Tuesday, July 31, 2012

Haizi Rani Tak Serik Mahu Jadi Penyanyi

Haizi mengakui merindui bidang nyanyian. Foto FAIHAN GHANI.
PETALING JAYA: Bekas peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan yang popular suatu ketika dahulu iaitu Haizi Rani menganggap masih belum terlambat untuk memulakan kembali karier nyanyiannya selepas hampir sepuluh tahun tidak tampil dengan album baru.
Haizi, 33, berkata, dia tidak peduli jika ada pihak yang sudah tidak mengenalinya kerana berpegang kepada keyakinan dan rezeki yang telah ditetapkan.
"Saya tidak mahu menjadikan faktor masih dikenali atau tidak sebagai halangan untuk diri saya melakukan sesuatu yang saya cintai.
"Malah saya yakin dengan kehadiran single atau album baru itu nanti akan dapat diterima peminat.
"Paling penting adalah usaha kita sebagai manusia dalam mengejar sesuatu impian," ujarnya ketika ditemui.
Tambah Haizi, sepanjang tidak merakamkan album atau membuat persembahan pentas dia sentiasa memasang hasrat untuk kembali ke persada muzik tempatan dan berharap hasrat itu akan tercapai.
"Kali terakhir saya muncul dengan album baru adalah pada tahun 2004 yang berjudul 'Terus Melangkah' dan selepas itu saya terus senyap. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya sudah berputus asa dengan impian dan cita-cita saya," jelasnya.
Dalam pada itu, Haizi memberitahu sedang mengintai beberapa orang komposer terkenal tanah air untuk bekerjasama dengannya dan berhasrat untuk mendapatkan khidmat Edry Abdul Halim dan Adi daripada kumpulan Sixth Sense.
Haizi bagaimanapun berkata, ia masih lagi di peringkat awal dan tidak mahu terlalu terburu-buru tampil dengan karya baru selain memastikan perancangan dibuat berjalan dengan baik.
"Setakat ini ia masih pada peringkat perbincangan lagi dan saya tidak mahu terburu-buru kerana ingin melakukan sesuatu yang betul," katanya.
Sementara itu, Haizi yang juga bekas penyampai berita TV3 menjelaskan kehilangannya selama beberapa tahun sebelum ini bukan kerana kecewa atau kecil hati dengan industri sebaliknya ingin memberikan tumpuan kepada keluarga.
Haizi menjelaskan sepanjang tempoh tersebut dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga selain memberi fokus kepada perniagaan kedai dobi yang diusahakannya.
Dalam perkembangan lain, Haizi yang baru muncul sebagai pengacara program terbaru berjudul Resipi Sunnah memberitahu teruja dapat kembali ke dunia pengacaraan dan sedang dalam perancangan untuk mengacarakan sebuah program travelog.
Resipi Sunnah disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang di TV9.

- ---

Sofia Jane Punca Sheila Rusly Kembali Berlakon

Sheila Rusly
PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas hampir setahun berehat semata-mata kerana projek istimewanya bersama rakan aktres Datin Sofia Jane.
Sheila, 41, berkata, dia terpanggil untuk berlakon semula dalam telefilem berjudul Jane Jamilah itu demi memenuhi keinginan Sofia yang bersetuju untuk membintangi karya genre komedi buat julung kalinya.
“Saya bersetuju untuk berlakon semula kerana rakan lama, Sofia Jane yang buat pertama kalinya bersetuju membintangi telefilem komedi berjudul Jane Jamilah.
“Telefilem ini adalah projek istimewa kami untuk tayangan selepas Hari Raya nanti dan kini berada dalam proses suntingan,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya mengenai tindakannya berehat daripada lakonan sebelum ini, Sheila berkata, dia selesa memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya dan suami Azman Yahya (Jinggo) iaitu JS Pictures.
Sofia Jane
“Kalau diikutkan sudah hampir setahun saya tidak berlakon langsung kerana sibuk membantu Jinggo dalam kerja-kerja belakang tabir drama-drama terbitan syarikat kami.
“Sebenarnya, saya kasihan pada suami yang sering tidak cukup tangan dengan pelbagai komitmen. Kebetulan pula, saya juga mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang itu, apa salahnya saya bantu apa yang patut,” katanya.
Mengenai sambutan Ramadan pada kali ini, Sheila berkata, syarikat produksinya tidak melakukan sebarang penggambaran sepanjang bulan puasa dan lebih menumpukan pada proses pra-produksi drama bersirinya akan datang.
“Macam biasa, syarikat produksi saya akan berhenti berehat daripada penggambaran sepanjang bulan Ramadan.
“Selain untuk fokus pada ibadah, saya sibuk dengan kerja-kerja pra-produksi drama bersiriCinta Adam & Hawa yang akan memulakan penggambaran selepas Hari Raya,” katanya.

