Wednesday, August 29, 2012

Nadiya Nissa Terpaksa Cari Pembantu Rumah

Nadiya semakin dikenali ramai dengan lakonan mantap.
PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon.
Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu.
"Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini.
"Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya.
Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar.
"Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon.
"Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur.
Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134).
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.
Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya.
"Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan.
"Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya.

- ---

Fasha Sandha Doa Kejayaan Suami Sertai Lumba Kereta

Fasha dan Jejai. Foto JETT
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya.
Fasha atau nama sebenarnya Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Rizal daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
"Saya tidak pernah halang apa-apa yang dia mahu buat. Yang penting, saya akan menjadi tulang belakang untuk menyokongnya. Malah saya juga sanggup berpanas di atas trek litar.
"Diakui, mana-mana isteri pun akan risau apabila suami berada dalam zon bahaya, tetapi saya percaya dengan kemampuannya dan berdoa kepada Allah supaya dia selamat dan berjaya.
"Seronok juga jadi pengurus peribadi suami, asalkan dia bahagia, saya sanggup buat apa sahaja," katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Rizal atau nama panggilannya, Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Rizal berdiri di sebelah kereta model khas - Lamborghini Super Trofeo.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu.
Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu.
Dalam pada itu, Fasha yang turut menemani suaminya dalam kejohanan itu menganggap kemenangan Jejai adalah rezeki perkahwinan mereka dan anak dalam kandungan yang kini berusia kira-kira tiga bulan.
"Alhamdulillah syukur, kemenangan ini juga hasil daripada doa daripada keluarga kami. "Kiranya, berbaloi juga kerana inilah kali pertama saya beraya di luar negara tanpa keluarga.
"Tahun ini juga merupakan sambutan Aidilfitri yang paling seronok. Insya-Allah saya dan suami akan membuat majlis rumah terbuka bergabung dengan dua orang artis lagi," ujarnya.
Tambah Fasha, dia dan suami akan berangkat ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya.
- ---

Tuesday, August 28, 2012

Lan A to Z dapat bayi lelaki


Lan Ato Z atau nama sebenar Norazlan Abd Aziz yang telah selamat menimang cahaya mata lelaki bersama isterinya Siti Nur Ain semalam.

Pasangan telah berkahwin pada November tahun lepas di Kuala Kubu Selangor.Perkahwinan ini adalah yg kedua buat Lan

- ---

Azza Elite Mengandung Selepas Makan Kurma

Azza
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) menjadikan petua makan buah kurma dan berdoa setiap hari pada bulan Ramadan lalu antara penyebab dia bakal memperoleh anak sendiri selepas disahkan mengandung kira-kira lima minggu.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, berkata, dia tidak menyangka kehadiran Ramadan yang digunakan sebaik-baiknya itu dibalas dengan rezeki besar dalam rumah tangganya selepas berkahwin dengan Azlan Zulaily, 25, pada 2 April lalu.
"Keinginan untuk mendapatkan cahaya mata bagi setiap pasangan suami isteri yang baru berkahwin pastinya ada, begitu juga dengan saya dan suami.
"Jadi, saya mengambil keberkatan bulan Ramadan lalu dengan berdoa setiap hari kepada Tuhan agar diberi zuriat selain mengamalkan petua pengambilan buah kurma dan limau dengan lebih kerap.
"Tapi, tak sangka pula secepat ini hasilnya kerana saya tidak mengamalkan petua-petua lain. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini," katanya.
Azza dan Azlan telah diijabkabulkan pada 2 April lalu.
Dalam pada itu, Azza memberitahu dia enggan memanjakan diri dengan berehat sementara daripada segala aktiviti seni walaupun ada yang berpendapat jika terlalu aktif ia mampu menjejaskan kandungan.
"Ada beberapa perkara yang saya rasa pelik dengan petua-petua yang diberikan kononnya ibu mengandung tidak boleh buat kerja-kerja berat selalu kerana boleh mengakibatkan keguguran.
"Tetapi saya lihat, ibu-ibu mengandung yang kehidupannya susah, boleh pula bekerja keras setiap hari macam biasa dan mereka masih lagi mampu melahirkan anak yang sihat.
"Kadang-kadang geram juga dibuatnya apabila saya sering ditegur kerana angkat barang-barang. Saya percaya, kehadiran dan kehilangan sesebuah rezeki semuanya datang daripada kuasa Allah," tuturnya.
Bagaimanapun, beritahu Azza, dia hanya akan mengurangkan aktiviti seninya apabila perutnya semakin membesar.
Hasil perkahwinan terdahulu selama tiga tahun, Azza tidak dikurniakan cahaya mata tetapi pelakon itu dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat bernama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul menerusi drama Mujahid dan Mesin Cinta Atuk di TV2 dalam masa terdekat ini serta bakal memulakan penggambaran drama berjudul Julia bagi siaran TV3.

