Friday, January 25, 2013

Shiro Tidak Berniat Elak Wartawan

Shiro memberitahu berasa rendah diri apabila berhadapan dengan pihak media kerana berasa mereka tidak popular.
JOHOR BARU: Pemenang tempat ketiga pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012), kumpulan Shiro menjelaskan tidak pernah berniat untuk mengelak daripada ditemubual pihak media.
Shiro yang dianggotai oleh Shahrol dan Ajak sebaliknya memberitahu mereka berasa rendah diri setiap kali berhadapan dengan wartawan kerana menganggap diri tidak popular.
"Bukan larikan diri tetapi kami menganggap diri tidak popular selain tiada bahan untuk diceritakan kepada pihak media.
"Atas alasan itu juga selepas selesai sesuatu majlis meibatkan pihak media kami akan terus balik," jelas Shahrol .
Shiro ditemui selepas pertandingan akhir MLM 2012 yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Ahad malam lalu.
Pada pertandingan itu, kumpulan Jozan yang dianggotai oleh Johan dan Zizan dinobatkan sebagai juara manakala kumpulan Jambu (Yus dan Tauke) ditempat kedua.
Shahrol dan Ajak membawa pulang wang tunai RM150,000 berserta trofi.
Gandingan mereka telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga program Maharaja Lawak Mega 2012 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ajak memberitahu mereka tidak menyangka berjaya menempatkan diri di peringkat akhir program itu dan seterusnya dinobatkan pemenang tempat ketiga.
Malah kata Ajak, mereka menjangkakan akan tersingkir pada minggu ke empat pertandingan.
"Dapat masuk final adalah satu kejayaan besar buat kami berdua kerana semua peserta yang masuk hebat-hebat belaka.
"Malah kami langsung tidak tertekan menghadapi peringkat akhir kerana tidak menyasarkan untuk menang.
"Bagaimanapun kami berdua bersyukur dengan rezeki yang diberikan kepada kami," ujarnya.
Ditanya mengenai hadiah kemenangan mereka, Ajak berkata, dia bercadang untuk menghadiahkan jubah dan songkok kepada pelajar-pelajar Sekolah Kampung Hj Manan, Kluang, dekat sini.
Sementara itu, Shahrol berkata, mereka berdua berharap dengan kemenangan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada mereka sebagai pelawak.
- ---

Wednesday, January 23, 2013

Betul ke Norish Karman Cuba Goda Suami Orang?


22 Jan – Baru sahaja reda daripada kontroversi yang membabitkan status anak keempatnya, Muhammad Haq Lutfie Alexander, kini timbul pula kisah baru yang mendakwa Norish Karman cuba menggoda suami orang.
Munurut laporan dari Berita Harian, segalanya bermula apabila Norish yang ingin menyembunyikan kelahiran anak keempatnya itu telah berpantang di rumah seorang kenalan pada September lalu bagi mengelak daripada diketahui umum. 
Namun niat baik kenalannya yang menjaga aktres "Spa Q" sepanjang berpantang dibalas dengan merampas suaminya dan menghancurkan rumah tangga yang dibina.
Pasangan suami isteri itu didakwa telah berpisah kerana si suami ingin meneruskan hidup bersama Norish dan mereka dikhabarkan semakin intim bersama.
- ---

