Tuesday, May 29, 2012

Nassier Wahab Masih Laris Pada Usia 50 Tahun

Nassier Wahab
PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab meluahkan rasa syukur kerana masih lagi mendapat undangan menyanyi setiap minggu walaupun tanpa sebarang publisiti ketika berusia 50 tahun.
Nassier, 50, berkata, dia mengakui, faktor usia juga adalah salah satu punca dirinya kurang meraih perhatian pihak media yang lebih tertarik kepada bakat baru namun dia percaya masih diminati berdasarkan kepada sambutan dalam setiap persembahan yang diadakan.
"Alhamdulillah, sehingga kini tak menang tangan saya untuk memenuhi undangan persembahan, ada yang terpaksa ditolak.
"Dan saya menghargai setiap jemputan yang diterima sehinggakan walaupun kurang sihat, saya sanggup memenuhi undangan agar dapat menghiburkan peminat yang tidak pernah putus menyokong saya.
"Apa-apa pun, saya bersyukur, walaupun tiada publisiti, saya masih lagi diterima ramai," katanya.
Tambah Nassier, dia bukan sekadar sibuk mengadakan persembahan di Malaysia, tetapi juga di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
Dan terbaru, Nassier bakal mengadakan sebuah konsert mini di Singapura pada Julai ini.
"Saya dimaklumkan memiliki ramai peminat di negara itu dan terdapat sebuah syarikat menawarkan untuk menganjur konsert mini buat saya. Rasa bersemangat pula untuk membuat persiapan persembahan konsert," ujarnya.
Dalam pada itu, Nassier baru sahaja muncul dengan sebuah lagu single terbaru berjudulPuisi Lara dan ia sudah pun dimainkan di beberapa stesen radio di Singapura.
"Puisi Lara merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa ciptaan Adnan Abu Hassan terbitan BME Entertainment. Walaupun ia mengisahkan tentang lara cinta, namun melodinya sangat menarik untuk didengar.
"Sekarang ini saya sedang merangka beberapa promosi khas buat lagu itu sebelum meneruskan perancangan bagi menghasilkan sebuah album tidak lama lagi.
"Harap-harap lagu ini dapat mengembalikan semula nostalgia lagu Memori Terluka yang pernah popular dahulu," tuturnya.

- ---

Monday, May 28, 2012

Dafi Teringin Kekasih Indonesia - Gigit Jari Awek di Malaysia

Dafi
KUALA LUMPUR: Penyanyi Dafi mengakui dia teringin memiliki seorang kekasih warga Indonesia sejak menetap di Indonesia pada Januari lalu.
Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri berkata, keinginannya itu mula timbul sejak melihat ramai gadis-gadis di negara tersebut mempunyai raut wajah yang cantik.
"Jujur saya katakan, kecantikan wajah mereka membuatkan saya teringin mempunyai seorang kekasih di sana.
"Bagaimanapun, kenyataan ini bukan mahu mengatakan yang orang Malaysia tidak cantik, harap peminat-peminat tidak salah faham atau berkecil hati ya," katanya.
Tambah Dafi lagi, selain itu dia juga ingin merasakan pengertian hubungan cinta jarak jauh apabila dia pula ke tanah air nanti.
Enggan terlalu memikirkan soal pilihan cinta, Dafi meneruskan target utamanya yang ingin mengembangkan kerjaya di negara seberang itu.
Ujar pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu, sejak mengikat kontrak selama setahun menjadi artis eksklusif stesen televisyen Trans Corp dan terus menjadi hos rancangan Selebritas Siang, dia gembira kerana peminat-peminatnya di negara itu mudah menerimanya.
"Saya tidak sangka bahawa kerjaya di Indonesia memberi respons yang bagus. Mungkin juga sebelum ini saya pernah berduet dengan Gita Gutawa menerusi lagu Sempurna, saya beranggapan mereka mula mengenali saya dari lagu tersebut.
"Malah ia satu pengalaman baru buat saya bagi mengacarakan program berbahasa Indonesia. Agak sukar, namun Alhamdulillah saya mampu mengatasinya dengan pantuan pihak produksi dan pengacara gandingan saya iaitu Mesty dan Lala," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dafi sedang mengumpulkan bahan lagu yang akan dimuatkan dalam albumnya di Indonesia selain masih lagi meneliti beberapa tawaran berlakon yang bersesuaian dengannya.