- ---

Anzalna Tidak Boleh Berenggang Dengan Kekasih

Anzalna dan kekasihnya, Hanif.
PETALING JAYA: Pelakon jelita iaitu Nur Anzalna Nasir mengakui tidak boleh berenggang dengan teman lelakinya, Hanif Zaki dan sering menghabiskan masa bersama.
Anzalna, 24, berkata, dia sangat menyanjung sikap Hanif yang sangat ringan tulang selain tidak keberatan untuk menemaninya ke majlis-majlis hiburan, penggambaran drama atau filem sekiranya mempunyai masa terluang.
"Saya akui banyak menghabiskan masa bersamanya dan dia adalah antara orang paling rapat dengan saya. Sikapnya yang rajin dan mengambil berat cukup menyenangkan saya," ujarnya .
Anzalna mendedahkan dia telah mengenali Hanif sejak lima tahun lalu dan hanya mula menjalinkan hubungan cinta setahun lepas.
Dalam pada itu, Anzalna berkata dia tidak mempersoalkan tanggapan masyarakat yang mempertikaikan keakraban mereka berdua kerana hubungan itu mendapat kepercayaan keluarga masing-masing.
"Lebih baik ditemani oleh orang yang kita percayai dan sanggup mengorbankan masa dan boleh bertolak ansur untuk menemani saya," katanya.
Sementara itu bercakap mengenai perkahwinan, Anzalna berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun tanpa ikatan pertunangan.
Tambah Anzalna, kedua-dua mereka mengambil pendekatan untuk mengumpul wang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menjadi suami isteri.
Dalam perkembangan lain, Anzalna tampil dalam drama bersiri adaptasi novel popular berjudul Adam dan Hawa yang turut dibintangi oleh Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) bermula malam Isnin lalu.

- ---

Nama Anak Que Haidar Jadi Isu

Que Haidar
PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar menyifatkan individu yang mempersoalkan nama anak keduanya iaitu Tengku Cleopatra Haidar yang dikatakan menyerupai nama Firaun sebagai tidak masuk akal.
Que berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan maksudnya daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi.
"Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya.
"Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita," ujarnya.
Que diminta mengulas tuduhan kononnya dia dan isteri, Linda Jasmine tidak sensitif terhadap pemilihan nama anak yang dikatakan menyamai nama ratu Firaun semasa pemerintahan kerajaan Mesir Purba iaitu Ratu Cleopatra VII.
Tambah Que, pemilihan tersebut dibuat atas persetujuan dengan isterinya dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dibuat tanpa sebarang usul periksa.
Dalam pada itu, Que memberitahu apa yang lebih penting anak yang dilahirkan itu adalah seorang Islam dan tumpuannya kini adalah untuk membesarkannya dengan didikan agama yang kuat supaya menjadi seorang Muslim yang sejati.
Que berkata, dia tidak terlalu memberikan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh masyarakat terhadap perkara itu sebaliknya ingin terus berusaha untuk membesarkan anak-anak.
"Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama," katanya.
Sementara itu, Que memberitahu mereka belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya itu kepada umum dan hanya akan berbuat demikian semasa majlis cukur jambul selepas Hari Raya Aidilfitri ini nanti.
Tengku Cleopatra Haidar atau lebih mesra dengan sapaan Cleo dilahirkan pada 26 April lalu secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Selain Cleo, pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 selain Qalif Khan, 12, iaitu anak pertama Linda bersama bekas suami.
Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