- ---

Buat Pelaburan Di Internet, Adi Putra Ditipu RM19,000

Adi Putra
KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra, 31, kerugian sebanyak RM19,000 kerana ditipu selepas melabur dalam satu pelaburan di Internet.
Pelakon yang berasal dari Singapura itu berkata, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini dan enggan mengulas lanjut atas nasihat polis.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat. Kejadian ini bersifat peribadi dan dia dinasihatkan polis supaya tidak menceritakan kejadian itu secara terbuka kepada pihak media mahupun peminat
"Saya harap pihak luar dapat hormati pendirian saya. Jika ia bukan kes polis, mungkin saya akan membuat sidang akhbar bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya, yang dipetik daripada akhbar Harian Metro.
Ady yang turut membintangi filem pecah panggung, KL Gangster kini sedang menjalani penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di sekitar ibu kota, mengatakan kejadian itu boleh memberikan kesan pada dirinya secara peribadi termasuk karier seni.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut Izany, pelakon terbabit menyertai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan menerusi Internet.
"Dia memasukkan RM19,000 ke akaun milik suspek tetapi komisen yang dijanjikan belum diterima sehingga kini," katanya.

- ---

Monday, July 30, 2012

Ustaz ajak Diana Amir 'taaruf'

DIANA tidak menolak sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan ustaz.


PELAKON Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, agak manis selepas berhijrah dengan memakai tudung sejak September tahun lepas.
Dia yang pernah berlakon filem seperti V3 Samseng Jalanan, Senario Opocot, Keramat dan321 Cinta sebelum bertudung, kini hanya akan berlakon filem atau drama yang sesuai dengan keadaan dirinya sahaja.
Diana yang bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) bersama pelakon Kamal Adli kini menolak tawaran berlakon di bulan Ramadan supaya lebih banyak masa untuk beribadat.
Ketika ditemui di majlis berbuka Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, gadis kelahiran Birmingham, England ini juga turut berkongsi kisah diajak berkenalan oleh beberapa ustaz ketika mengikuti program keadaan di bulan Ramadan ini.
Soalan: Boleh ceritakan apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
DIANA: Sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem atau drama, saya banyak tumpukan untuk beribadat seperti pergi tarawih dan memenuhi undangan forum berbentuk keagamaan dengan berkongsi kisah penghijrahan saya dengan remaja.
Selepas bertudung, adakah Diana pernah dipikat oleh sesiapa?
Saya masih tiada teman lelaki dan tidak terfikir ke arah itu lagi sekarang tetapi ada juga beberapa ustaz yang mengajak saya 'taaruf' (berkenalan) selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Apabila mereka buat demikian terus saya tidak balas SMS itu. Saya berkenalan dengan mereka ketika dalam program keagamaan.
Kenapa Diana menolak untuk 'taaruf' dengan mereka?
Saya masih tidak berani, misi saya sekarang untuk mendalami Islam. Ilmu saya masih tidak cukup dan tidak mahu campur aduk perkara lain dalam usaha saya kenal dengan agama sendiri.
Adakah Diana menolak jika bertemu jodoh dengan ustaz?
Saya tidak memilih. Saya akan terima sesiapa sahaja jodoh yang ditentukan Allah, kalau ustaz juga tidak mengapa asalkan ustaz yang baik dan boleh membimbing saya kelak.
Diana ada sasaran bila akan menamatkan zaman bujang?
Saya berdoa dipercepatkan jodoh mudah-mudahan tahun depan.
Tahun hadapan? Bukankah itu terlalu cepat untuk anda?
Saya mahu cepat-cepat dapat zuriat. Kalau dulu saya mahu kahwin sebab mahu mempunyai suami, tetapi sekarang saya begitu mengimpikan untuk mempunyai cahaya mata sendiri kerana saya terlalu sukakan kanak-kanak.
Kriteria suami pilihan Diana?
Sudah tentu yang beriman yang penting dia perlu bijak dalam membimbing saya dan keluarga.
Bagaimana kerjaya seni Diana, adakah masih menerima tawaran berlakon?
Saya kini banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie, manakala untuk filem tawarannya agak terhad selepas saya bertudung tetapi saya reda.
Adakah Diana mengenakan syarat selepas menerima tawaran berkenaan?
Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan kena dengan imej bertudung saya, jika tawaran itu yang mahu saya lakonkan watak bercinta juga tidak mengapa asalkan tiada adegan peluk dan bersentuhan dengan bukan muhrim.
Diana kena begitu supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat apabila berhijrah mesti ada perubahan.
Apakah filem terbaharu Diana akan datang?
September ini dilancarkan filem saya bersama Kamal Adli berjudul Salam Cinta terbitan Metrowealth.
- ---