- ---

Ibu Tidak Benarkan Fizo Ambil Anak Angkat

Fizo Omar
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizo Omar, 27, pernah berhasrat untuk mengambil anak angkat, namun tidak dibenarkan oleh ibunya atas sebab-sebab tertentu.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata, ibunya enggan dia mengambil anak angkat kerana risau sekiranya dia gagal menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab selepas berumah tangga nanti.
"Saya pernah terfikir untuk mengambil anak angkat, tetapi ibu pula tidak benarkan.
"Dia risau sekiranya saya tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai bapa angkat apabila memiliki keluarga sendiri kelak. Maklumlah, nak jaga anak angkat bukannya mudah," katanya.
Tambah Fizo yang bakal muncul dengan filem Halimunan tidak lama lagi, dia seorang yang sukakan kanak-kanak sehingga sanggup buat apa sahaja, terutamanya buat anak-anak buahnya.
Malah Fizo juga sanggup berulang alik ke Pahang semata-mata ingin menziarahi anak-anak buahnya dan bermalam bersama.
"Saya seorang yang sangat manjakan kanak-kanak, kerana bagi saya mereka adalah tempat yang paling sesuai untuk menghilangkan tekanan.
"Jadi, anak-anak kakak sayalah yang menjadi tempat untuk saya bermanja dengan mereka. Macam-macam kami lakukan apabila bersama seperti bermain, mandi dan tidur bersama, rasa seronok," ujarnya.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati pelakon ini ialah dia bimbang mengenai keselamatan anak-anak buahnya memandangkan masalah penculikan semakin menjadi-jeadi sejak kebelakangan ini.
"Apabila mendengar berita tentang penculikan kanak-kanak, membuatkan saya agak gerun dan risau dengan keselamatan anak-anak buah saya.
"Apalagi dengan kanak-kanak yang bergelandangan di luar sana. mengenangkan hal itu, membuatkan fikiran saya tidak tenteram.
"Perasaan marah dan pelbagai persoalan mula timbul, apakah motif mereka berbuat demikian, belum lagi yang merogol dan membunuh," katanya.

- ---

Linda Rafar Cemas Terperangkap Dalam Lif

Linda Rafar
PETALING JAYA: Penyanyi Linda Rafar yang ingin membeli belah di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada tengah hari Ahad, cemas apabila terperangkap selama 10 minit di dalam sebuah lif.
Linda berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dia dan anak ketiganya, Syed Rezzaqiib, 4, ingin turun ke aras bawah, selepas menghantar dua anak lelakinya yang lain iaitu Rezzaril, 12, dan Rezzaiman, 10, bermain boling.
"Selepas menghantar anak saya bermain boling di aras atas, saya turun ke aras bawah bagi membeli barang-barang dapur.
"Pada kejadian itu, bukan saya dan Rezzaqiib sahaja berada dalam lif, terdapat beberapa orang termasuklah seorang pekerja plaza itu. Agak mencemaskan, kerana masing-masing sukar untuk bernafas," katanya yang dihubungi di sini, Ahad.
Tambah Linda, lebih menakutkan lagi apabila lampu lif tersebut terpadam dan ia membuatkan dia berasa lebih panik, tambahan pula anaknya semakin lemah kerana kesukaran bernafas.
"Sebenarnya, yang membuatkan saya lebih cemas apabila salah seorang daripada kami yang terperangkap memberitahu lif itu sering bermasalah sehingga ada kejadian ia dapat dibuka dalam masa satu hari. Gemuruh darah saya dibuatnya.
"Syukurlah, lif berkenaan dapat dibaiki oleh petugas penyenggaraan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu," ujar Linda.
Bagaimanapun, kejadian tersebut membuatkan Linda trauma untuk menggunakan kemudahan itu lagi malah dia sanggup naik turun tangga atau eskalator pada masa akan datang.
"Baru saya faham bagaimana rasanya apabila terperangkap dalam lif. Bila kawan-kawan saya melalui pengalaman begitu sehingga rasa trauma untuk masuk lif, saya sering menganggap ia satu benda yang remeh.
"Namun, apabila saya merasainya sendiri, barulah saya faham, ia mampu membuatkan kita cemas dan tak tentu arah.
"Mujurlah ada beberapa orang lagi yang terperangkap, sekurang-kurangnya kita dapat berfikir cara untuk menyelamatkan diri," tuturnya.
Linda bagaimanapun tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap pihak pengurusan pusat membeli belah itu namun, berharap orang ramai berwaspada apabila memasuki lif.