- ---

Wednesday, August 15, 2012

Misai A Galak Laris

A Galak
KUALA LUMPUR: Bak kata pepatah! Tuah ayam nampak di kaki, tuah A.Galak pada misainya.
Itulah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh pelakon Gerak Khas, A.Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, 70, yang mengakui misai lintangnya itu menjadi pembuka rezekinya selama ini.
Beliau berkata, dek kerana misai itu, rezeki lakonan yang diterimanya tidak pernah putus sehinggalah ditawarkan berlakon di Singapura untuk sebuah drama komedi sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Percaya atau tidak sebuah syarikat produksi di Singapura menawarkan saya berlakon kerana misai saya. Penerbit drama itu memberikan saya watak sebagai penjual songkok cap misai,” katanya.
A Galak berkata, dek kerana faktor usia, misainya yang sudah beruban itu terpaksa diwarnakan menggunakan inai agar kelihatan menarik dan kemas.
Namun katanya, kadang kala dia menjadi rimas kerana misai itu sering kali mengganggu terutamanya ketika hendak menikmati makanan.
“Setiap kali saya menikmati aiskrim, mesti aiskrim itu terlekat pada misai saya. Tapi apa boleh buat, kalau saya potong misai ini, habislah rezeki saya nanti,” katanya yang gemar berjenaka.
Bercerita mengenai sejarah misai itu A Galak berkata ia bermula ketika penggambaran drama bersiri Roda Roda Kota Raya pada tahun 1990-an apabila pengarah drama itu, Datuk Yusof Haslam memintanya menyimpan misai.
Dipanggil sebagai 'Sarjan Misai' dalam drama bersiri Gerak Khas.
Katanya, watak tersebut merupakan inspirasi seorang anggota polis trafik Jalan Bandar di sini bernama Sarjan Senin yang terkenal dengan misai lintangnya.
“Untuk menjiwai watak, saya pun menyimpan misai untuk drama itu sehinggalah ia sinonim dengan saya sampai ke hari ini,” katanya.
A Galak memberitahu tidak berhasrat memotong misai berkenaan kerana menganggap tidak ramai pelakon yang mampu dikenali dengan imej yang ditampilkan.
Katanya, walaupun sesetengah orang melihat wajahnya serius gara-gara misai lintangnya itu, tetapi sifatnya tidak seperti yang digambarkan banyak pihak malah beliau juga seorang yang suka berseloroh.
Dalam perkembangan lain jika tiada apa-apa tawaran berlakon, beliau akan menghabiskan masa di Kampong halamannya yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan bersama isteri.
A Galak juga turut berbangga selama 35 tahun bergiat dalam dunia seni, dia dapat membuktikan mampu menyara kehidupannya sekeluarga termasuklah membesarkan lima orang anak yang sekarang berumur antara 25 hingga 40 tahun.
“Saya bersyukur, anak-anak saya kebanyakannya sudah berjaya dalam pelajaran hasil wang yang saya peroleh sebagai pelakon.
“Anak-anak saya ada yang bekerja sebagai arkitek, ahli perniagaan, pengurus syarikat serta pembantu perubatan. Saya juga hidup bahagia bersama 11 orang cucu,” katanya.
- ---

