Thursday, December 27, 2012

Leuniey Terkilan Isu Bapa Kandung

Apek dan Leuniey bakal mendirikan rumah tangga pada Jumaat ini.
PETALING JAYA: Bakal isteri penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) iaitu Leuniey berasa kecewa apabila tuduhan dia mengabaikan bapa kandungnya menjadi bualan panas sebelum menjelang perkahwinannya pada Jumaat ini.
Leuniey atau nama sebenarnya Nur Eilunie Natasha, 21, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan hal dalaman keluarga.
Malah dia juga terkejut apabila bapanya, Jaafar Mohamad, mendakwa tidak dijemput menghadiri majlis pernikahan itu.
"Saya terkilan dengan kontroversi yang tidak sepatutnya menjadi tatapan ramai.
"Tetapi saya cuma anggap hal itu berlaku kerana ayah mungkin terlalu beremosi pada ketika itu. Mungkin juga dia inginkan perhatian daripada saya sebagai seorang anak, entah saya tidak pasti.
"Apa-apa pun, perkara ini benar-benar buatkan saya kecewa kerana banyak lagi urusan perkahwinan yang perlu diselesaikan," katanya yang dihubungi dekat sini, petang Rabu.
Pada Selasa lalu, , Jaafar telah meluahkan rasa terkilan tidak dijemput menghadiri majlis pernikahan anak sulungnya itu dengan Apek, 23.
Dia juga mengatakan rasa sedih tidak dapat menyaksikan majlis akad nikah pasangan berkenaan yang akan berlangsung di kediaman Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan itu.
Leuniey merupakan anak sulung Jaafar hasil perkahwinannya dengan Nor Laila Abu Bakar, 40, sebelum bercerai 10 tahun lalu.
Lelaki itu kini tinggal bersama isteri baru dan dua anak lelakinya di mana seorang daripadanya merupakan adik Leuniey berusia 19 tahun.
Sementara itu, tambah Leuniey, pada Selasa lalu, dia telah bertemu dengan Jaafar, namun kedua-dua mereka tidak membangkitkan isu tersebut bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.
"Kami ada berjumpa, tetapi masing-masing tidak buka cerita pun tentang kenyataan ayah itu. Biarlah.
"Saya tidak mahu perkara itu menjadi bebanan dalam keluarga. Saya anggap ia sebagai dugaan kami sekeluarga," ujarnya.
Pasangan itu akan bernikah pada Jumaat ini, pukul 9.00 pagi manakala majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Baharu dua hari selepas itu.
Persandingan di sebelah pengantin lelaki pula akan berlangsung di rumah keluarga Apek di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013.
Dalam pada itu, pasangan itu turut mengadakan satu lagi majlis resepsi di Hotel Royale Bintang, Damansara pada 13 Januari tahun depan, pukul 8 malam.
Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas terlibat dalam pembikinan iklan minyak wangi SimplySiti Eau De Parfum milik penyanyi Siti Nurhaliza awal tahun ini.
- ---

Monday, December 24, 2012

Zul Ariffin dan Gayatri Bercinta

Zul Ariffin
KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai hubungan cinta antara pelakon Zul Ariffin dan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai akhirnya menemui jawapan apabila lelaki itu mengesahkan tentang perhubungan tersebut.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 26, berkata, perhubungan cinta itu sudah tujuh bulan dijalinkan dan ia masih lagi di peringkat awal dalam mengenali antara satu sama lain.
"Benar saya dan dia (Gayatri) bercinta. Kami mula rapat sejak penggambaran filem Penanggal sekitar bulan Mei lalu.
"Seperti semua tahu, dia seorang yang sangat disenangi ramai dan antara tarikan lain membuatkan saya jatuh hati kepadanya ialah perseonalitinya yang lemah lembut.
Zul tertarik dengan sifat lemah lembut Gayatri.
"Kami lebih rapat apabila masing-masing sangat serasi dalam membincangkan sesuatu perkara. Malah saya sangat selesa apabila berada disisinya," katanya.
Beberapa bulan lalu, gosip Zul yang dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri tersebar namun Zul mahupun penerbit filem itu enggan memberikan sebarang komen tentang hubungan tersebut.
Walaupun tiada sebarang pengesahan daripada kedua-dua mereka, hUbungan cinta yang dijalinkan itu tetap dipersoalkan.
Zul dikatakan mempunyai citarasa ke arah wanita yang lebih matang memandangkan sebelum ini dia juga pernah bercinta dengan Abby Abadi lebih kurang selama dua tahun.
Sementara itu, Zul berharap agar tiada yang cuba membangkitkan isu tentang jarak umur antara mereka yang jauh berbeza kerana keputusannya untuk menjalinkan hubungan dengan Gayatri tidak ada kena mengena dengan status atau usia wanita itu.
"Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau had umur dalam menjalinkan sesebuah hubungan.
"Begitu juga sekarang, cinta saya terhadap Gayatri ikhlas. Apa-apa pun hubungan ini masih lagi baru dan kami belum lagi memikirkan ke arah perkahwinan," ujarnya.
- ---