Misha Kahwin Tahun Depan



SEPANJANG bergelar penyanyi dan pelakon ternyata Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar antara artis yang tidak dapat lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi.
Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda.
Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga.
Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu.
Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing.
Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.
"Kalau diikutkan saya memang mahu berumah tangga secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Firos, akhirnya kami telah sepakat untuk menangguhkan perkahwinan kami pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi.
"Buat masa ini tunang saya agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja dia tamat menjalani kursus, barulah kami akan mencari tarikh yang sesuai, namun saya tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," jelasnya.
Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah.
Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat.
"Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya.
"Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya," ujarnya.
Berkenaan dengan majlis yang akan dilangsungkan pula, Misha menceritakan dia lebih gemar dengan majlis yang serba ringkas, namun bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang sudi untuk memberi tajaan.
"Sehingga kini persiapan perkahwinan masih belum lagi dilakukan, malah tempahan dewan juga belum dibuat kerana masih tidak mendapat tarikh yang sesuai. Namun, saya akan tetap membuat persiapan sedikit demi sedikit supaya nanti tidak terlalu kelam-kabut sangat," jelasnya.
Album baharu
MISHA menafikan perkahwinannya dengan Firoz Ezzwan ditangguhkan kerana hubungan mereka bermasalah.


Biarpun ketika ini Misha dilihat lebih kerap tampil di kaca televisyen menerusi drama dan telefilem lakonannya, bidang nyanyian tetap diutamakan dan masih lagi banyak menerima tawaran membuat persembahan.
Jelas Misha, pada akhir tahun ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu yang kini masih lagi dalam proses pembikinan setelah kali terakhir tampil dengan album berjudul Misha Omar pada tahun 2008.
"insya-Allah, kalau segalanya mengikut perancangan para peminat boleh mendapatkan album terbaharu saya pada tahun ini juga. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya sudah selesai dirakamkan.
"Sebenarnya saya bertuah kerana Datuk M. Nasir telah bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan album baharu," ujarnya.
Antara lagu-lagu yang sudah siap dirakam sepertiMaharani, Yang Indah, Kedatanganmu Tak Ku Sambut dan Angin Syurga yang ketika ini sudah disiarkan di stesen-stesen radio, manakala Datuk M. Nasir dan anaknya iaitu Ilham serta dua orang anggota kumpulan Spider, Tam dan Tony antara yang menyumbangkan lagu untuk albumnya itu.
"Memandangkan saya menghasilkan album terakhir kira-kira empat tahun lalu dan sering sibuk dengan kerjaya lakonan, jadi sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan produk terbaharu sebagai hadiah istimewa buat peminat," jelasnya.
Tetap bekerja
Berbanding dengan kebanyakan artis lain yang akan berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan, ternyata Misha tetap memberikan komitmen terhadap kerjayanya.
Ketika ini Misha sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Untung Atas Angin, sebuah program komedi yang akan disiarkan di saluran RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Telefilem tersebut yang diarahkan oleh Malek Rahman turut membabitkan beberapa orang pelakon lain seperti Didie Alias, Enot, Roy Azman dan Erin Malek serta menjalani penggambaran selama enam hari.
"Beberapa hari selepas selesai menjalani penggambaran telefilem ini, saya akan terlibat pula dengan rakaman program raya Pesona Aidilfitri bersama Alyah dan Dayang Nurfaizah pada 30 Julai ini.
"Bagi saya segala tawaran yang diterima merupakan satu rezeki yang tidak harus ditolak, meskipun perlu bekerja pada bulan Ramadan. Lagipun bekerja pada hari biasa dan semasa berpuasa tidak banyak berbeza," jelasnya yang masih aktif dalam kerjaya seni semasa bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Mengenai persiapan menjelang sambutan Aidilfitri pula, Misha sekadar membuat persiapan yang sederhana dan lebih mengutamakan persiapan untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia enam tahun.
- ---