- ---

Friday, May 25, 2012

Lufya 'Hadiahkan' Lagu Ketuhanan Buat Zarina Anjoulie

Lufya
KUALA LUMPUR: Penyanyi Lufya Omar, yang terlibat dengan kontroversi pergaduhan bersama Zarina Anjoulie Lavocah telah mendedikasikan lagu single terbarunya, Doaku, bagi tujuan berdamai.
Lufya berkata, dia mahu Zarina menghayati lagu yang berbentuk ketuhanan itu dan dapat memaafkan antara satu sama lain, bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba pada 21 Julai depan.
"Sebelum ini, terlalu banyak perkara yang berlaku antara saya dan dia. Saya agak malu dengan kejadian itu semua namun tidak pernah membalasnya sebab tak nak besarkan isu.
"Apa-apapun, saya ambil perkara ini sebagai benda positif, dan bagi tujuan berdamai, saya tujukan lagu 'Doaku' untuknya," kata penyanyi itu lagi.
Pada pertengahan April lalu, sebuah blog hiburan menyiarkan kenyataan Lufya di mana ada peminat yang tersalah anggap dirinya adalah Zarina dan hal tersebut menyebabkan dia pernah diraba oleh seseorang sambil dipanggil 'Anju' yang jelas merujuk kepada pelakon itu.
Kemudian, Zarina melancarkan 'perang' terhadap Lufya sebagai respons terhadap artikel berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya dan mengejek penyanyi berkenaan dengan panggilan yang tidak enak didengar.
Tambah Lufya, walaupun dikutuk hebat oleh pelakon seksi itu, dia menerima dengan tenang dan ia juga sebahagian daripada promosi untuk dirinya kepada peminat-peminat yang baru ingin mengenalinya.
Mengenai lagu Doaku, ia merupakan lagu ciptaan pertamanya selepas single pertama,Diam, yang dikeluarkan pada tahun lalu.
"Lagu ini teramat istimewa buat saya kerana ia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh saya dengan bantuan penyusun muzik, Rafikconcept.
"Idea lagu tersebut adalah berkonsepkan ketuhanan juga datangnya dari saya di mana saya ingin menceritakan perasaan diri yang mahukan petunjuk ke arah yang diredhai.
"Alhamdulillah, setakat ini saya menerima respons yang positif apabila meletakkan lagu tersebut di laman Youtube," tuturnya.
Dalam pada itu, Lufya berkata, memandangkan dia ingin memberi sepenuh perhatian terhadap karier nyanyiannya itu, dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti lakonan.