Friday, December 21, 2012

Nelydia Senrose sedia bersaing


PENGLIBATAN Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen sebagai seorang pelakon boleh dikira sudah agak lama.
Pelakon jelita mula dikenali sejak membintangi drama bersiri Spa Q kira-kira lima tahun lalu. Kemudian namanya seperti tenggelam timbul kerana agak jarang muncul di kaca televisyen.
Meskipun dia dilihat mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang lakonan, namun namanya masih kurang menjadi sebutan dan tidak terlalu menyinar berbanding beberapa pelakon wanita yang lain.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang diadakan di Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nelydia mengakui dirinya masih belum lagi menyerlah.
“Kalau diikutkan penglibatan saya dalam bidang seni, lima tahun merupakan satu tempoh yang cukup lama. Lagipun peminat memang mengenali saya sejak membintangi drama Spa Q dahulu.
“Selepas drama tersebut saya ada berlakon dalam beberapa buah drama lain, tetapi ia kurang memberi impak kepada diri saya. Jadi, saya akui masih kurang popular, meskipun sudah lama menceburi bidang lakonan,” ujar anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik itu.
Selain itu, Nelydia turut menjelaskan antara faktor utama yang menyebabkan dirinya agak sukar untuk mengecap populariti kerana statusnya sebagai pelajar sekolah sebelum ini.
Ujarnya, disebabkan itu dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan yang diterima memandangkan terpaksa memberi sepenuh tumpuan terhadap persekolahannya.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, saya sudah kembali aktif berlakon. Beberapa bulan kemudian saya kembali menyambung pelajaran semula menyebabkan saya kurang berlakon.
FAKTA menarik tentang Nelydia yang sering membawa karakter wanita matang ini ialah dia sebenarnya baru berusia 18 tahun.


“Ketika ini saya cuma berlakon sewaktu cuti semester dan hanya menerima satu tawaran supaya senang untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada lakonan,” jelas penuntut semester dua jurusan Psikologi dari Kolej Universiti SEGi, Kuala Lumpur.
Ditanya adakah dia tidak kisah apabila namanya sehingga kini masih kurang popular meskipun sudah lama bergelar pelakon, Nelydia menjelaskan dia tidak terlalu mementingkan populariti.
Menurutnya, dia menceburi bidang lakonan bukan kerana mahu popular, sebaliknya dia memang begitu minat berlakon dan menganggap lakonan merupakan sebahagian daripada jiwanya.
“Ada segelintir pihak yang beranggapan sekiranya mahu cepat popular mereka perlu dikaitkan dengan kisah kontroversi, tetapi rasanya dengan cara sebegitu ia tidak akan kekal lama.
“Saya lebih selesa dengan keadaan sekarang ini tanpa terpalit dengan sebarang cerita negatif. Tidak semestinya pelakon yang kurang popular jarang dapat tawaran berlakon kerana semuanya bergantung pada rezeki masing-masing,” ujarnya.
Lebih dewasa
Bagi penonton yang selalu melihat kemunculan Nelydia di kaca TV, pastinya mereka akan menyangka pelakon itu sudah berusia sekitar 24 atau 25 tahun.
Namun begitu, pada hakikatnya pelakon berkenaan baru sahaja mencecah 18 tahun.
“Sebenarnya saya tiada masalah membawakan karakter wanita yang berbeza daripada usia sebenar, malah saya juga pernah mendapat tawaran memegang watak sebagai seorang ibu,” ujarnya.
“Berkenaan dengan sesuatu watak saya memang tidak pernah terlalu memilih, tetapi saya hanya akan bersetuju sekiranya sudah yakin membawakan watak yang diberikan,” katanya.