Friday, July 27, 2012

Zed Zaidi Timang Anak Lelaki

Pagi tadi menerusi laman Facebook milik pelakon Zed Zaidi juga Presiden SENIMAN, memberitahu kelahiran anak sulungnya. Isterinya, Nelly telah selamat melahirkan di hospital tropicana medical center. Zed Zaidi dan Nelly telah menerima cahayamata lelaki yang lahir pada 27 Julai 2012,10 pagi dengan berat 4.32 kg. Tahniah diucapkan.
- ---

Artis Pakai Tudung Tidak Perlu Mengeluh

PETALING JAYA: Artis-artis wanita khususnya mereka yang membuat keputusan untuk berhijrah dan menukar imej dengan memakai tudung tidak wajar mengeluh jika berdepan kesulitan untuk mendapatkan tawaran kerja.
Golongan itu seharusnya yakin terhadap niat utama untuk berhijrah dan perlu mengelak daripada memberikan kenyataan yang boleh mencemarkan imej mereka selepas membuat keputusan untuk berubah.
Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata, sekiranya ada di kalangan artis yang baru bertudung sukar untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan itu, individu tersebut harus menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.
Sheila Rusly
“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah.
"Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.
"Bertudung dan menutup aurat itu tidak membebankan atau membatasi urusan seharian kita,” katanya ketika dihubungi di sini.
Penerbit eksekutif JS Pictures ini berkata demikian sebagai respons kepada luahan dan rungutan segelintir artis wanita yang bertudung mendakwa kurang mendapat tawaran seperti sebelumnya.
Malah terdapat sesetengah artis yang tergamak memberi kenyataan sinis dengan memburuk-burukkan pihak tertentu selepas menukar imej selain turut menyertai parti politik pembangkang.
Berdasarkan kepada pengalamannya Sheila berkata, kerjaya dan perniagaannya tidak merudum sebaliknya dia menikmati kesan positif terutama sekali selepas pulang daripada menunaikan ibadat Haji pada hujung 2007.
Aida Khalida
“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung.
“Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.
“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.
Bersifat sementara
Aktres berpengalaman Aida Khalida pula berkata, senario tawaran lakonan yang terjejas selepas bertudung hanya bersifat sementara kerana dia juga tidak terlepas daripada pengalaman itu ketika mula bertudung kira-kira empat tahun lalu.
“Bagi saya, isu tawaran terjejas atau merosot adalah ujian Allah kepada artis yang baru berhijrah. Ketika mula-mula bertudung empat tahun lalu, saya pun hadapi perkara yang sama tetapi ia hanya sementara.
“Berkat keyakinan, doa dan usaha Allah pasti bukakan pintu rezeki kepada kita. Tawaran kerja yang konsisten atau terjejas tiada kaitan dengan bertudung kerana ia adalah perkara wajib bagi wanita Muslim,” katanya.
Menurut Aida, rezeki daripada pendapatannya menjadi lebih berkat berbanding sebelum bertudung dulu kerana ia berterusan dan tidak pernah putus.
“Alhamdulillah, pendapatan lakonan saya tidak terjejas, malah rezeki itu menjadi lebih berkat sejak saya bertudung. Kalau sebelum ini, dapat sebanyak mana pun wang pasti akan habis begitu sahaja tetapi sekarang rezeki itu sentiasa ada.
“Susah saya hendak jelaskan sebenarnya tetapi itulah perkara terhebat yang saya peroleh berkat penghijrahan ini,” katanya.
Bekas pelakon dan pengacara yang kini bergelar aktivis bebas Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmo (Wardina) mengakui menerima impak negatif dan diskriminasi daripada industri seni ketika dia berhijrah sekitar 12 tahun lalu.
Wardina Safiyyah
“Namun saya sudah meletakkan sasaran untuk berundur diri daripada lakonan dan beralih ke bidang pengacaraan ketika itu. Tidak saya nafikan, impak diskriminasi saya alami ketika mula-mula bertudung tetapi ia hanya perkara kecil dan sementara.
“Lama-kelamaan, penggiat seni dan peminat semakin terbuka dan menerima penghijrahan saya. Mungkin juga kerana saya sudah tidak mahu berlakon ketika bertudung dulu, saya jadi tidak begitu kisah mengenai reaksi orang kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.
Ujar Wardina, jika seseorang artis wanita itu berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni selepas bertudung, dia harus bersabar dan percaya pada rezeki yang ditetapkan Allah.
“Berhijab bukan kerana kita sudah sempurna iman atau terlalu baik tetapi kerana mahu menjadi manusia yang lebih baik.
“Jika di kalangan artis bertudung mampu bertahan, teruslah berusaha mencari rezeki yang berkat tetapi jika sebaliknya, maka beralihlah kepada bidang yang lebih baik,” katanya.