- ---

Fizz Fairuz Tidak Salahkan Almy

Fizz Fairuz anggap kenyataan Almy Nadia mengenai keretakan hubungan mereka tidak disengajakan atau ditokok tambah oleh pihak tertentu. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
KUALA LUMPUR: Aktor Fizz Fairuz menegaskan bahawa dia enggan menyalahkan kekasihnya Almy Nadia atas kenyataan aktres itu yang mendakwa hubungan mereka kini berada di ambang perpisahan.
Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 32, berkata dia tidak kesal dengan kenyataan Almy kepada akhbar Berita Minggu pada Ahad lalu kerana aktres itu mungkin tertekan dengan kontroversi hubungan mereka.
“Saya tidak salahkan Almy. Mungkin dia terlebih cakap kerana orang tuanya sudah bising (dengan status hubungan Fizz dan Almy) sehingga menyebabkan dia mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Sebenarnya tidak ada-apa yang berlaku dan tiada masalah dalam hubungan kami. Kami baru saja bermain badminton bersama pada malam semalam (malam Selasa),” katanya dalam nada bergurau.
Fizz berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu Rafflesia bersama 20 selebriti di Hotel Royal di sini, malam Rabu lalu.
Dalam kenyataan Almy kepada akhbar mingguan itu Ahad lalu, dia menyifatkan hubungannya dengan Fizz boleh diibaratkan seperti retak menanti belah kerana mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini dan dia tidak lagi diendahkan oleh aktor itu.
Ditanya mengenai punca atau faktor yang menyebabkan Almy mengeluarkan kenyataan tersebut, Fizz berkata dia tidak pasti di sebalik tindakan aktres itu.
Almy Nadia
“Saya pun tidak berkesempatan untuk membaca kenyataan itu lagi. Tidak pasti pula jika dia terlepas cakap atau melatah kerana terlalu beremosi atau mungkin kenyataan itu sudah ditokok tambah (daripada fakta sebenar).
“Saya sedar terlalu banyak persoalan mengenai status hubungan kami ditanyakan oleh media sejak beberapa tahun lalu dan ia pasti menimbulkan tekanan kepada dia dan keluarganya,” jelas pemenang trofi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu.
Sempat diusik adakah dia akan mengotakan hasratnya untuk memperisterikan Almy, Fizz berkata dia tidak dapat memberikan sebarang kepastian kerana dia tidak mahu menjanjikan sesuatu yang berada di luar kawalannya.
“Ini (jodoh) semua ketentuan Tuhan. Saya tidak boleh janjikan apa-apa kerana saya tidak suka membuat janji. Tunggulah sehingga ibu saya pulang daripada umrah dulu dan minta petunjuk di sana,” kongsinya.
Dalam laporan mStar Online pada 21 Mei lalu, kedua-dua pelakon itu enggan memberikan ulasan apabila ditanya mengenai kenyataan Almy yang mendakwa hubungan mereka berada di ambang perpisahan.
Sebelum itu, Almy dalam kenyataan bertarikh 9 Mei mengakui sangat terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya itu berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.
Bagaimanapun, aktres berusia 26 tahun itu tidak dapat memberi sebarang reaksi kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai hasrat Fizz itu.

- ---

Thursday, May 24, 2012

Nyaris Maut, Nassier Wahab Trauma

Nassier Wahab
PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab tidak dapat melupakan peristiwa ngeri yang berlaku kepadanya dan keluarga apabila terlibat dalam kemalangan di kilometer 433.7 Bukit Beruntong pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Nassier berkata, kereta Honda Accord miliknya yang dipandu oleh seorang pembantu peribadi melanggar pembahagi jalan berulang kali.
"Pada waktu itu hujan turun dengan lebat dan kami sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Pulau Penang menuju ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.
"Entah macam mana tiba-tiba kereta itu hilang kawalan dan terus melanggar pembahagi jalan. Mujurlah kami selamat. Cuma isteri saya yang duduk di bahagian belakang bersama anak patah tulang bahu.
"Ketika kereta sedang berpusing, saya hanya berserah kepada Tuhan dan berdoa supaya tiada kereta lain yang melanggar kami. Sehingga ke hari ini kami masih trauma dengan kejadian itu," katanya di sini, Khamis.
Tambah Nassier, dia kecewa kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada sepasang suami isteri warga emas yang sanggup meredah hujan bagi membantu kami," katanya.
Sementara itu menurut Nassier, beliau terus dihantui trauma apabila dia dan abangnya yang pulang dari bengkel kereta pada Khamis (hari ini) sekali lagi nyaris terlibat dalam kemalangan.
"Ketika kami dalam perjalanan, saya ada bercakap kepadanya yang kita patut bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kehidupan di dunia ini dan redha dengan apa yang berlaku.
"Sebaik sahaja kami menukar lorong ke kanan, tiba-tiba sebuah lori telah melanggar beberapa kereta di lorong tengah.
"Kami terkejut dan mujurlah Allah menggerakkan hati kami untuk beredar dari lorong tersebut," tuturnya.
Dalam nada syukur, Nassier turut melahirkan rasa sedih apabila kereta kesayangannya itu remuk dan menelan kos sebanyak RM10,000 untuk membaikinya.
"Memang saya menangis melihat kereta saya hancur kerana ia dibeli hasil daripada titik peluh saya menyanyi. Tetapi bila fikir semula, duit boleh dicari, nyawa pula tiada pengganti.
"Bagaimanapun, berdasarkan apa yang berlaku, saya ingin menasihati semua untuk berhati-hati ketika memandu terutamanya ketika hujan," ujarnya.