BARISAN karyawan drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang menampilkan Nelydia Senrose dan Amar Ashraf sebagai tonggak utama.


Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam Setia Hujung Nyawa pula, Nelydia memberitahu, dia diberikan kepercayaan memegang watak seorang gadis remaja yang baru tamat alam persekolahan.
Melakonkan peranan gadis bernama Ersalina, pelakon itu menyatakan watak yang dibawakannya itu berbeza dengan lakonannya sebelum ini iaitu seorang remaja yang sudah terlanjur dengan bekas kekasihnya.
“Dalam drama ini saya merupakan seorang remaja yang naif dan baru tamat sekolah, tetapi terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali iaitu Zain Hakimi (lakonan Amar Ashraf).
“Walaupun saya menjadi seorang gadis remaja yang memang sesuai dengan usia sekarang, watak sebagai Ersalina agak berat dan memerlukan penghayatan yang mendalam,” jelasnya.
Mengenai gandingannya bersama Amar dalam drama berkenaan, pelakon itu berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama dan mereka akan berbincang terlebih dahulu sebelum melakonkan babak yang membabitkan kedua-duanya.
“Sepanjang berlakon bersamanya memang tiada masalah besar yang timbul kerana kami selalu berkomunikasi, malah saya juga sudah menganggapnya seperti seorang abang,” ujarnya.


 
- ---

Botoks Bukan Amalan Datuk Shake

Datuk Shake menunjukkan album terbarunya.
KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Shake berkata disiplin yang tinggi dan penjagaan pemakanan seimbang merupakan rahsia penampilan awet mudanya selama ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 62, berkata, sejak dulu lagi dia mengamalkan kedua-dua aspek itu dan tidak percaya terhadap suntikan botoks atau pembedahan plastik.
"Kalau orang lain nak buat biarlah itu hak mereka tetapi saya tidak percaya kepada botoks atau pembedahan plastik (untuk kekal muda).
"Dari dulu, saya tekankan disiplin kepada senaman dan pemakanan. Biasanya selepas solat Subuh saya akan bersenam dan kawal makanan yang saya ambil.
"Alhamdulillah, saya masih kuat dan berstamina pada usia begini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album bahasa Malaysia terbaharunya Chameleon di Hard Rock Cafe di sini, petang Khamis.
Mengenai kemunculan semula di persada muzik tanah air, penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu berkata, 2013 adalah waktu terbaik untuk meraikan peminat yang merinduinya.
Masih bergaya pada usia 62 tahun.
"Sudah banyak permintaan di kalangan peminat di sini yang mahu saya kembali. Kemunculan album Chameleon adalah untuk mereka.
"Selain album ini, saya bercadang untuk adakan konsert jelajah di seluruh negara pada tahun hadapan jika ada penajaan. Saya mahu adakan konsert terbuka untuk rakyat," jelasnya.
Ditanya mengenai keberaniannya mengetengahkan konsep elektro dan “urban” dalam album itu, Shake berkata, ia perlu dilakukan bagi menawarkan elemen segar dalam muziknya.
"Kalau di luar ramai sahaja penyanyi lama seperti Rolling Stones dan Stevie Wonder berani menghasilkan muzik kontemporari, mengapa tidak saya mencuba?
"Muzik tiada sempadan usia. Kalau budak-budak (penyanyi baru) tak nak buat, biar saya buat mana tahu mereka akan ikut nanti," kongsi datuk kepada lima cucu ini.
Album yang memuatkan 12 lagu antaranya Material, Berpusing, Kembalilah, Topeng, Mengapa dan Oh Kasihku itu kini dipasarkan secara digital menerusi www.dreammusic.com.my.
- ---

Siti Fazurina Kahwin Lari?

