Wednesday, October 31, 2012

Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak

Chef Riz dan Ana melangsungkan perkahwinan pada 1 Disember tahun lalu.
PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak.
Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.
"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.
Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan.
Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011.
Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.
- ---

Wednesday, October 24, 2012

Nabil Kini Bersama Boboi

Nabil (kanan) bersama dua ahli kumpulan Boboi iaitu Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik (kiri) sudah bersedia untuk menghangatkan pentas Maharaja Lawak 2 yang bakal berlangsung pada 16 November depan.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad menolak dakwaan popularitinya sebagai artis komedi semakin tenggelam sehingga memaksanya menyertai kumpulan Boboi untuk bertanding dalam program Maharaja Lawak 2 (MLM 2).
Nabil, 28, sebaliknya berkata, penyertaannya dalam kumpulan yang disertai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik itu dibuat secara sukarela selepas mendapati mereka mempunyai keserasian sejak bekerjasama dalam pementasan Lawak Ker Der 2 baru-baru ini.
"Tidak timbul soal populariti saya sudah tenggelam kerana apa yang saya lakukan ini adalah kehendak diri sendiri memandangkan kami mempunyai keserasian dalam satu kumpulan.
"Malah Afdlin dan Harun setuju dengan cadangan saya bergabung bersama mereka dalam MLM 2 pada tahun ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media pelancaran program itu, di sini, Isnin lalu.
Bakal Juara MLM 2012 bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang hadiah RM250,000 dan RM150,000.
MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini.
Dalam pada itu, Nabil mengakui keputusannya menyertai kumpulan Boboi kerana tertekan apabila terpaksa melakukan sketsa komedi secara solo seperti sebelum ini.
Nabil berkata, bukan mudah untuk menghiburkan penonton secara seorang diri terutamanya dalam pertandingan besar seperti MLM 2.
"Saya pernah masuk pertandingan Maharaja Lawak secara solo. Walaupun mendapat tempat ketiga tetapi sebenarnya ia bukanlah mudah seperti yang disangka kerana tekanannya sangat hebat,” ujarnya.
Tidak menganggap kredibilitinya sebagai pelawak tercalar, Nabil berkata, gabungan itu adalah sebagai salah satu tanda kerjasama di antara pelawak-pelawak di negara ini.
- ---

Jihan Raja Lawak Jaga Penampilan

Wajah terbaru Jihan yang kelihatan lebih anggun.
PETALING JAYA: Pelawak Jihan mengakui perkembangan karier lakonan sebagai pelawak sehingga memperoleh pendapatan lumayan membuatkan dia mula peka untuk menjaga kecantikan wajah.
Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa berkata, keadaan itu memaksanya melakukan langkah awal dengan menjalani rawatan membetulkan susunan giginya.
"Alhamdulillah, kerjaya seni saya berkembang sedikit demi sedikit. Dan saya tahu sebagai seorang yang dikenali, penampilan diri amatlah penting.
"Bermula pada penghujung tahun lalu, tawaran lakonan sudah mula memenuhi jadual kerja dan pendapatan saya juga semakin stabil.
"Sebab itu saya mula membetulkan gigi saya untuk mendapatkan wajah yang lebih kemas dan cantik," katanya.
Jihan pada awal kemunculannya pada tahun 2009.
Tambah naib juara rancangan Raja Lawak musim ketiga pada tahun 2009 itu, walaupun dia mula melaburkan wangnya untuk tujuan kecantikan, namun pelakon itu enggan terlalu berboros.
Malah Jihan juga berharap agar dia tidak melakukan perkara yang lain seperti pembedahan plastik semata-mata ingin kelihatan lebih cantik.
Sementara itu, bekas juruteknik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu juga bersyukur kerana tawaran yang diterima juga disebabkan dia kurang mendapat saingan daripada pelawak wanita lain.
"Bagi pihak produksi, kekurangan pelawak wanita menyukarkan mereka untuk mencari pelakon yang sesuai untuk sesebuah program yang diterbitkan.
"Tetapi daripada sudut saya pula, ia adalah rezeki kerana kehadiran saya tidak ada banyak saingan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jihan bakal muncul menerusi sebuah telefilem Landasan Korban yang akan disiarkan di TV3 bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Pelakon ini juga bakal muncul dalam Elak-Elak, sebuah rancangan komedi berkonsepkan keagamaan yang akan disiarkan setiap Khamis bermula 20 Disember depan, pada pukul 10 malam.
- ---