- ---

Tinggal Berasingan Berjaya Pulihkan Rumah Tangga Ani Mayuni

Ani Mayuni tidak mengalami trauma selepas insiden dipukul suami pada Februari lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga penyanyi dangdut Ani Mayuni yang berlaku pada awal Februari lalu akhirnya selesai apabila dia dan suaminya Zairi Azmi mengambil pendekatan untuk berjauhan selama sebulan setengah.
Menurut Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, tindakan itu terbukti berkesan apabila proses berjauhan itu dapat memulihkan keretakan hubungan mereka sebelum ini.
“Selepas insiden itu (dipukul) saya dan suami ambil keputusan untuk berjauhan bagi lebih mengenali diri dan menilai semula baik buruk sikap kami.
“Saya bersyukur, rupanya tempoh berjauhan itu berjaya memulihkan hubungan perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui di sini, malam Rabu lalu.
Pada 2 Februari lalu, sebuah akhbar harian tabloid melaporkan Ani telah ditendang dan dipukul suaminya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan muzik Arrow di rumah mereka yang terletak di Desa Rejang, di sini.
Dalam laporan tersebut, penyanyi dangdut itu mendakwa kepalanya turut dihentak ke dinding hanya kerana dia meminta suaminya membelikan sarapan pagi.
Bagaimanapun, Ani menafikan bahawa dirinya ditendang seperti yang diuar-uarkan di media sebaliknya hanya dipukul selepas bertengkar.
Ani bersama suami Zairi Azmi dan anak sulung mereka Wirda Viviana ketika menghadiri majlis penyerahan royalti Prism di Restoran Seri Melayu di sini, malam Rabu.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sedap ini berkata, tempoh berjauhan itu memberikan ruang antara satu sama lain untuk memperbaiki kekurangan masing-masing.
“Apa yang saya boleh katakan, konflik rumah tangga kami sudah pulih dan kehidupan bertambah harmoni. Saya melihat ada hikmah di sebalik kejadian itu.
“Apabila berjauhan selama sebulan setengah, baru saya sedar kesilapan saya dan begitu juga suami. Ia membuatkan kami bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan masing-masing.
“Insiden itu berpunca daripada emosi kami yang saling memendam rasa selama ini kerana isu masa dan sering berjauhan,” katanya.
Ditanya mengenai kesan insiden itu kepada dirinya, Ani berkata tiada impak negatif dialami kerana kemelut perkahwinannya berjaya diselesaikan dalam keadaan baik.
“Saya memang tidak pernah fikirkan atau mahukan perceraian. Biar seteruk mana pun keadaannya ketika itu, saya cuba bertahan demi anak-anak dan rumah tangga saya.
“Kini keadaan kembali seperti sedia kala, jadi saya tidak perlu berasa trauma atau bimbang. Malah, kehidupan kami sekeluarga semakin bahagia,” katanya.
Ani dan Zairi Azmi atau Ayie, 37, mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2.

- ---

Thursday, July 26, 2012

Isu Gambar Zed Zaidi - Mamat Sepah Nak Pukul Orang

GAM pun tak tahu apa motif Mamat sepah dengan isu gambar kemalangan Zed Zaidi nih, apa-apa pun, korang boleh tengok tweet dari mamat sepah bersama beberapa penuli hiburan serta wartawan.

Petikan dari blog www.hazrey.com

Sebaik berita sebenar bahawa ia adalah salah satu adegan drama/filem yang yang dilakonkan Presiden Seniman, Zed Zaidi, banyak pihak membidas pelawak ini kerana menyebarkan berita tidak tepat. 