Siti Fazurina
PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Haikal, 30-an tanpa pengetahuan keluarganya.
Sumber terdekat keluarganya mendedahkan, Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 30, pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina langsung tidak memaklumkan mengenai perkahwinan tersebut kepada keluarganya malah telah menghilangkan diri selama sebulan tanpa khabar berita.
"Kami sangat terkejut dan kecewa dengan tindakannya yang membelakangkan keluarga terutama ibunya," jelasnya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, pihak keluarga perempuan ada menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang menjadi saksi pernikahan bagi memaklumkan majlis berkenaan.
Malah dalam SMS tersebut, individu itu meminta supaya ibu Fazurina bersabar dan reda dengan perkahwinan yang dilakukan secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga itu.
"Jika benar mereka ingin berkahwin mengapa tidak berjumpa dengan ibunya untuk meminta restu.
"Ibunya sangat kecewa dengan tindakan Fazurina bernikah tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Malah pihak kami tidak mengenali dan berjumpa keluarga pihak lelaki," ujarnya.
Sementara itu, usaha untuk menghubungi Fazurina bagi mendapatkan penjelasan gagal kerana dia mungkin masih mahu merahsiakan majlis itu.
- ---

Thursday, December 20, 2012

Kamal Adli Dan Intan Ladyana Belum Rancang Kahwin

Kamal Adli
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah jemu dan tidak larat lagi untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan mengahwini kekasihnya aktres Intan Ladyana.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, soalan mengenai perancangan berkahwin yang berulang-kali diajukan kepadanya dan Intan menyebabkan mereka berasa ‘letih’ untuk memberikan penjelasan.
“Soalan ini (kahwin) sudah banyak kali dan tidak henti-henti ditanya baik kepada saya atau pun Intan. Sebagaimana saya, dia juga sudah tidak larat untuk jawab soalan ini.
“Tak guna nak sorok kalau memang kami nak berkahwin. Masalahnya, kami belum bersedia dan tiada perancangan lagi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu.
Kamal berkata, keutamaan mereka pada waktu ini adalah mengembangkan kerjaya masing-masing memandangkan keluarga kedua belah pihak tidak mendesak agar mereka segera disatukan.
“Saya baru sahaja bergerak sendiri selepas keluar daripada pengurusan MIG. Biarlah saya bina kerjaya semula buat masa ini.
Intan Ladyana
“Begitu juga dengan Intan. Dia juga mahu mengukuhkan kerjayanya. Lagi pun, keluarga memahami dan tidak mendesak agar kami segera berkahwin,” jelasnya.
Sementara itu Intan berkata, soal berumahtangga adalah menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk menentukannya.
Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahya, 30, berkata, sebagai wanita adalah tidak manis sekiranya dia yang banyak bercakap mengenai perancangan itu.
“Saya serahkan kepada Kamal. Biarlah dia yang bercakap mengenai hal itu. Saya tak mahu komen apa-apa kerana tak manis kalau pihak perempuan yang bercerita soal itu (kahwin),” katanya.
Jelasnya lagi, walaupun sudah empat tahun menjalinkan cinta namun kata Intan bukan mudah untuknya bergelar isteri orang disebabkan komitmen yang bakal diberi.
Ujarnya, komitmen kerja juga antara penyebab mereka tidak terlalu serius untuk memikirkan hal demikian.
“Kalau kita dah kahwin, nak kena jaga makan minum suami dan uruskan rumah tangga dengan baik. Ia bukan mudah kalau kita tidak bersedia,” jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mencintaimu untuk siaran RTM.
- ---