Restoran Cheng Ho Amy Search Ditutup

Amy (Search)
PETALING JAYA: Selepas empat tahun beroperasi, penyanyi Amy (Search) akhirnya terpaksa menutup Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju dekat sini pada Selasa.
Menurut laporan Kosmo pada Rabu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, berkata, restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina itu terpaksa ditutup kerana pihak yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan perniagaan itu berdepan pelbagai masalah.
“Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup,” katanya.
Restoran tersebut menyediakan masakan ala Cina kegemaran pelanggan antaranya ketam masak telur masin, udang bersalut mentega dan ikan siakap nyonya.
Menurut Amy, dia memulakan perniagaan tersebut empat tahun lalu dengan modal RM250,000. Bagaimanapun, pada Jun tahun lalu dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada seorang rakan tetapi ia berdepan masalah.
Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Restoran Cheng Ho sebelum ini.
Justeru, katanya, tiada pihak yang dibenarkan menggunakan nama tersebut.
Amy kini mencari pelabur baharu bagi mengusahakan kembali restoran itu atas jenama sama di lokasi lain yang sedang dikenalpasti.
Katanya, pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama boleh menghantar e-mel di amysearch@gmail.com.
Pada 24 September 2008, seorang pelanggan Nik Zahir Nik Mohd Idris memfailkan saman terhadap penyanyi itu bagi pihak anaknya Nik Zakwan, 6, yang melecur pada bahagian belakang badan selepas terkena kuah tomyam akibat kecuaian pekerja restoran tersebut.
Penyanyi itu diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada Mei 2010 untuk membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada keluarga Nik Zahir.
- ---

Tuesday, October 23, 2012

Gosip Cinta Maya Karin


"SAYA masih lagi solo, tetapi saya ramai kawan, banyak dapat kerja, banyak tempat melancong tetapi masih belum ada teman lelaki." Itu penegasan yang diberikan pemilik seraut wajah jelita dikenali dengan nama Maya Karin ini.
Berkongsi kisah peribadinya, kata Maya, selepas bercerai dengan bekas suaminya, Steven David Shorthose pada pada tahun 2010, dirinya masih belum menemui cinta baharu walaupun dia telah digosipkan dengan beberapa lelaki.
Ia termasuklah gosip terbaharu dengan aktor sasa yang pernah bergandingan dengannya dalam filem Cun dan pementasan teater Natrah, Remy Ishak.
Namun, Maya tidak ketinggalan dihambat gosip cinta lain pula apabila baru-baru ini dia bergambar di garaj pasukan Lotus, Formula Satu di Singapura.
Bukan calang-calang orang boleh memasuki kawasan itu yang sebenarnya tidak boleh dimasuki biarpun dengan membeli tiket.
Spekulasi timbul mengatakan dia dibawa oleh 'pihak tertentu' untuk berada di situ, namun Maya menepis gosip berkenaan dengan memberitahu, orang kuat Lotus itu hanya kenalannya sahaja.
"Saya tahu memang tempat itu (garaj Lotus) tidak boleh masuk dengan membeli tiket tetapi saya ada kenalan yang juga pemilik Lotus itu yang bawa saya ke situ.
"Kami hanya kenalan tetapi tidak bercinta. Apa yang pasti, saya ramai kawan," ujarnya yang mengakui dia gemar meluangkan masa dengan mendaki gunung termasuk di Switzerland.
Maya menjelaskan, disebabkan dirinya kini solo, dia tidak hanya akan berada di Kuala Lumpur dan menunggu jodoh.
Sebaliknya, dia akan melancong ke serata dunia untuk membuat perkara-perkara yang digemarinya.
Dia juga tidak menolak kemungkinan akan bertemu sesiapa sahaja jejaka yang mungkin jodohnya ketika melancong itu.
"Dalam masa dua tiga tahun ini kalau saya jumpa sesiapa semasa melancong itu mana tahu.
"Saya tidak letak sasaran umur berapa untuk berkahwin lagi biarlah ia berlaku secara semulajadi," jelasnya yang kini berada di Nepal selama 10 hari sejak Khamis lalu bersama bapanya untuk mendaki gunung di Katmandu.