- ---

Marsha Tidak Kisah Dituduh 'Gedik'

Marsha
PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh tidak berkecil hati terhadap segelintir pihak yang menuduh dirinya "gedik".
Menurut wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mahu memikirkan hal itu sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada dunia seni yang diceburi sejak tujuh tahun lalu itu.
“Kalau hendak diambil kira setiap apa yang orang katakan pada kita, memang pening jadinya. Saya sedar ramai orang yang memandang remeh akan kewujudan saya dalam industri.
“Mereka anggap saya hanya tahu buat gedik selain kewujudan saya dilihat seperti tidak memberikan sumbangan tetapi saya tidak berkecil hati dan enggan memikirkan perkara itu,” katanya  baru-baru ini.
Pengacara program Propaganza di Astro Ria itu berkata, atas kesedaran tersebut dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kerjanya agar dapat meyakinkan khalayak terhadap kebolehannya dalam bidang seni.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengikis persepsi orang jika kita sudah diberikan sesuatu jolokan. Sama juga kesnya dengan saya di mana orang akan tetap labelkan saya seorang yang gedik walau apa pun saya lakukan.
“Namun, saya berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dan bukan sekadar berperangai gedik dan menggoda semata-mata,” jelasnya.
Ditanya mengenai kehidupannya selepas kontroversi tuduhan dia menelan pil dipercayai bertujuan untuk membunuh diri sebelum ini, Marsha berkata dia mahu melupakan kisah hitam itu.
“Saya semakin bersemangat selepas lapan bulan kes itu berlalu. Saya akui kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan dan trauma tetapi kini saya sudah stabil.
“Saya berharap agar 2012 akan menjadi tahun yang baik dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Lagipun, pada tahun ini saya mahu mengeluarkan beberapa buah lagu dan kerjaya lakonan juga kian berkembang,” tuturnya mengakhiri perbualan.