Shakilla Koriri Disuruh Pakai Seksi

Shakilla gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa 
KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Koriri mengakui ada segelintir pihak pernah mencadangkan agar dia berimej seksi dan mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dengan mudah.
Shakilla, 23, berkata, walaupun percaya cara itu mampu menaikkan namanya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri lakonan tempatan, dia tetap dengan pendiriannya untuk menapak secara perlahan.
"Memang ada yang memberi cadangan untuk mereka-reka kontroversi agar saya lebih mudah diberi perhatian. Tetapi untuk apa? Adakah kedudukan kita itu akan berkekalan selama-lamanya?
"Bagi saya biarlah lambat asalkan orang kenal kita daripada hasil kerja kita atau paling tidak, perkara-perkara positif yang ditonjolkan.
"Saya percaya, apabila orang dah mula kenal siapa saya, itu tandanya kerja kita semakin berkualiti kerana ia mula dipandang umum serta daripada golongan industri," katanya.
Tambah Shakilla, dia gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa yang turut menampilkan Aaron Aziz dan Nadia Nissa menjadi tumpuan umum.
Malah pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikut nasihat Nadia untuk tidak terlalu terburu-buru mengejar perhatian ramai.
"Diakui saya tidak boleh nak tipu diri sendiri apabila hasil usaha selama enam tahun dalam industri hanya dipandang sebelah mata.
"Tetapi apabila orang dah mula kenal, perasaan takut pula muncul. Saya risau sekiranya populariti yang diraih membuatkan saya lupa diri.
"Saya sering pesan kepada keluarga dan rakan-rakan rapat supaya mengingatkan diri ini sekiranya saya terlajak daripada landasan sebenar dalam bidang ini," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Shakilla bakal muncul menerusi drama Erna Shuraya bergandingan dengan pelakon Tasha Shila dan Amran Ismail yang akan disiarkan pada 1 Januari 2013 di TV2.
Ia turut menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Shukri Mahari, Sharin Bali dan Norakmalina Iskandar.
- ---

Chef Riz Secara Rasmi Lepaskan Ana Dahlia Talak Satu

Perkahwinan Ana dan Chef Riz gagal dipertahankan apabila mereka membuat keputusan untuk bercerai.
PETALING JAYA: Teka-teki mengenai status pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz terjawab apabila kedua-dua mereka bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor dekat sini pada 10 Disember lalu.
Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengesahkan perkara itu secara ringkas ketika dihubungi  di sini, pada petang Rabu.
"Benar, kemelut perhubungan kami sudah selesai. Kami telah pun bercerai talak satu secara sah," katanya ringkas kerana sibuk berada di gimnasium.
Keretakan perkahwinan pasangan tersebut mula dihidu pada Oktober lalu selepas Ana dan Riz dikatakan sedang menghadapi masalah rumah tangga walaupun perkahwinan mereka belum menjangkau setahun lagi.
Penceraian itu dikatakan berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka selain perkenalan singkat iaitu selama lapan bulan yang turut menjadi penyebab perpisahan itu.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar dan Riz telah diijabkabulkan pada 11 Disember 2011.
Ia adalah perkahwinan kedua buat Ana.
Sementara itu, Ana yang dihubungi pula berkata, dia berasa sedikit sunyi sejak berpisah dengan anak lelaki tukang masak selebriti popular Chef Wan itu.
"Saya berasa sunyi sedikit, mungkin kerana saya tinggal bersendirian. Tetapi kesannya tidaklah teruk mana kerana sebelum ini pun saya tinggal sendiri juga.
"Inilah ketentuan dan takdir Tuhan. Saya terima seadanya dan berharap agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah," tuturnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Kerana Lelaki Itu.
Tambah Ana, walaupun kedua-dua mereka telah bercerai, namun dia tidak pernah menganggap Riz sebagai musuhnya dan masih lagi berkawan seperti biasa.
"Saya tidak pernah memusuhinya, kami kawan seperti biasa. Cuma hubungan kami tidaklah seperti dahulu lagi," ujarnya.
- ---

Thursday, December 13, 2012

Suami Datuk Siti Nurhaliza Kemalangan

Siti Nurhaliza bersama suaminya Khalid Mohamad Jiwa.
PETALING JAYA: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) yang juga suami kepada penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin cedera apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada Khamis.
Utusan Malaysia pada Khamis melaporkan dalam kemalangan itu Datuk K yang menunggang motosikal berkuasa tinggi patah bahu, cedera pada tangan serta kaki. Bagaimanapun keadaannya stabil dan tidak membimbangkan.
Siti Nurhaliza yang kini berada di Banjarmasin, Indonesia untuk mengadakan konsert terakhirnya iaitu Konsert Ekspresi Karya Gemilang pada malam Khamis dilaporkan terpaksa membatalkan konsert tersebut.
Siti memohon maaf kerana terpaksa membatalkan konsertnya di Banjarmasin, Indonesia.
Sementara itu Siti menerusi akaun Twitter miliknya memohon maaf kepada seluruh peminat kerana tidak dapat mengadakan konsert itu.
“Salam... maaf buat semua peminat di Banjarmasin serta semua “team” konsert, CT (Siti) tidak dapat ke sana kerana ada sesuatu yang tak terduga. Mohon memahaminya,” kata Siti menerusi Twitter miliknya.
Akibat kejadian itu Siti akan berlepas ke New Zealand pada Jumaat untuk melihat keadaan suaminya bersama kakak iparnya, Datin Zaiton Mohammad Jiwa.
- ---