MAYA merakam foto kenangan di garaj pasukan Lotus, Formula Satu di Singapura baru-baru ini.


Selektif
Menyentuh mengenai karier lakonannya, nama Maya sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan watak Izzah, lakonannya menerusi filem pecah panggung, Ombak Rindu.
Ia nyata masih meraih bualan hangat dan kadangkala menjadi parodi kepada bahan lawak jenaka dalam beberapa program hiburan disebabkan impak kuatnya kepada masyarakat.
Selepas filem itu, Maya tidak lagi muncul dengan filem baharu selain filem adaptasi novel Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina yang bakal menjengah pawagam seluruh negara menjelang 29 November ini.
Dia yang merupakan teraju utama filem itu dengan memegang watak Katerina yang sebelum ini dilakonkan oleh aktres Nur Fazura dalam filem Lagenda Budak Setan 1, menyatakan dirinya kini agak selektif dalam memilih watak yang ditawarkan.
Baginya, 2012 merupakan tahun yang paling banyak dia menolak tawaran berlakon filem dan dia tidak kesal berbuat demikian kerana mahukan satu watak yang memberi kesan dan impak kepada dirinya dan penonton.
Pemilik nama sebenar, Maya Karin Roelcke, 31, yang ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan trailer filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, selepas berlakon dalam Ombak Rindu, dia telah menolak 10 tawaran berlakon filem lain.
"Saya memang selektif dan selepas Ombak Rindu, saya telah menolak lebih 10 tawaran berlakon filem daripada pelbagai produksi," katanya.
Kata Maya, dia tidak kisah kurang muncul di layar perak jika sebuah filem lakonannya dapat memberi impak kepada masyarakat.
"Pada tahun 2010, saya hanya muncul dalam satu filem sahaja iaitu Magika, itu pun untuk tiga minit sahaja, saya tidak kisah semua itu," ujar aktres kacukan Melayu-Jerman ini.
Tambah Maya, tawaran lakonan yang ditolaknya itu disebabkan dia hanya menerima watak yang tidak memberi impak kuat seperti watak mirip bohsia.
"Saya ada ditawarkan watak ala-ala seperti karakter bohsia, hanya tampil untuk cakap 'hello-hello', selepas itu habis begitu sahaja. Tiada gunanya kalau macam itu sahaja. Saya mahu penonton puas walaupun hanya muncul selama tiga minit," jelasnya.
Selain itu, Maya menjelaskan, dia juga turut pernah ditawarkan untuk muncul dalam sebuah filem aksi tetapi dia menolak tawaran tersebut kerana ia tidak menepati kriteria yang diperlukan sebagai pelakon.
"Kalau muncul untuk menangis, goda orang selepas itu habis di situ, tidak guna berlakon macam itu. Lebih baik saya selektif, biar berlakon sebuah filem tetapi ia memberi kesan untuk tempoh lama," jelasnya.
Bagi Maya, tidak guna berlakon filem hanya untuk ganjaran wang kerana ia akan dilupakan begitu sahaja tanpa memberi kesan apa-apa kepada penonton.
Izzah dan Katerina
Memegang watak sebagai Katerina dalam filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina dalam keadaan penonton masih lagi mengingati watak Izzah dalam Ombak Rindu, bukan satu masalah bagi diri Maya.
INTIM. Aksi lakonan Maya dan Remy dalam pementasan teater, Natrah di Istana Budaya.


"Melakonkan Izzah dan Katerina dalam satu jarak yang jauh dan saya tahu orang masih bercakap lagi mengenai Izzah kerana ia beri impak yang kuat kerana jalan cerita itu dramatik," katanya yang turut akan muncul dalam filem Lagenda Budak Setan 3 yang sudah selesai penggambaran dan ditayangkan pada tahun depan.
Berbanding karakter Izzah, kata Maya, Katerina berbeza kerana fokus utama dalam Lagenda Budak Setan 2 - Katerina bukan dirinya tetapi watak lakonan Farid Kamil iaitu Kasyah.
Maya juga tidak kisah apabila penonton nanti akan membandingkan wataknya dalam filem terbaharu itu dengan watak Izzah.
"Sebenarnya Izzah dan Katerina sangat berlainan sekali, Izzah merupakan seorang budak kampung manakala Katerina seorang wanita bandar, berpendidikan tinggi yang sangat bebas dan berdikari," ujar Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 2011 ini.
Dia juga tidak meletakkan sebarang sasaran dan jangkaan terhadap watak Katerina kerana dalam industri kebelakangan ini banyak berlaku perkara yang tidak dijangka.
"Filem yang kita tidak sangka akan mendapat sambutan tiba-tiba meletup dan yang kita jangka tidak dapat dapat sambutan pula, walau bagaimanapun saya berharap filem baru lakonan saya ini dapat diterima peminat seperti Ombak Rindu," ujarnya yang menerima tawaran penerbit filem Sharad Sharan untuk melakonkan watak Katerina usai penggambaran filem Ombak Rindu.
- ---