Tuesday, August 14, 2012

Neelofa Tidak Kecil Hati

Neelofa
PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap teguran penerbit filem Datuk Yusof Haslam terhadapnya seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada Ahad lalu bukanlah satu isu besar sebaliknya ia adalah nasihat daripada bapa kepada seorang anak.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata dia tidak berkecil hati dengan teguran yang diterima daripada orang yang berpengalaman seperti Yusof, lebih-lebih lagi hubungan mereka akrab seperti sebuah keluarga.
"Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga saya dan uncle (panggilan buat Yusof) saling kenal mengenali dan kami mempunyai hubungan yang agak rapat.
"Selama ini pun saya banyak minta tunjuk ajar daripadanya dan apa saja teguran atau nasihat yang diberi, saya terima kerana dah anggap beliau macam bapa sendiri. Sebab itu saya selesa memanggilnya uncle.
"Rasanya, berita tentang teguran uncle yang dikeluarkan Ahad lalu sengaja diperbesarkan oleh pihak ketiga," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Datuk Yusof Haslam
Ahad lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan teguran Yusof terhadap sikap Neelofa yang dikatakan enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) terbitan Skop Production selain tidak hadir ke pelancaran filem itu.
Dalam artikel tersebut, Neelofa turut dikatakan tidak mengendahkan tawaran watak utama dalam sebuah filem baru terbitan produksi tersebut.
Dalam pada itu, tambah Neelofa, ketiadaannya ketika majlis pelancaran filem S.A.M pada 16 Julai lalu itu bukan sengaja dibuat-buat sebaliknya ketika itu dia berada di tanah suci Mekah menjalani penggambaran drama Kau Yang Terindah.
Sementara itu, Yusof yang dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia tiada niat mahu memburukkan pelakon itu yang sudah pun dianggap seperti anak sendiri.
Sebaliknya kenyataan tersebut dibuat ketika beliau “berborak kosong” dengan wartawan akhbar berkenaan.
"Sebenarnya ia sekadar perbualan biasa antara saya dengan wartawan dan saya tak mahu perkara seperti itu diperbesarkan.
"Mengenai teguran tersebut, ia juga bukan niat saya untuk menjatuhkan atau memalukan Neelofa. Saya lihat dia mempunyai potensi besar untuk bergelar bintang. Apabila dilihat ada beberapa perkara yang tidak kena, saya tegurlah.
"Diharap, teguran itu diterima dengan positif. Sebagai orang muda, bukan sahaja Neelofa, sebaliknya semua artis perlu bersikap positif untuk menerima teguran dengan hati terbuka jika hendak berjaya,” katanya.
- ---

Friday, August 10, 2012

Nora Danish dan Rusdi Ramli Beraksi Ranjang

Nora Danish.
PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish berkongsi pengalaman sukar untuk melakonkan adegan romantik dan ranjang bersama pelakon Rusdi Ramli menerusi filem Mencari Cinta disebabkan sifat lelaki tersebut yang kelakar.
Nora, 30, berkata, ketika babak asmara melibatkan mereka dilakonkan dia tidak dapat menahan ketawa apabila melihat wajah Rusdi sehingga penggambaran terpaksa dilakukan berulang kali.
"Rusdi adalah seorang pelakon yang kelakar dan ceria ketika berada di set penggambaran. Apabila perlu melakonkan watak romantik dan ranjang bersamanya membuatkan saya ketawa.
"Bagaimanapun masalah itu hanya sementara kerana selepas beberapa hari penggambaran, kami mula menjiwai watak masing-masing," katanya.
Bagaimanapun kata Nora, dia gembira dapat bergandingan dengan pelakon pengalaman itu yang disifatkan sebagai individu yang hebat.
Nora memberitahu, bekerja dengan Rusdi memberikan dia banyak kelebihan disebabkan aktor berusia 42 tahun itu tidak lokek dengan ilmu.
"Bukan mudah untuk berlakon adegan romantik dan ranjang tetapi ia banyak dibantu oleh Rusdi yang lebih banyak pengalaman selain kesudiannya memberikan tip supaya tidak kelihatan kekok," ujarnya.
Dalam pada itu, Nora memberitahu dia tidak menyangka filem genre romantik sebenarnya sangat sukar dan mencabar walaupun ia kelihatan mudah.
Kata Nora, penghayatan mendalam sangat diperlukan bagi menjiwai watak dan mengakui banyak belajar daripada pengarahnya iaitu Shirin Khuzaimie.
"Saya lebih dikenali dalam watak sebagai gadis ceria atau pun komedi dan ini adalah kali pertama percubaan saya untuk membawakan watak romantik.
"Walaupun disangka mudah tetapi secara dasarnya ia sangat sukar dan memerlukan penghayatan yang teliti," katanya.
Mencari Cinta mengisahkan tentang Myra (Nora Danish) yang telah dipaksa oleh ayahnya untuk berkahwin dengan seorang pemuda kampung iaitu Razlan (Rusdi Ramli) yang ditinggalkan kekasihnya.
Selain dijayakan oleh Rusdi dan Nora, filem berkenaan juga turut dilakonkan oleh Fouziah Gous, Riezman Khuzaimi, Mahmod Ali Basha, Norlida Ahmad, Daphne Iking dan Natasha Hudson.
Ia akan ditayangkan pada Disember depan.
- ---

Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko

Shahrifah Sofia. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.
Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini.
“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.
“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya  pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.
Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.
Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah.
Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet.
"Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.
"Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.
"Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni.

- ---

Thursday, August 9, 2012

Ingatan Tan Sri Jins Shamsuddin Makin Lemah

Jins (empat dari kiri) menerima kunjungan wakil persatuan seni yang melawatnya pada Rabu. Gambar sumbangan Jurey Latiff.
PETALING JAYA: Keadaan ingatan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin dilaporkan semakin lemah apabila pelakon itu sudah tidak lagi mengenali rakan-rakan yang menziarahinya pada Rabu.
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, Jins sukar untuk mengingati orang sekelilingnya termasuklah mereka yang pernah berurusan dengannya sebelum ini.
"Dari segi fizikal beliau sangat cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan namun ingatannya semakin lemah dan beliau sukar mengingati orang di sekeliling," ujarnya ketika dihubungi di sini selepas menziarahi pelakon tersebut di Hulu Klang dekat sini, pada Rabu.
Antara yang hadir ialah Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, penggiat seni hiburan Ong Peng Chu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan beberapa ahli jawatankuasa Gafim.
Jurey menjelaskan pada lawatan itu, Jins kelihatan ceria dan menyambut kedatangan mereka dengan baik tetapi sudah tidak mengingati mereka lagi.
"Walaupun sudah tidak ingat beliau tetap melayan kami dengan baik seperti tiada apa-apa yang berlaku," ujarnya.
Tan Sri Jins Shamsudin.
Pada lawatan itu, pihaknya sempat menyampaikan sumbangan berbentuk hamper serta sumbangan wang tunai sebagai ingatan sempena kedatangan bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Jurey memberitahu walaupun keadaan ingatan Jins semakin lemah tetapi memorinya mengenai industri perfileman tidak pernah luntur.
Sepanjang pertemuan itu Jins banyak bercerita mengenai sejarah tentang studio Jalan Ampas, peranannya dalam penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Gafim.
"Hairannya beliau masih mengingati dengan jelas mengenai kisah lampau beliau sebagai pelakon serta mampu berkongsi dengan kami semua kisahnya dengan baik," ujarnya.
Tambah Jurey, Jins turut memberitahu masih ingin berkhidmat dan memberi sumbangan kepada industri selain mahu kembali bekerja seperti biasa.
"Sekarang ni memang beliau hanya duduk di rumah dan berehat namun keinginannya untuk kembali bekerja dan berkhidmat kepada negara masih tinggi," katanya.
- ---

