Monday, September 24, 2012

Tonton Dulu 'Untuk Tiga Hari' sebelum buat spekulasi Dialog Cerai


 Kecoh  juga isu ini sampai mufti menegur. Mungkin ada yang tak tengok lagi cerita ni lalu membuat aduan kepada tuan Mufti dan Mufti pun bagi pandangan beliau. Entahlah...

petikan dari Utusan Online:
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran (Vee) digesa segera merujuk kepada jabatan agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi terhadap Vanidah dalam filem Untuk Tiga Hari.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi sewaktu melakonkan watak Zafrin dalam filem itu menyebabkan perkahwinan sejak 1 Oktober 2000 antara beliau dan Vanidah tidak sah di sisi agama.
"Ia umpama menjadikan sesebuah perkahwinan itu sebuah permainan seperti kahwin muta'ah. Justeru, saya menasihatkan kedua-dua mereka merujuk kepada jabatan agama Islam dengan segera.
sumber : Utusan Online.

ps: Yang admin tau, dalam filem tu Shidi lafaz cerai hanya kepada 'isteri' dalam filem tersebut iaitu Ayu Raudhah... betul kan? wartawan ni mesti tidor masa preview filem ni.

- ---

Siti Saleha Mencari Antagonis

MUDAH sahaja merakam foto aktres muda Siti Saleha Mohd. Baharum atau mesra disapa dengan nama Saleha pada sesi fotografi yang diadakan di restoran Rebung, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakan tidak, sejak berusia 18 tahun, Saleha telah mula berlakon dan terlibat dalam puluhan iklan komersial.
Namun, baru kini bakat gadis berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Inggeris sebelah ibunya itu meraih perhatian khalayak apabila drama bersiri Nora Elena lakonannya bersama aktor tampan Aaron Aziz mencipta fenomena luar biasa pada tahun lalu.
Sejak itu, tawaran lakonan datang mencurah-curah tetapi jauh di sudut hati Saleha jika boleh dia enggan lagi membawakan watak wanita baik, bertudung dan teraniaya berulang kali. Katanya, dia mahu cabar dirinya melakukan sesuatu yang berbeza.
"Kalau diperhatikan saya sering diberikan watak wanita baik, teringin pula berlakon watak antagonis, orang gila atau yang bertentangan dengan apa yang saya sering lakonkan. Saya tidak mahu penonton bosan lihat saya bawa watak yang saya berulang kali, kerana saya sendiri pun bosan.
"Setakat hari ini belum ada lagi watak antagonis yang diberikan atas alasan wajah saya tidak sesuai.
"Saya ingin menjadi seorang pelakon versatil yang boleh berlakon bermacam-macam watak, saya tidak mahu orang ingat saya hanya boleh berlakon watak baik sahaja," katanya penuh serius.
Saleha yang kini lebih bersifat selektif terhadap tawaran yang diberikan menegaskan, kualiti lakonan merupakan kunci untuk lebih bertahan lama dalam dunia lakonan.
"Hayat populariti seseorang pelakon tidak bertahan lama jika tidak memberi lakonan yang berbeza dan berkesan kepada penonton.
"Saya ingin terus hidup dalam industri lakonan dan kekal bertahan selama yang mungkin, jadi untuk mengekalkan periuk nasi saya hanya satu, iaitu cabar diri untuk sesuatu yang berbeza," jawab gadis yang berusia 22 tahun itu.
Selain menjaga mutu lakonan, kata Saleha dia enggan lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dan kisah peribadi selepas mengaku bercinta dengan bekas kekasihnya iaitu penjaga gol pasukan bola sepak Sabah, Syed Adney Syed Hussein yang juga adik kepada aktres Sharifah Sofea pada April lalu.
"Ketika cerita cinta saya itu keluar, drama Nora Elena sedang hangat ditayangkan, saya pun masih baharu dan belajar untuk tangani segala kontroversi.
"Selepas pengalaman tersebut saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan," luahnya yang mengaku kini tidak terikat dalam sebarang hubungan cinta.
Populariti
Adik kepada Sam Bunkface itu juga memberitahu hidupnya berubah 360 darjah sejak drama Nora Elena ditayangkan. Semakin popular bermakna semakin kurang privasi diri dan itulah yang dialami oleh Saleha.
Tidak merungut dengan perhatian yang diberikan khalayak dan media kepadanya kerana sedar itulah harga yang harus dibayar oleh seorang artis sepertinya, namun, selepas mempunyai pengalaman menerusi kontroversi cinta, Saleha kini lebih bijak untuk terus hidup dalam dunia penuh glamor.
"Sebelum drama Nora Elena ditayangkan, saya bebas jalan bersendirian tetapi sekarang harus ditemani rakan, memang terasa perbezaannya.
"Orang ramai juga mula menegur saya dan cerita peribadi mula muncul di media, mulanya saya rasa agak kekok tetapi sekarang kena belajar sesuaikan diri serta terima segala cerita yang ditulis mengenai saya.
"Sejujurnya, sebelum ini saya tidak kisah untuk muat naik bermacam-macam gambar di akaun Facebook tetapi selepas kontroversi cinta itu, saya berfikir banyak kali untuk letak gambar di Facebook dan laman sosial yang lain.
RUTIN seharian Saleha turut diisi dengan aktiviti dirinya yang juga bergelar pelajar kolej.