- ---

Tuduhan Enggan Hadir Promosi Jatuhkan Zizan Razak

Zizan Razak
PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Zizan Razak (Raja Lawak) menyifatkan tuduhan dia sukar memberikan kerjasama bagi menjayakan promosi beberapa buah filem lakonannya adalah cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjayanya.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata dakwaan itu adalah tidak adil kerana dia dan pihak pengurusan tidak pernah melanggar sesuatu perjanjian dan komitmen jika ia sudah diatur dari awal.
“Tidak adil untuk menyalahkan saya semata-mata apabila saya gagal melibatkan diri dalam promosi sesebuah filem. Saya dan pengurusan tidak pernah melanggar perjanjian jika ia sudah dimaklumkan lebih awal.
“Masalahnya, ada syarikat produksi meminta komitmen saya pada saat-saat akhir sedangkan jadual saya bagi tarikh dan waktu tersebut sudah diisi dengan urusan lain. Apabila saya tidak dapat memenuhinya, timbul pula cerita saya sukar memberikan kerjasama,” katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu.
Terbaru, Zizan sekali lagi didakwa enggan terbabit dalam rangka promosi filem Jalan Kembali... Bohsia 2 terbitan Skop Productions kerana sudah terikat dengan penggambaran filem lain.
Ditanya mengenai perkara itu, Zizan berkata dia tidak mendengar apa-apa berhubung dakwaan tersebut.
Namun, dia lebih menghargai jika ada pihak yang tidak berpuas hati agar menyatakan terus kepadanya daripada hanya tahu “cakap belakang”.
“Saya belum mendengar mengenai perkara itu lagi. Setakat ini, saya dan pihak Skop tidak mempunyai sebarang masalah.
“Tidak adil untuk tuduh saya enggan beri kerjasama kerana pada malam tayangan perdana filem itu baru-baru ini, saya sempat singgah walaupun saya mempunyai kerja di luar Kuala Lumpur pada keesokan paginya,” jelas Zizan.
Mengenai perasaannya berhubung isu tersebut, Zizan berkata dia berasa terkilan kerana dipersalahkan sewenang-wenangnya atas masalah yang turut disebabkan oleh pihak lain.
“Saya sudah penat mendengar tuduhan sebegini. Kalau diikutkan hati, memang saya sudah malas hendak. Saya sedar bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak tetapi seboleh mungkin saya akan berusaha untuk tidak membuat keputusan dan tindakan yang akan menyusahkan pihak lain,” akuinya.
Bercakap mengenai tahap kesihatannya sejak kembali bekerja selepas dua minggu berehat akibat keradangan otot, Zizan berkata dia bersyukur kerana keadaannya bertambah baik.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertambah baik untuk kembali bekerja seperti biasa. Sebelum ini, saya terlalu memaksa diri bekerja siang dan malam sehingga jatuh sakit.
“Kini, saya belajar untuk lebih menghargai kesihatan diri,” katanya yang bakal memulakan penggambaran filem terbaru Bikers Kental terbitan Tayangan Unggul dalam masa terdekat.

- ---

Tuesday, May 22, 2012

Suki Tuntut Syarikat Rakaman Bayar RM367 Ribu Kerana Langgar Janji

Suki
PETALING JAYA: Syarikat rakaman Galaxy Music Sdn Bhd didakwa melanggar janji membabitkan pemasaran album penyanyi Suki Low Sook Wee di Taiwan bernilai RM367,000.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dekat sini, Isnin, peguam penyanyi itu, Yudistra Darma memberitahu pihaknya menyedari berlakunya transaksi yang tidak berpatutan dan salah nyata membabitkan urusan penghasilan dan pengeluaran keluar masuk wang bagi penghasilan album yang berjudul Ladies Night.
"Tindakan ini diambil disebabkan anak guam saya berasa teraniaya kerana syarikat rakaman terbabit telah melanggar perjanjian membabitkan pemasaran album di Taiwan," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Sementara itu, Suki yang dihubungi berkata, dia berasa kecewa dengan syarikat tersebut yang dinaunginya sejak tahun 2009, kerana memberikan janji palsu berkaitan pelan pemasaran album tersebut.
"Mengikut perjanjian yang dibuat, pihak Galaxy berkata, pembikinan Ladies Nightsememangnya khas untuk pasaran di Taiwan, namun setakat ini ia hanya dijual dalam negara sahaja.
"Ketika ditanya mengenai perkembangan album tersebut, mereka memberi pelbagai alasan dan menangguhkan perancangan asal seperti yang dibincangkan sebelum ini.
"Dan apabila ia ditangguhkan, segala perancangan berkaitan promosi di Taiwan tidak dapat dilaksanakan," ujarnya.
Tambah Suki, lebih mengecewakannya apabila wang yang dilaburkan itu merupakan sebahagian daripada wang kemenangannya berjumlah RM1 juta pada pertandingan One In A Million musim pertama (OIAM).
"Apabila memenangi jumlah wang yang besar, harapan saya adalah hanya ingin menggunakan hadiah tersebut untuk pelaburan karier.
"Malang sekali, hal ini pula yang timbul dan saya sangat kecewa dan berharap supaya wang itu dapat dikembalikan," katanya.
Dalam pada itu, memandangkan dia mempunyai masalah dengan Galaxy, segala aktiviti seninya di Taiwan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Perbicaraan kes berkenaan yang bermula Isnin dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.
Suki memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini pada Februari 2010.

