Anas antara wartawan yang terlibat dalam 'Detik Tragik'.
"Banyak maklumat baru yang kami bongkar dalam Detik Tragik selain yang pernah disiarkan menerusi media,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa.
Antara peristiwa yang akan turut disiarkan seperti kebakaran di Terminal 1, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Ribut Greg di Keningau, Sabah, Tsunami di Pulau Pinang dan Kedah dan banjir lumpur di Pos Dipang, Perak.
Turut dipaparkan kejadian terminal feri runtuh di Butterworth, pesawat terhempas di Tanjung Kupang, Johor yang turut meragut nyawa seorang menteri serta tanah runtuh di Genting Sempah, Pahang.
Katanya, kejadian letupan kilang mercun dan bunga api yang berlaku pada 7 Mei 1991 itu pasti meninggalkan kenangan pahit kerana ia telah meragut 26 nyawa manakala 83 orang cedera.
Letupan kilang bunga api dan mercun di Sungai Buloh pada tahun 1991.
"Letupan dahsyat itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buloh’ berikutan gegaran ledakan seakan-akan bom atom. Berpunca daripada 200 tan belerang, gegaran ledakan tersebut dapat dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi,” ujarnya.
Siri dokumentari itu menampilkan gabungan wartawan berpengalaman dan muka baru, seperti Zakiah Anas, Harris Mohd Farok Alex, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Mohd Raziff Zulkafli, Siti Hajar Rozli, Nurul Syafikah Abd. Masri dan Syazwan Syuwari Nordin
Ia akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Rabu pukul 9 malam bermula 2 Mei depan.

- ---

Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma

Aktres Datuk Michelle Yeoh kembali ke tanah air bagi mempromosikan filem The Lady 
KUALA LUMPUR: Pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh mengakui berasa sukar untuk mengungkapkan dialog dalam bahasa Burma (kini Myanmar) bagi watak sebagai pejuang kebebasan demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady.
Menurut bintang filem kelahiran Ipoh, Perak itu, dia perlu mengingati dialog yang panjang bagi babak-babak ucapan pengasas parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan itu ketika berkempen.
“Saya akui persediaan untuk babak ketika Suu Kyi menyampaikan ucapannya di hadapan rakyat adalah paling mencabar kerana ia perlu dilakukan dalam bahasa Burma.
“Bukan sahaja dialognya panjang, malah ia perlu dirakamkan hanya satu kali sahaja bagi mengekalkan impak emosi di kalangan watak masyarakat yang mendengar ucapan itu,” katanya yang mendapat bimbingan guru bahasa Burma.
Yeoh berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem epik biografi arahan pengarah Perancis, Luc Besson di Hotel Ritz-Carlton, di sini, petang Selasa.
Aktres berusia 49 tahun itu berkata komitmen dalam filem itu juga menuntut persiapan fizikal yang menyeluruh bagi mendapatkan susuk tubuh yang seiras pemimpin itu.
“Saya membuat latihan fizikal seperti seorang pelari maraton. Saya perlu berlatih selama satu jam setengah sebelum dan selepas penggambaran pada setiap hari.
“Aspek persiapan fizikal sangat penting untuk tujuan stamina dan ketahanan sepanjang penggambaran. Apa yang lebih penting, ia bagi mengekalkan bentuk fizikal saya agar menyamai fizikal sebenar Suu Kyi,” katanya.
Sempat diusik adakah dia berminat untuk menceburi bidang politik selepas melakonkan watak pemimpin itu, Yeoh berkata ia adalah lapangan yang kompleks yang tidak mungkin termampu dilakukannya.
“Saya tidak pernah mempertimbangkan untuk bergelar ahli politik. Menjadi pelakon pun sudah mencabar apatah lagi untuk menjadi pemimpin.
“Saya sangat kagumi kekuatan ahli-ahli politik yang mampu berkompromi dalam segenap aspek kehidupan termasuk soal privasi. Kriteria seorang ahli politik tidak ada pada personaliti diri saya,” ujarnya.
Filem yang diinspirasikan daripada kronologi hidup pemenang Anugerah Keamanan Nobel (1991) itu turut dibintangi antaranya David Thewlis, Jonathan Woodhouse dan Jonathan Raggett.
The Lady bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Mei depan.