Ramai rakan di Facebook yang saya tidak kenal, saya buang kerana saya tidak tahu apa yang akan dilakukan mereka pada gambar dan status yang saya tulis.
"Bukan itu sahaja, saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuk harus bijak memilih kawan.
"Dalam dunia glamor, ada jenis kawan yang makan kawan. Bukan tiada rakan artis yang rapat dengan saya, tetapi saya jenis bukan sampai keluar melepak dengan mereka. Saya lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan kolej jika tidak bekerja," ujarnya.
Balas anak ketiga daripada empat beradik itu, disebabkan dia dan abangnya, Sam berkecimpung dalam dunia seni keluarganya sangat memahami asam garam dunia seni, sungguhpun begitu bapanya sering menasihatinya supaya menjaga tingkah laku dan nama baik keluarga.
"Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami kerja saya dan abang. Jika ada cerita tidak enak yang keluar tentang saya dan abang, bapa saya akan tanya terus kepada kami, lebih penting bagi saya keluarga tahu hal sebenar daripada dihebohkan kepada orang lain.
"Segala kisah peribadi atau rahsia, saya tidak pernah cerita pada orang lain selain kawan baik saya sendiri. Saya berjanji dengan bapa untuk menjaga nama baik keluarga dan tidak akan buat sesuatu yang jahat atau gila," ucapnya.
Tawaran lakonan yang lumayan, menjadi duta kepada produk Palmolive dan Enchanteur Paris tidak membuatkan Saleha lalai.
Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, Saleha masih meneruskan kuliahnya di Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang komunikasi.
"Memang saya sibuk belajar dan bekerja, jadi kena pandai membahagikan masa. Saya tidak kisah jika ada kelas pada waktu pagi dan harus berada di lokasi penggambaran pada tengah hari, bukan masalah untuk saya kerana mempunyai pengurus yang akan mengaturkan jadual harian.
"Saya suka jika saya sibuk kerana itu tandanya saya mempunyai masa yang produktif. Pelajaran tetap diutamakan, jika saya sudah tidak berlakon pada masa depan, saya mempunyai kelulusan untuk menceburi bidang yang lain pula," beritahunya.
- ---