Tuesday, December 11, 2012

Isu Uniform - Farid Kamil Hanya Ditegur

Inilah uniform yang digayakan oleh Farid semasa majlis resepsi perkahwinannya pada 1 Disember lalu telah menjadi pertikaian banyak pihak.
PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil bukan sahaja tidak mendapat kebenaran untuk memakai uniform pasukan keselamatan pada majlis resepsi persandingannya dengan Diana Danielle tetapi telah mengenakan pakaian yang cacamarba.
Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pakaian “istiadat” itu tidak mencerminkan anggota beruniform di negara ini kerana ia tidak selari dengan imej pasukan berkenaan.
“Pada dasarnya baju, seluar dan topi dipakai Farid itu adalah pakaian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lencana pada bahunya adalah lambang mejar jeneral Tentera Darat.
“Lencana penerbangan di bahu kanan pula menggambarkan seseorang itu adalah anggota Tentera Udara,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sebuah akhbar menerusi ruangan pojok pada Ahad lalu melaporkan Farid mungkin dikenakan tindakan saman kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsi persandingannya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya dekat sini pada 1 Disember lalu.
Farid dan Diana bernikah pada 3 November lepas di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang, dekat sini.
Istiadat lalu di bawah pedang yang diadakan ini tidak menggambarkan ciri-ciri anggota polis kerana pakaian yang dipakai tidak lengkap.
Tambah Rahimah, sekiranya Farid benar-benar berhajat untuk menyarungkan uniform tentera pada majlis itu, dia boleh membuat permohonan rasmi untuk dipertimbangkan.
Pihak beliau tiada masalah untuk tujuan tersebut kerana selama ini mana-mana penerbit yang ingin menggunakan pakaian tentera bagi watak-watak tertentu dalam filem atau drama akan mendapat nasihat cara pakaian sebenar sebagai seorang anggota tentera.
“Kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada Farid berhubung perkara itu tetapi langkahnya mencampuradukkan pangkat dan pakaian pasukan beruniform di negara ini adalah tidak wajar,” katanya.
Sehubungan itu pihaknya akan menghantar surat teguran kepada Farid supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut namun tiada tindakan undang-undang dapat dikenakan disebabkan pakaian yang disarungkan itu tidak mencerminkan mana-mana pasukan keselamatan di negara ini kerana ia bersifat cacamarba.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Urusetia) Jabatan, Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Asisten Komisioner Polis, Zulkifli Alias pula berkata Farid tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap pasukan itu kerana pakaian yang digayakannya tidak melambangkan imej sebenar PDRM.
Farid dan Diana bernikah pada 3 November lepas di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang, Selangor.
Malah katanya, istiadat lalu di bawah pedang yang diadakan itu juga tidak menggambarkan ciri-ciri anggota polis.
"Pakaian yang digunakan semasa “sword bearer” (lalu bawah pedang) itu bukan uniform rasmi polis malah tiada lencana yang dipakai anggota beruniform itu. Jadi ia bukan satu kesalahan. Cuma ia sedikit mengelirukan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan Zulkifli memberitahu, Farid hanya mengemukakan surat permohonan rasmi kepada pihaknya untuk menggunakan khidmat pasukan berkuda bagi mengiringi perkahwinannya dan ia telah diluluskan tanpa sebarang masalah.
"Farid telah banyak bekerjasama dengan pihak PDRM sebelum ini dalam pelbagai acara yang mungkin tidak diketahui umum dan rasanya tidak menjadi masalah bagi pihak PDRM untuk membantu melancarkan perkahwinannya.
“Malah beliau juga adalah anggota pasukan simpanan PDRM," katanya.
GAM: Lepas ni mudah la orang awam nak kahwin lalu bawah pedang, pakai cacamarba dan jangan bubuh sebarang logo .... mudah mudah.....
- ---