'Maharaja Lawak Mega 2012' Kekalkan Konsep

Kumpulan Osbon iaitu gabungan Abon (kiri) dan Os antara pelawak yang mendapat perhatian pada Maharaja Lawak Mega tahun lalu.
PETALING JAYA : Program Maharaja Lawak Mega 2012 akan tetap mengekalkan format seperti sebelum ini dengan membuka peluang kepada peserta negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia bagi mengeratkan silaturahim antara tiga negara menerusi medium komedi.
Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, pihaknya membuat keputusan untuk mengekalkan format tersebut selepas merasakan ia berpotensi bagi mengembangkan industri komedi ketiga-tiga buah negara.
"Kita yakin dengan jemputan peserta daripada negara Singapura dan Indonesia dapat mengeratkan dan memeriahkan MLM 2012.
"Tambahan pula terdapat peserta tersebut pernah menyertai MLM sebelum ini dan pastinya peminat merindui mereka," ujarnya pada majlis pelancaran program itu di sini pada Isnin.
Tiga kumpulan tersebut adalah Saywho (Eko, Bocil dan Vicha), The Bandung Jokers (Dodon, Amin dan Aman) dan Dadidu (Bobo, AR Badul dan Arif Sudin).
Manakala peserta lain adalah Pi Mai (Imuda dan Mat Over), Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Nabil), Jozan (Johan dan Zizan), Sabon (Abon dan Sathia), Jambu (Taukeh dan Yus), R2 (Rahim dan Wan Lopez) dan Shiro (Shahrol dan Ajak).
Nizam Sani
Dalam pada itu, Nizam berkata, tiga lagi kumpulan iaitu Balas, Kecik dan Mamu perlu melalui satu ujian di Kerusi Panas MLM yang akan menentukan siapakah akan layak bertanding sebagai peserta kesebelas program itu.
"Ini adalah kelainan yang cuba kita tampilkan pada musim kali ini dengan meletakkan tiga kumpulan untuk ujian kerusi panas bagi menentukan siapakah yang layak untuk menjadi peserta kesebelas," katanya.
Pemilihan peserta itu akan disiarkan pada 14 November depan pada pukul 10 malam.
Sementara itu, Nizam berkata, pertandingan itu akan menggunakan empat juri tetap iaitu dua daripadanya dari Malaysia manakala selebihnya dari Indonesia dan Singapura.
Bagaimanapun kata Nizam, MLM 2012 kali ini tidak akan mempunyai juri jemputan sebagaimana pada musim lalu.
"Barisan juri bukan daripada mereka yang terlibat dalam bidang komedi dan tidak akan ada juri jemputan," ujarnya.
Sistem penghakiman masih dikekalkan dengan format 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.
MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini.
- ---