Zain Saidin Tak Senang Duduk

Zain menjelaskan kurang senang apabila melihat Rozita dikaitkan dengan lelak lain walaupun hakikatnya mereka sedang bercinta. Foto Arkib The Star.
PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin mengambil pendekatan mendedahkan kepada umum untuk menikahi aktres Rozita Che Wan pada penghujung tahun ini bagi memastikan wanita itu tidak lagi menjadi mangsa gosip dengan mana-mana lelaki lain.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia berbuat demikian kerana agak kurang senang apabila Rozita sering kali dilaporkan mempunyai hubungan dengan lelaki lain sedangkan mereka sebenarnya sedang hangat bercinta.
"Saya kurang senang apabila dia selalu digosipkan dengan pelbagai lelaki sehingga dia menjadi bahan cercaan masyarakat.
"Saya berterus terang mengenai hubungan kami untuk mengakhiri gosip dia dengan orang lain kerana kami sedang bercinta," ujarnya  menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangannya untuk berkahwin dengan Rozita pada Disember depan, Zain berkata, kenyataan itu dibuat secara ikhlas apabila disoal media mengenainya
Rozita tidak menafikan sedang bercinta dengan Zain dan meletakkan soal jodoh di tangan Tuhan.
Zain bagaimanapun memberitahu perkara itu terletak pada jodoh serta rezeki dan sebagai manusia dia hanya mampu merancang.
"Apabila wartawan bertanya saya cuma menjawab dengan ikhlas situasi sebenar kami dan memberitahu jika ditakdirkan ada jodoh kami akan berkahwin tambahan pula hubungan kami kini serius," jelasnya.
Sementara itu, Zain berkata, kekasihnya itu tidak mengulas panjang mengenai pendedahannya tentang hubungan mereka kerana perancangan untuk berumah tangga masih lagi jauh.
"Insya-Allah jika ada jodoh dan rezeki mungkin kami dapat bersatu pada Disember ini tetapi itu hanya perancangan dan saya tidak mahu lagi mengulas lanjut mengenai soal ini, tunggu hujung tahun kita tengok macam mana," katanya.
Media beberapa hari lalu melaporkan pengakuan Zain untuk berkahwin dengan Rozita, 40, dan mengakui hubungan mereka itu sememangnya serius.
Zain turut dilaporkan ada menghantar kuntuman bunga mawar kepada Rozita ketika penggambaran telefilem Anak Ikan di Pork Dickson, Negeri Sembilan hujung tahun lalu sebagai membuktikan cinta mereka.
Selain Zain, Rozita sebelum ini pernah dikatakan menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki muda seperti bintang bola sepak Asraruddin Putera Omar, Shahir (AF8), Beego dan Shah Iskandar.
Rozita dalam kenyataan balasnya pula mengambil pendekatan untuk tidak mahu berbicara tentang perkara itu selain berkata sekiranya ada jodoh, mereka akan kahwin kerana pada ketika ini masih peringkat mengenali hati budi masing-masing.
- ---

Mamat Khalid Tutup Syarikat

Mamat Khalid
KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Mamat Khalid menafikan dakwaan kononnya dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak kerana syarikat produksinya Naga VXS “lingkup” sejak dua tahun lalu sehingga diisytiharkan muflis.
Mamat, 50, berkata, penghijrahan tersebut adalah permulaan baharu dalam kariernya selepas berdepan dengan beberapa masalah dalam operasi syarikat berkenaan.
"Operasi Naga VXS sebelum ini ada beberapa sekatan. Saya perlu meneruskan kehidupan dengan memulakan perkara baharu.
"Saya bersyukur kerana diberikan peluang kedua apabila dapat menubuhkan syarikat baharu yang kini diuruskan isteri saya iaitu Intan.
"Sudah setahun syarikat Enjit Semut Productions ditubuhkan. Buat masa ini ia beroperasi di rumah kami di Ipoh, Perak," katanya.
Mamat ditemui pada malam gala tayangan filem arahannya berjudul Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di GSC Mid Valley di sini, malam Selasa.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia diisytiharkan muflis gara-gara diperdaya dalam perniagaan, Mamat berkata, tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.
"Saya bukan diperdaya atau salahkan sesiapa melainkan pengurusan yang tidak betul.
"Ketika perniagaan syarikat itu bermula, kami masih baharu. Banyak yang perlu diperbaiki dan kehidupan harus diteruskan.
"Kalau kita terus mengenang kesilapan lalu, takkan bergerak jadinya. Memilih langkah seterusnya adalah lebih penting," katanya.
Mengenai perasaannya mengenai kemunculan filem terbaharu selepas tiga tahun menyepi, Mamat berkata, 2013 bakal menyaksikan segala usahanya selama tempoh itu dikongsikan kepada khalayak.
"Selain filem ini, saya juga akan muncul dengan Rock Ooo, Apokalips, Zombie Kilang Biskut dan Rentaz.
"Tahun ini segala usaha sepanjang tiga hingga empat tahun lepas akan menemui penonton," katanya yang berharap filem terbaharu itu dapat menyaingi kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang memperoleh kutipan kasar RM7.90 juta.
- ---