- ---

Yuna Terkilan

Yuna tidak sangka tindakannya yang enggan mengulas panjang mengenai insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu menimbulkan salah faham kepada media. - Foto oleh RICKY LAI 
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Yunalis Zarai (Yuna) terkilan apabila dituduh cuba mengelak daripada memberi kenyataan kepada pihak media susulan insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu.
Yuna, 26, berkata dia berasa kesal dengan tuduhan itu kerana pada hakikatnya dia sibuk di lokasi penggambaran iklan sebuah produk ketika dihujani panggilan daripada pihak media.
“Saya berasa kesal dan terkilan dengan tuduhan itu. Terlalu banyak perkara yang berlaku menyebabkan saya tidak dapat memberikan komen apabila dihujani panggilan wartawan.
“Lagipun saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai perkara itu atas dasar keselamatan,” katanya.
Yuna berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran klip video lagu terbarunya berjudul Sparkle di sini, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi 17 Mei lalu, kereta milik penyanyi itu dilaporkan dipecah masuk di Subang Jaya, dekat sini. Ia dipercayai dipandu seorang rakan yang juga pemain gitar kumpulan muziknya iaitu Farhan Fazlishah (Pa’an) sebelum dibawa pulang ke rumah gitaris itu Subang Jaya.
Difahamkan juga, kejadian itu mengakibatkan Yuna kerugian sebanyak RM5,000 apabila radio kereta dan gitar milik artis barunya Diandra Arjunaidi yang dipinjam penyanyi baru itu turut dicuri.
Penyanyi lagu Live Your Life itu berkata, tindakannya mengemas kini insiden tersebut menerusi Twitter miliknya adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada para peminat dan bukan untuk menghebahkan peristiwa itu sehingga menjadi perhatian pihak media.
“Pada awalnya, niat saya mengemas kini insiden itu di Twitter adalah untuk berkongsi dan memberi peringatan kepada peminat agar berhati-hati dengan persekitaran.
“Sebelum ini, saya kerap berkongsi pelbagai perkara dengan mereka menerusi medium itu. Namun, saya tidak sangka pula isu ini akan menjadi besar,” jawabnya.
Yuna menyaksikan pelancaran klip video lagu terbarunya, Sparkle yang dirakamkan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note. 
Ditanya mengenai perasaannya berhubung kejadian itu, Yuna berkata dia menerima kehilangan itu dengan reda tetapi bimbang kerana pendedahan maklumat mengenai kejadian itu di media boleh mengancam keselamatan mereka.
“Saya tidak kecewa sangat dengan kehilangan dua barang itu kerana ia sudah pun berlaku. Tentang gitar itu, saya sudah uruskan dengan Diandra. Saya bersyukur kerana kereta itu tidak dicuri.
“Apa yang saya bimbangkan adalah pendedahan maklumat mengenai jenis kereta dan alamat rumah Pa’an mendatangkan bahaya kepada kami.
“Kereta itu turut dipandu oleh ibu dan bapa saya. Saya risau jika disebabkan pendedahan itu keselamatan keluarga pula yang terancam,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Yuna berkata dia berasa bangga dengan klip video lagu terbarunya itu yang diilhamkan menerusi The Sparkle Project dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note.
“Ini adalah klip video terbaik dan terbesar daripada saya setakat ini. Saya sangat suka dan puas hati dengan hasilnya kerana ia dihasilkan dengan menggunakan telefon pintar.
“Secara peribadinya, saya sangat kagum dengan hasilnya selepas melihat klip video itu,” ujarnya yang juga duta telefon pintar berkenaan.

- ---