Izreen Azminda 'Tiada Disiplin' Kerana Penyakit

Izreen Azminda
PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda berkata tindakannya menjauhkan diri daripada khalayak selain kurang mendapat publisiti sejak mendirikan rumah tangga bukan disebabkan masalah disiplin seperti diperkatakan.
Sebaliknya, Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 27, berkata, dia terikat dengan jadual penggambaran yang padat selain mengalami masalah kesihatan selepas berkahwin dengan jurukamera Mohammad Riza Baharuddin pada 30 Ogos lalu.
"Saya memang sibuk dengan penggambaran sebaik sahaja melangsungkan perkahwinan hampir dua bulan lalu.
"Saya tahu dakwaan kononnya saya mempunyai masalah disiplin timbul apabila saya tidak dapat menghadiri majlis pelancaran sebuah drama baru-baru ini.
"Perkara itu tidak disengajakan kerana saya jatuh sakit pada hari tersebut," ujarnya ketika ditemui pada program Jelajah ASK 2012 di sebuah pusat beli-belah di sini, baru-baru ini.
Pasangan itu bernikah di kampung halaman Izreen di Alor Setar, Kedah.
Izreen berkata, keadaan kesihatan yang tidak menentu kerana masalah tekanan darah rendah yang dialaminya menyebabkan dia dituduh sedemikian.
"Sebenarnya saya memang mempunyai masalah tekanan darah rendah sejak dulu lagi tetapi keadaan bertambah buruk apabila saya terbabit dalam penggambaran tanpa henti sejak lepas kahwin.
"Bayangkan, saya menghabiskan masa dan berbulan madu dengan suami pun melalui projek drama yang kami sama-sama terlibat.
"Mungkin sebab itu ada pihak salah anggap dan membuat andaian saya sengaja menjauhkan diri sedangkan saya sibuk sehingga hari ini," katanya.
Ditanya mengenai pengalaman berumah tangga, Izreen berkata, status isteri membawa perubahan besar kepada kehidupannya.
"Banyak perubahan besar saya alami dalam perkahwinan ini. Ia mengajar saya mengenai soal tanggungjawab dan penampilan diri.
"Sebelum ini saya seorang yang kasar dan lasak tetapi perkahwinan ini mengubah saya menjadi semakin feminin dan lembut," katanya yang masih belum dikurniakan rezeki untuk hamil.
Terbaru, Izreen masih lagi terikat dengan penggambaran drama bersiri Julia yang kini ditayangkan di TV3.
Selepas ini, dia bakal memasuki set penggambaran drama 30 episod berjudul Sehangat Asmara pula.
- ---

Era FM Kekal Nombor Satu, Raih 4.48 Juta Pendengar

Barisan deejay Era FM iaitu Johan, Haniff dan Ray antara penyumbang kepada pengekalan pendengar stesen radio itu.
PETALING JAYA: Stesen radio Era FM berjaya mengekalkan kedudukannya seperti tahun lalu apabila menjadi stesen radio paling berpengaruh dengan meraih 4.48 juta pendengar.
Astro Radio dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat petang Isnin berkata, kumpulan radio itu juga berjaya meraih kedudukan tiga terbaik dalam pengukuran pendengar radio yang dibuat Nielsen bagi separuh tahun kedua tahun ini.
Kenyataan itu turut menyebut stesen radio Sinar FM menduduki tempat kedua dengan 4.22 juta pendengar manakala THR yang menggabungkan Raaga dan Gegar mendapat tempat ketiga dengan 3.63 juta pendengar.
Stesen radio milik Media Prima Berhad iaitu Hot FM pula kekal di tempat keempat seperti pengukuran sebelum ini dengan meraih 3.43 juta orang sementara Suria FM milik Star Media Group berada pada kedudukan kelima dengan jumlah pendengar 2.54 juta.
Dua stesen bukan berbahasa Malaysia milik Astro mampu meraih populariti tinggi berbanding stesen lain apabila saluran berbahasa Mandarin iaitu My FM menduduki tempat keenam dengan 2.2 juta pendengar manakala stesen berbahasa Inggeris, Hitz FM di tempat ketujuh dengan 1.7 juta pendengar.
Astro Radio berkata, kejayaan itu membuktikan kerja keras stesen radio itu dalam mempamerkan mutu persembahan berbeza agar ia berjaya menambat hati pendengar setiap saluran radio yang diperkenalkan.
Berikut ini kedudukan tujuh terbaik jumlah pendengar stesen radio bagi pengukuran yang dibuat agensi kaji selidik Nielsen bagi separuh tahun kedua 2012.
1. Era FM – 4.48 juta
2. Sinar FM – 4.22 juta
3. THR (gabungan siaran Raaga & Gegar) – 3.63 juta
4. Hot FM – 3.43 juta
5. Suria FM – 2.54 juta
6. MY FM – 2.2 juta
7. Hitz FM – 1.7 juta
- ---