Jangan Jadi Mangsa Macam Akhil Hayy

SELEPAS pelakon Sharifah Aleeya membuat keputusan untuk berubah dengan memakai tudung, terbaru pula anak N.D Lala iaitu Shila Amzah membuat keputusan serupa.
Nampaknya semakin ramai artis wanita yang cantik jelita tak kiralah yang anak dara atau mak janda sudah berubah.
Ingat satu sahaja! Rezeki Allah itu luas. Jangan anggap apabila dah pakai tudung, rezeki kita akan tersekat. Sesungguhnya sifat kasih Allah itu melebihi kemurkaannya apatah lagi kepada perkara-perkara kebaikan.
Yang penting kena jaga mulut dan perbuatan. Kata-kata yang baik apabila keluar daripada mulut kita menyebabkan orang akan menjadi bertambah suka.
Saya tertarik dengan kenyataan penyanyi Akhil Hayy dalam mStar Online pada 8 Ogos lalu.
Kata suami kepada penyanyi Waheeda ini, mana-mana artis yang sudah berhijrah, hendaklah berhati-hati. Jangan sampai orang politik ambil kesempatan. Yalah... orang politik memang macam itu.
Mereka akan lihat mana-mana ada ruang untuk memperkukuhkan kedudukan, di situlah mereka pasang strategi.
Artis yang baru sehari dua pakai tudung dan pakai serban akan digunakan oleh ahli politik ini untuk diusung ke sana ke mari.
Kenyataan Akhil Hayy dalam mStar Online pada 8 Ogos 2012 yang mengakui dipergunakan ahli politik semasa penghijrahannya suatu ketika dahulu.
Mereka akan bercerita tentang pengalaman “berhijrah”. Mimpi diseksa dalam kubur, dipatuk ular, mimpi melihat hari kiamat dan segala benda.
Sambil-sambil diselitkan pengalaman itu, mereka pun terus bercerita memburukkan diri sendiri semasa dalam dunia hiburan.
Kononnya hidup menjadi kotor ketika bergelar artis. Jarang nak sembahyang, selalu melompat dan bergedik dalam disko, mabuk dan macam-macam lagi bagi memberi gambaran dunia artis itu jijik.
Sebenarnya dunia artis tak kotor pun tetapi mereka yang berada dalam dunia artis itu sendiri yang melemparkan kekotoran tersebut.
Tak ada halangan untuk artis melakukan kebajikan, solat lima waktu, bersedekah ataupun beramal di negara Islam yang harmoni macam Malaysia ini.
Tetapi dek kerana kedangkalan sesetengah artis yang terlupa mereka dipergunakan oleh parti-parti politik tertentu, mereka pun ikutlah berkempen untuk meraih sokongan.
Mereka tidak terfikir, calon wakil rakyat yang ajak mereka naik pentas itu yang sebenarnya akan dapat sokongan. Artis itu menjadi seperti kelapa. Selepas santan habis diperah lalu hampasnya dibuang ke tanah.
Semasa Akhil Hayy berubah daripada seorang penyanyi rock berambut panjang dan berseluar ketat kepada pendakwah, beliau mengalami pengalaman itu. Diusung ahli politik untuk berkempen.
Ketika memberi ceramah, orang ketawa berdekah-dekah melihat gelagat dia. Ahli politik yang mengusung dia pun turut tersenyum lebar dengan harapan dapat sambung satu penggal lagi.
Akhil sendiri mengaku orang politik semangnya gemar ambil kesempatan daripada perubahan artis kerana golongan tersebut mudah mendapat perhatian dalam meraih sokongan orang ramai.
Kerana tidak sedar dipergunakan, Akhil secara terlupa semasa ceramahnya dulu pernah mengutuk lagu Sejati nyanyian Wings sehingga Awie nak berang.
Dia juga pernah mempersendakan lagu Wassini nyanyian Waheeda yang kini menjadi isterinya.
Tetapi Akhil sudah sedar. Syukurlah kerana dia tidak terus diperbodohkan oleh mereka yang berkepentingan.
Sekarang ini Akhil gagal diusung oleh ahli-ahli politik yang hendak memerahnya kerana dia sudah tahu taktik-taktik kotor mereka.
Cuma yang sedih apabila rakan-rakannya yang baru memakai kopiah dan selendang atas kepala pula menjadi mangsa.
- ---