- ---

Zahida Tidak Stres Dengan Tuduhan Terima Wang RM1.5 Juta

Zahida Rafik
PETALING JAYA: Kontroversi tuduhan menerima wang RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal sedikit pun tidak mendatangkan stres kepada Zahida Rafik.
Pelakon itu berkata demikian ketika berkomunikasi dengan pengikut laman sosial Twitter miliknya pada Selasa malam.
“Terima kasih sayang. Tak stres pun. Akak cool,” katanya dalam entri kira-kira pukul 8.33 malam Selasa yang dikirim menerusi telefon Blackberry miliknya.
Dia juga turut mengatakan dirinya kuat untuk menempuh tuduhan yang melanda dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya.
Kebanyakan pengikut Twiter pelakon itu pada Selasa menghantar pesanan kepada Zahida untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang.
Bagaimanapun terdapat satu pesanan kiriman Miss Lola pada pukul 10.46 pagi Selasa menempelak Zahida dengan mendakwa apa yang berlaku itu adalah balasan Tuhan terhadap perbuatannya.
Salah satu mesej menerusi Twitter Zahida.
“Bila dah kantoi tau plak nak ingat Tuhan… tapi bila pakai seksi tak pulak kau nak ingat Tuhan. Ni la balasannya,” kata pengirim itu.
Bagi persoalan tersebut Zahida hanya ketawa dengan menjawab; “hahahaha...gud day my dear!! Cheers!”
Sebuah portal dalam talian pada 18 April lalu melaporkan pemandu Zahida iaitu Noor Azman Azemi telah membuat laporan polis mendakwa pelakon itu telah menerima wang tunai sebanyak RM1.5 juta dari seorang menteri dalam jangka masa empat bulan.
Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin telah mendedahkan laporan polis itu kepada pihak media.
Dalam laporan polis tersebut, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktober tahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.

- ---

Jimmy Shanley Nafi Sindir Ibu Mertua Dalam 'Tanah Kubur'

Jimmy Shanley
PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley menolak tuduhan kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya yang juga usahawan Datin Muniroh Kassim dalam episod terbaru drama bersiri Tanah Kubur yang ditayangkan di Astro Oasis pada Jumaat lalu.
Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 32, itu berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana watak gigolo yang dilakonkannya itu mengikut skrip yang dihasilkan syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd.
“Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas langsung. Saya hanya pelakon yang memainkan watak seperti dikehendaki dalam skrip pengarahnya Rashid Sibir.
“Drama itu adalah cerita rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan kehidupan peribadi saya atau orang lain,” katanya di sini, petang Selasa.
Jimmy berkata demikian bagi mengulas dakwaan terbaru kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya apabila wujud watak Datin Iroh, seakan-akan singkatan nama pemilik produk kecantikan Natasya itu yang dilakonkan oleh Rozita Rohaizat.
Ditanya mengenai dakwaan hubungannya dingin dengan keluarga mertua dan berkelakuan tidak manis apabila memanggil ibunya itu dengan nama Datin, bekas pengacara Trek Selebriti itu berkata dia tidak pernah mendengar tuduhan tersebut.
“Saya jarang berkomunikasi dengan ibu mertua. Kami sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada apa pun yang keruh atau dingin berlaku antara kami.
“Saya tidak mahu komen lebih, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan pada kehidupan sendiri sahaja,” katanya.
Jimmy yang kini berjinak-jinak dalam bidang lakonan memberitahu, selepas pelbagai kecelaruan timbul dalam kehidupannya, dia tidak mahu lagi untuk bercerita mengenai soal privasi.
“Saya tidak mahu lagi untuk ulas apa-apa melainkan keadaan memerlukan untuk saya bercakap. Sebelum ini, sudah terlalu banyak hal peribadi dan rumah tangga saya diperkatakan.
“Kini, saya mahu melangkah ke hadapan dan serahkan sahaja kepada pihak mahkamah bagi menentukan hal rumah tangga kerana mereka lebih arif,” katanya.
Keputusan hak penjagaan ke atas anak perempuannya Zahrah Shanley hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy akan diumumkan pada 30 April ini.
Sebelum ini, Jimmy pernah memfailkan perintah kembali taat terhadap isterinya pada 3 Januari 2011 diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari tahun yang sama.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010.


- ---