Berat Bertambah Bukan Kerana Putus Cinta

Miera Leyana mengakui berat badannya bertambah sebanyak lapan kilogram.
PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana menafikan pertambahan berat badannya sebanyak lapan kilogram mempunyai kaitan dengan kegagalan hubungannya dengan pelakon Sharizal Jazsle.
Miera, 19, sebaliknya berkata berpunca daripada kehilangan mendadak selera makan semenjak bulan Ramadan lalu.
"Peningkatan berat badan saya tiada kaitan langsung dengan Shah kerana itu semua cerita lama. Ia sebab sikap saya sendiri yang memang kuat makan.
"Tambahan pula berat badan saya senang naik jika saya tidak menjaga pemakanan dengan baik," ujarnya kepada mStar Online.
Miera dalam pada itu mendedahkan berat badannya sebelum ini 45 kilogram dan meningkat kepada 53 kilogram.
Dalam pada itu, Miera tekad untuk menyertai pusat kecergasan bagi mendapatkan semula bentuk badan asalnya agar tidak nampak lebih besar di televisyen.
Sementara itu dia juga teruja dan berdebar masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Mati yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
- ---

Anak Datuk K Temui Rozita Che Wan

Rozita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki berstatus suami orang.
PETALING JAYA: Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
Siti bersama suaminya, Datuk K pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Kuala Lumpur.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya.
- ---

Friday, September 21, 2012

Shila Amzah menang Asian Wave 2012 di Shanghai, China


Tahniah Shila Amzah kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi Pertandingan Azian Wave yang diadakan di Shanghai China. Pertandingan ini disertai oleh ramai penyanyi daripada seluruh Asia.
Tahniah Shila!!!

Video Persembahan Shila Amzah Di Shanghai 
 



- ---

Fikiran Fouziah Gous Masih Celaru

Fouziah Gous
PETALING JAYA: Aktres Fouziah Gous mengakui kesedihan terhadap kematian bapanya Mohd Gous Agulam Dastagir pada 11 Ogos lalu menyebabkan dia hilang fokus pada kerjaya pada waktu ini.
Fouziah, 30, berkata, fikirannya masih terganggu dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya pada komitmen lakonan walaupun selepas 20 hari berehat.
"Saya baru sahaja kembali bekerja selepas lebih dua minggu berehat di rumah kerana kematian bapa. Alhamdulillah, emosi saya makin stabil sekarang tetapi perasaan sedih itu tentulah masih ada.
"Walaupun saya sudah mula berlakon, tumpuan terhadap kerja itu tidak sepenuhnya. Fikiran saya masih bercelaru dan tidak boleh fokus berbanding komitmen yang biasa saya berikan sebelum ini," katanya.
Fouziah berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran drama Dendam Sarakit di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, Khamis.
Dalam drama bersiri arahan Fairuz Loy ini, Fouziah bergandingan dengan Zain Hamid, Noniswara, Adam Shah dan Saiful Nizen.
Ia akan ditayangkan bermula 27 September ini pada setiap Khamis, pukul 10 malam menerusi slot Seram di TV3.
Fouziah berkata, dia terpaksa mengatasi kedukaannya dan berusaha mengembalikan rentak dan tumpuan kerana sudah terikat dengan pelbagai komitmen yang tertangguh sebelum ini susulan kematian tersebut.
"Saya terpaksa lunaskan tanggungjawab pada beberapa projek lakonan kerana ia sudah tertangguh sebelum ini apabila bapa saya meninggal dunia.
"Mahu tidak mahu, saya perlu fokus dan mencari kekuatan agar dapat bekerja seperti sedia kala," katanya yang baru pulang dari Maghribi untuk penggambaran telefilem Siapa Di Hatimu, minggu lalu.
Mengenai watak sebagai Sarakit dalam Dendam Sarakit, Fouziah berkata, cabaran terbesar untuk menjiwai karakter itu adalah kesukaran mengungkapkan dialog yang menggunakan ayat bahasa Malaysia baku.
"Sukar sebenarnya untuk mengungkapkan dialog drama ini kerana saya perlu bertutur dengan bahasa Malaysia yang lengkap seperti ayat rasmi dan baku, bukan bentuk perbualan harian.
"Lagipun pembabitan dalam drama ini yang menjalani lebih 90 peratus penggambaran di Bentong, Thailand selama 32 hari merupakan pengalaman pertama saya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang panjang.
"Akibat tidak tahan menanggung rindu pada ibu, saya curi-curi peluang juga balik ke Kuala Lumpur apabila penggambaran tidak melibatkan adegan melibatkan saya," katanya.
Bapa Fouziah meninggal dunia pada 11 Ogos lalu akibat sakit tua pada usia 75 tahun.
- ---