Lantaran komen dari pengguna twitter itu, ia mengundang pelbagai reaksi kurang menyenangkan dari lelaki yang dikatakan pelawak ini. 

Petang tadi, Mamat Sepah sebenarnya sudah mula menggunakan jawapan keterlaluan terhadap pengguna twitter yang menegur sikapnya.

Antara twit yang ditulis Mamat Sepah termasuk "aku cuma bagitahu apa yang artis suruh, pastu semua salahkan aku." itu antara yang ditulis Mamat Sepah petang semalam (Rabu).


Bagi tidak mengeruhkan keadaan, aku ada mencadangkan cara menjernihkan keadaan namun tidak menerima sebarang jawapan dari lelaki ini. Lihat twit kira-kira jam 6.25 petang semalam di atas.

Pada aku, jika benar lelaki ini seorang artis, dia mempunyai satu tanggungjawab besar dan jika melakukan kekhilafan, perkara paling mudah ialah meminta maaf seperti: "Maaf saya berniat baik terhadap seorang sahabat dan maaf jika ia maklumat yang salah." 14 perkataan sahaja namun tinggi nilainya.

Mungkin, mungkin ia boleh ditambah sedikit, yelah sesuai dengan bulan yang mulia ini, dilengkapkan dengan ayat: "Yang baik itu datang dari Allah SWT, yang buruk yang terkhilaf itu dari saya. Maafkan saya." Ya Allah, tentu sekali ramai yang memaafkan dia malah menganggap dia seorang mangsa yang dipermainkan rakan artis.

Tentu ia lebih mengundang simpati pada artis ini dari dibidas pelbagai pihak.

Namun, sebaliknya berlaku.


Lihat sendiri jawapan yang diberikan lelaki ini.

Ya, aku pun tidak terlepas dari cacian Mamat Sepah apabila aku menegur cara dia membalas twit ala samseng. Seriously, betul ke dia ni pelawak atau seorang gangster?

Aku tertarik dengan salah satu balasan twit Mamat Sepah berikut:


Pada aku yang ada sedikit ilmu undang-undang, aku amat berharap @MrKhaidil ini akan membuat laporan polis terhadap kata-kata yang boleh dianggap ugutan ini kerana ada unsur mencederakan.

Mungkin ugutan ini boleh disiasat kerana ia sesuatu yang menggusarkan kerana ia turut mendakwa mudah mendapatkan maklumat mengenai pengguna twitter maka ia sekaligus boleh dianggap sebagai ancaman terhadap pengguna twitter itu.

Mungkin kes boleh disiasat mengikut Seksyen 507, Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Kalau tepat pengetahuan aku, ugutan seumpama ini adalah arrestable offence dan jika penguna twitter itu merasakan dirinya terancam berikutan ugutan itu termasuk dakwaan pelawak itu boleh mendapatkan maklumat mengenai pengguna twitter itu.

Aku pelik dengan sikap artis kita. Adakah artis seumpama ini yang perlu diminati? Mereka mempunyai akses yang luas dengan masyarakat kerana dikenali maka tanggungjawab dalam diri mereka perlu lebih tinggi dan ia, tidak dinafikan menuntut kita untuk bersikap lebih bersabar. Itulah harganya untuk menjadi artis. Bukan mudah.

Apakah Mamat Sepah akan memberi alasan - saya terlalu marah pada masa itu? Saya cuma paste apa yang rakan artis suruh? 

Aku tetap merasakan episod ini mudah selesai jika Mamat Sepah lebih bertanggungjawab dan bertindak meminta maaf terhadap apa yang sudah berlaku sebaliknya dia bertindak mengeluarkan kata-kata kurang matang termasuk memaki hamun.

Mungkin Mamat Sepah tak pernah mendengar Ular Menyusur Akar Takkan Hilang Bisanya. Tak jatuh maruah dia kalau dia mohon maaf. Tak terkikis nyawa dia kalau dia minta maaf. Tak hilang duit dia kalau dia minta maaf. Tak.

Dan aku tak rasakan perbuatan seperti ini adalah lawak. Tetapi, Mamat Sepah itu sendiri adalah lawak berikutan perbuatan kurang matang dan seperti samseng.

Permohonan maaf adalah sangat mahal bagi lelaki ini tetapi untuk membaraikan muka orang, sangat murah harganya.
- ---