Tiada Tawaran Punca Tony Eusoff Berlakon Tetaer

Tony Eusoff
PETALING JAYA: Aktor kacak Tony Eusoff berkata pembabitannya dalam pelbagai pementasan teater muzikal sepanjang tahun ini disebabkan tidak menerima tawaran lakonan untuk televisyen (TV) dan filem.
Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 35, berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam pelbagai teater muzikal di dalam dan luar negara bagi mengisi masa terluang kerana hal tersebut.
Kata Tony, pembabitan dalam teater-teater bebas dan kecil itu dapat mengurangkan kebimbangannya memikirkan nasib kerjaya yang semakin tidak menentu.
"Bukannya saya tidak mahu berlakon TV atau filem tetapi memang tiada tawaran yang datang. Takkan saya hendak tunggu sahaja tawaran tanpa melakukan apa-apa langsung?
"Sebab itu saya cari alternatif kepada teater-teater muzikal bebas dan kecil dalam dan luar negara. Sekurang-kurangnya dapat juga saya melakukan sesuatu," katanya .
Tony berkata, ketandusan tawaran lakonan itu mungkin berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tidak peka menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat industri atau sikap pilih kasih stesen TV.
"Mungkin ketiadaan tawaran lakonan ini berpunca daripada salah saya yang kurang menonjol, tidak menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat seni lain atau memang sikap sesetengah stesen TV yang pilih kasih terhadap pelakon-pelakon tanah air.
"Malangnya, saya bukan pelakon kegemaran mereka maka tiadalah tawaran yang datang. Namun, saya tidak berkecil hati dan mahu berfikiran positif dalam hal ini," katanya yang rindu untuk kembali berlakon.
Dia bagaimanapun bertuah kerana mempunyai kebolehan untuk berlakon, menyanyi dan menari yang sekali gus memudahkan laluannya untuk membintangi beberapa teater muzikal pada tahun ini.
"Saya bukan suka-suka buat teater muzikal tetapi itu sahaja peluang kerja dan rezeki yang ada. Memanglah kalau dikira bayarannya kecil berbanding TV dan filem tetapi saya bersyukur kerana ada juga pendapatan.
"Peluang membintangi teater ini pun saya peroleh kerana kebetulan saya boleh berlakon, menyanyi dan menari yang merupakan perkara asas bagi sesebuah muzikal.
"Selain mengukuhkan kemahiran lakonan, pementasan muzikal di luar seperti Singapura dapat meluaskan jenama saya di kalangan peminat di sana," katanya.
Pada Jun hingga Ogos lalu, Tony terlibat dalam pementasan berjudul La Cage Aux Follesyang diinspirasikan daripada filem Hollywood, Bird's Cage di Singapura.
Terbaru, aktor yang berasal dari Sarawak ini bakal membintangi muzikal bahasa Inggeris berjudul Romantic Fools pada 24 Oktober hingga 4 November depan di Black Box, Publika, Solaris Dutamas dekat sini.
Pementasan seterusnya pula di Stage 1, PenangPac, Straits Quay Mall, Pulau Pinang pada 9 hingga 11 November depan.
- ---

Monday, October 22, 2012

Peserta Maharaja Lawak Mega 2012 Diumumkan


BARISAN PENUH PESERTA MAHARAJA LAWAK MEGA 2012

-Kumpulan Sabon Sabon Maharaja Lawak Mega -abon dan satia
-Kumpulan Jambu
-Kumpulan R2
-The Bandung Jokers - Dulu dikenali sebagai Bawel.. Tapi ada ahli baru.. Kembar!!

-Kumpulan Saehu
-Kumpulan Da Di Du... Ar Badul... Kumpulan gabungan Malaysia dan negara jiran..
-Kumpulan Boboi... Dengan ahli baru.. Nabil
-Kumpulan Hot seat pertama, kumpulan Balas.. Bersama ahli baru..
-Kumpulan Hot Seat kedua, kumpulan Mamu
-Kumpulan Hot Seat terakhir... Kumpulan Kecik.. Tapi dengan gabungan baru.. Idlan dah tak join..
-Kumpulan Jozan
-Kumpulan Pi Mai .. Imuda dan Mat Over

# jozan dan pi mai tidak dapat hadir ke majlis sidang media hari ini. harap maklum.

Inilah dia peserta-peserta yang bakal membuat anda ketawa... Siapa pilihan korang? Nantikan Maharaja Lawak Mega 2012....


- ---