Thursday, September 20, 2012

Tangan Syafie Naswip Lebam Perbuatan Pelakon Muda

Syafie Naswip
PETALING JAYA: Pelakon Syafie Naswip terkilan dengan sikap seorang aktor remaja yang enggan memohon maaf selepas menyebabkan kecederaan kepadanya ketika penggambaran telefilem Neraka Abah beberapa hari lalu.
Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 20, berkata, kecederaan pada lengan kirinya itu terjadi akibat terterhentak pada akar pokok selepas ditendang dengan kuat oleh pelakon berkenaan ketika penggambaran berlangsung.
“Lengan kiri saya menjadi bengkak dan lebam teruk kerana terhentak pada akar pokok selepas ditendang pelakon itu ketika adegan pergaduhan bagi penggambaran.
“Saya pelik mengapa dia menendang saya seperti pergaduhan sebenar sehingga mendatangkan kecederaan kepada saya. Walhal dia sudah berlakon sejak zaman kanak-kanak lagi. Takkanlah dia tidak tahu teknik lakonan?
“Apa yang saya kesalkan dia langsung tidak meminta maaf dengan tindakannya itu sehinggalah hari ini (Rabu) sedangkan dia tahu saya benar-benar mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi  di sini, Rabu.
Syafie bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak memaklumkan siapakah pelakon tersebut.
Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zarina Zainoordin (AF2) dan adik Raikal. Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober depan di TV9.
Beginilah keadaan lengan kiri Syafie yang lebam selepas terhentak pada akar pokok akibat ditendang seorang aktor muda ketika penggambaran telefilem Neraka Abah.
Aktor yang popular menerusi filem Mukhsin ini berkata, insiden tersebut meninggalkan tanda tanya kepadanya mengenai alasan di sebalik tindakan pelakon remaja yang disifatkannya sebagai tidak profesional itu.
“Saya masih tertanya-tanya sama ada dia sengaja atau tidak apabila menendang saya dalam penggambaran itu? Saya tidak tahu apa yang cuba dibuktikan dan niat di sebalik tindakannya tersebut?
“Malah, lebih mengecewakan apabila dia tergelak dan menganggap kejadian itu bukan sesuatu yang serius selepas melihat saya mengerang kesakitan akibat perbuatannya itu,” kongsinya.
Ditanya adakah berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum itu, Syafie berkata, mereka tidak rapat dan hanya bertegur sapa ketika di lokasi sahaja.
“Kalau diikutkan ini adalah kali ketiga kami berlakon bersama tapi hubungan kami memang tidak rapat pun. Bila berjumpa di lokasi, kami hanya bersalam, berbual ringkas dan membuat hal masing-masing.
“Jadi, saya sendiri hairan mengapa dia bertindak demikian. Kalau kita bertindak atau berlakon yang agak kasar kepada orang lain pun kita akan segera minta maaf, apatah lagi selepas mengakibatkan kecederaan,” luahnya.
Mengenai kecederaan itu, Syafie berkata, bengkak pada lengannya kini beransur susut dan dia perlu berehat di rumah selama empat hari selepas menamatkan penggambaran pada Selasa lalu.
Syafie yang akan memulakan penggambaran telefilem Takbir Yang Terlerai terbitan Filmscape selepas ini turut memberitahu dia mahu lebih berhati-hati jika menerima tawaran berlakon di samping aktor itu pada masa akan datang.
- ---

Wednesday, September 19, 2012

Mahkamah Tolak Rayuan Nadia Mustafar

Nadia Mustafa
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak rayuan pelakon Nadia Mustafar berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pelakon Lisdawati diberi ganti rugi RM50,000 dalam kes saman fitnahnya terhadap Nadia.
Dalam keputusannya, Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menegaskan bahawa keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah betul selepas mendengar keterangan saksi semasa perbicaraan.
"Beliau menggunakan undang-undang yang betul kepada fakta yang dibentangkan di hadapannya. Tiada sebab bagi mahkamah ini campur tangan dalam keputusan (Mahkamah Sesyen) itu," kata hakim.
Beliau turut memerintahkan Nadia, atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, membayar kos perundangan RM3,000 kepada Lisdawati.
Lisdawati, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, dan Nadia tidak hadir di mahkamah pada Selasa.
Lisdawati
Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lisdawati, manakala Nadia diwakili Siti Julaini Mohd Shahar.
Pada 31 Oktober tahun lepas, Lisdawati diberi ganti rugi RM50,000 oleh Hakim Mahkamah Tinggi selepas beliau memenangi kes saman fitnah terhadap Nadia.
Dalam saman yang difailkan pada 21 April, 2010, Lisdawati mendakwa Nadia dengan niat jahat memberi wawancara yang mengandungi perkataan berbaur fitnah kepada wartawan Hanif Abdul Ghani (Allahyarham) dari majalah Media Hiburan.
Lisdawati mendakwa wawancara itu dibuat pada Januari 2005 dan artikel mengenainya disiarkan oleh majalah itu dalam edisi 8 - 14 Januari 2005.
Beliau mendakwa perkataan dalam artikel itu bertujuan membawa maksud bahawa beliau meminjam wang daripada Nadia dan gagal membayar balik hutang itu.
Nadia, dalam pernyataan tuntutannya bertarikh 18 Mei, 2010, mendakwa artikel itu tidak berbaur fitnah, sebaliknya bertujuan meminta orang yang berhutang supaya menjelaskan hutangnya. - BERNAMA
- ---

Mamat Sepah Jauhkan Diri

Jepp (kanan) dan Shuib berharap Mamat dapat berhubungan akrab dengan mereka seperti zaman Sepah belum berpecah dahulu. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH 
PETALING JAYA: Sikap Mamat dari kumpulan Sepah menjadi tanda tanya kepada bekas dua ahlinya yang lain iaitu Jepp dan Shuib apabila pelawak itu sukar untuk dihubungi sejak mereka disahkan berpecah.
Jepp atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata, dia bingung apakah punca Mamat menjauhkan diri daripada mereka termasuklah tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat kepadanya.
"Entah sebab apa jadi begitu, saya kurang pasti? Orang lain telefon dia jawab, kalau kami yang telefon pula, dia tidak mahu mengangkat. Tapi kami dengan hati tulus masih lagi ingin berkawan dengannya.
"Tambahan pula saya dah berbelas tahun menjadi sahabat dengan Mamat. Kalau boleh tak mahulah perhubungan ini menjadi keruh," katanya.
Bagaimanapun tambah Jepp, dia mengambil hal itu secara positif dengan menganggap Mamat mungkin sibuk kerana pelbagai urusan kerja.
Dari kiri; Jeff, Shuib dan Mamat.
"Setakat ini kami tidak ada apa-apa isu. Malah sepanjang penggambaran filem Sepah The Movie pada tahun lalu, kami bersikap profesional walaupun pada awalnya tiada keserasian antara kami," ujarnya.
Ditanya adakah ketiga-tiga mereka akan kembali bersatu dalam kumpulan Sepah, kata Jepp, hal itu tidak mungkin akan berlaku memandangkan mereka telah membuat haluan sendiri.
"Rasanya lebih senang kami dengan haluan kerja masing-masing. Dan untuk memikirkan yang Sepah akan bersatu, itu tidak mungkin.
"Projek Sepahtu dibuat pun kerana album lagu antara saya dan Shuib yang diterbitkan oleh syarikat Mawi (MW Entertainment Sdn Bhd). Alhamdulillah, saya lihat sehingga kini, karier kami semakin stabil," ujarnya.
Sementara itu, Sepah The Movie bakal ditayangkan pada 29 November depan dan ia turut dibarisi pelakon Anzalna dan Jehan Miskin.
Filem itu mengisahkan tentang ragam tiga lelaki bujang yang bekerja di sebuah kilang elektronik.
Jep, Shuib dan Mamat yang berkawan rapat sejak kecil mempunyai hobi sama iaitu gemar dengan sukan motor lasak atau motor cross. Mereka yang dikenali sebagai 'Sepah' merupakan juara sukan tersebut di Johor Bahru.
- ---

Tuesday, September 18, 2012

Sibuk Bekerja Mungkin Faktor Gugur – Azza


Dua minggu yang lalu, artis wanita, Azza Elite tidak mampu untuk melawan takdir Tuhan apabila dia mengalami keguguran.
Selepas disahkan doktor yang dia mengalami keguguran, Azza seakan-akan menjauhkan diri dari semua pihak kerana inginkan masa untuk bersendirian.
Malah, Azza juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkhabaran sedih itu.
Bagaimanapun, sewaktu menghadiri rumah terbuka Rozita Che Wan yang diadakan di Spices Restaurant, Concorde Kuala Lumpur baru-baru ini, Azza sudah berani untuk berbicara mengenai keguguran yang dia alami.
Bagi Azza, bukan niat dia untuk tidak mahu memberitahu kepada umum.
Cuma, dia memerlukan kekuatan berhadapan dengan semua pihak untuk menceritakan tentang kegugurannya.
“Saya tidak ingin mengwar-warkan hal ini kerana ini benda yang menyedihkan jadi tidaklah perlu diperbesarkan.
“Namun saya harus menghormati permintaan media yang menanyakan kepada saya mengenai keguguran saya ini,” katanya yang dipetik dari portal Gua.com.
Begitu pun, Azza mengakui pergerakannya yang mungkin lasak dan sibuk bekerja mungkin menjadi salah satu faktor dia mengalami keguguran.
“Ini merupakan kandungan saya yang pertama, jadi mungkin saya tidak begitu tahu bagaimana untuk mengawal tindak tanduk saya. Kesibukan bekerja mungkin salah satu faktor yang menyebabkan kandungan yang seawal 6 minggu 2 hari itu gugur,” katanya.
Azza berharap agar peminat-peminatnya mendoakan kesihatan dirinya kembali pulih dan berdoa agar Tuhan memberikan dia rezeki lagi untuk menimang cahaya mata. InsyaAllah.
- ---

Zaquan, Ayu Ingin Berdamai Dengan Rita


Kisah yang melanda tiga orang insan bernama Zaquan Adha, Ayu Raudhah dan Rita Rudaini seolah-olah tiada penghujungnya.
Ada saja perkara berbangikit yang berlaku diantara mereka bertiga ini terutamanya hal yang membabitkan rumah tangga dan keluarga.
Sepatutnya hal begini tidak boleh diketahui umum kerana ia bakal mengaibkan nama baik sendiri, tetapi sebaliknya pula berlaku diantara mereka.
Namun, semalam menerusi Pancaindera, Zaquan dan Ayu melahirkan rasa ingin berbaik dengan kakak iparnya itu.
Selaku peminat, ia adalah berita yang paling menggembirakan. Iya lah buat apa nak bermasam muka lama-lama. Menambah dosa adalah.
Perkara pertama yang akan Ayu cuba elakkan adalah daripada memberi kenyataan kepada pihak media. Dia mempunyai alasan yang tersendiri mengapa dia berbuat demikian.
Ayu berkata, selepas ini dia tidak akan membuat mana-mana kenyataan kepada pihak media kerana kadang-kala apa yang cuba disampaikannya tidak sama dengan cara penulisan seseorang wartawan itu.
“Saya tak nak bagi kenyataan lagi lepas ini sebab kadangkala apa yang saya cakap itu tak sama apa yang ditulis di akhbar. Jadi maksud sebenar yang nak saya sampaikan itu tak tercapai.
“Contohnya, dalam satu ayat itu ditulis ada perkataan yang berpotensi nak provokasi pihak sana. Hah, itu yang cetuskan masalah sebab boleh tambah keruh keadaan.
“Jadi, bila dah diterbitkan, pihak sana pula terasa. Kemudian dia buat kenyataan balas. Tak kiralah sama ada di Twitter atau medium mana pun. Kalau macam itu, bila boleh selesai masalah.,” kata Ayu yang dipetik melalu Pancaindera,.
Sementara itu, menurut Zaquan pula, prinsipnya cukup mudah. Dia tidak suka orang pijak nama baik keluarganya.
“Jadi dalam masalah macam ini, berdamai adalah jawapannya. Jujurnya, saya dah letih bila orang cemuh bila isu ini dibangkitkan.
“Ikhlas dari lubuk hati, saya teringin nak berkenalan lebih rapat dengan kakak ipar saya itu. Saya juga nak tengok kami sekeluarga duduk satu meja, berborak, bergurau. Itulah impian saya,” katanya.
Baguslah jika begitu. Kalau salah seorang tak mengalah dan asyik nak menang saja sampai bila pun perkara itu tidak selesai.
- ---

Kool Muncul Semula Gara-Gara K-Pop

Kumpulan Kool bakal hadir dengan album terbaharu mereka. Gambar ihsan Utusan Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Kool yang pernah popular sekitar tahun 1990-an menganggap kemunculan semula mereka masih lagi relevan bagi mewarnai dunia muzik tanah air.
Salah seorang ahlinya, Jay berkata, kumpulan itu juga sudah bersedia untuk bersaing dengan artis-artis baru yang masing-masing mempunyai kepelbagaian muzik tersendiri.
"Kami percaya, walaupun sudah agak berumur, Kool mampu menghiburkan peminat-peminat lama serta menarik perhatian golongan peminat yang baru.
"Malah kami masih lagi relevan memandangkan lagu-lagu kami pada masa dahulu sama seperti muzik K-Pop yang menjadi kegilaan anak muda sekarang ini," katanya yang ditemui pada Majlis Mega Raya MySeniman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.
Selain Jay, Kool turut disertai oleh Hairie, Pat, Riot dan Zack.
Tambah Jay lagi, kegilaan remaja terhadap muzik K-Pop juga membuatkan Kool mengambil kesempatan itu untuk muncul semula dengan membawakan lagu-lagu lama yang pernah popular dahulu seperti Bebas serta beberapa lagu baru menerusi album terbaru berjudul GX4 yang akan dipasarkan dalam masa terdekat ini.
Album GX4 turut menggabungkan kumpulan Shades, Nico dan AtoZ.
Dalam pada itu, Riot pula berkata, kemunculan mereka bukan sekadar suka-suka atau melepaskan rindu untuk beraksi di atas pentas, sebaliknya, mereka benar-benar serius dengan membuat persediaan selama dua tahun sebelum muncul dengan album berkenaan.
"Sebenarnya sejak tahun 2010 lagi kami sudah membuat persediaan dengan mengasah semula vokal serta berlatih menari bagi mengembalikan tenaga kelincahan kami seperti dahulu.
"Jangan terkejut, walaupun sudah berusia, kami masih lagi muda di atas pentas," selorohnya.
Bagaimanapun, imej Kool yang akan ditampilkan masih lagi seperti dahulu tetapi berkonsepkan lebih matang.
Selain itu, Kool juga sedang sibuk dengan pembikinan menyiapkan album Kool sendiri.
- ---