Tuesday, January 22, 2013

Aizat Iri Yuna

Aizat mengakui peluang yang dimiliki oleh Yuna di Amerika Syarikat adalah impian semua pemuzik sepertinya. 
AMPANG: Penyanyi dan komposer Aizat Amdan berasa iri hati dengan rakan seperjuangannya iaitu Yuna yang berpeluang merakamkan album di Amerika Syarikat (AS).
Aizat, 24, berkata, peluang yang diperoleh Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai untuk bernaung di bawah sebuah label muzik terkemuka di AS iaitu The Verve/Universal Music serta bekerjasama dengan komposer terkenal seperti David Foster dan gitaris kumpulan Incubus, Mike Einziger adalah impian semua pemuzik sepertinya.
"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan Mike yang memang terkenal dengan kehebatannya bermain gitar dan mencipta lagu? Beliau adalah salah seorang pemuzik kegemaran saya.
"Jujur saya iri hati dengan peluang yang Yuna miliki selain perjalanan kariernya di Amerika Syarikat semakin lancar.
"Bagaimanapun kejayaan Yuna itu saya ambil sebagai satu semangat untuk terus mengejar cita-cita di peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Aizat ditemui ketika majlis kenduri kesyukuran kemenangan lagu nyanyian Yuna iaituTerukir Di Bintang yang diadakan di kediamannya di Taman TAR di sini pada malam Ahad lalu
Tambah Aizat, Yuna juga bertuah kerana peralatan studio dan teknologi yang digunakan jauh lebih baik daripada produksi tempatan.
Aizat dan Yuna bergambar bersama ketika majlis kenduri kesyukuran kemenangan lagu Terukir Di Bintang di Anugerah Juara Lagu ke 27 pada 6 Januari lalu.
Dalam pada itu, Aizat berkata, dia ada merancang untuk merakamkan sebuah lagu bersama Yuna namun kesuntukan masa telah membantutkan hasrat itu.
Katanya, keinginan itu telah lama dipendamkan dan dia yakin akan menghasilkan sebuah lagu yang dapat diterima ramai.
"Saya sudah lama mengenali Yuna dan hasrat untuk merakamkan sebuah lagu bersamanya telah lama dirancang dan Yuna sendiri tidak mempunyai masalah.
"Namun kesibukannya dan sentiasa berada di Amerika telah menyebabkan projek itu tergendala," jelasnya.
Sementara itu, Aizat berkata dia kini sedang dalam proses merakamkan album ketiganya dan dijangka akan berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.
Untuk album itu nanti, ia akan memuatkan 12 buah lagi dan enam daripadanya adalah lagu berbahasa Inggeris.
"Kelainan album baru itu nanti ia akan memuatkan enam buah lagu berbahasa Inggeris dan idea itu telah lama saya fikirkan dan mahu berkongsi dengan semua peminat.
"Proses album ini juga saya lakukan sendiri daripada proses penulisan, penciptaan lagu dan rakaman dengan bantuan pasukan penerbit. Saya teruja dengan pembikinan album ini," jelasnya.
Tambah Aizat, kesibukannya tidak terhenti disitu apabila dia juga sedang dalam proses menyiapkan album artis Amir Jahari dan kumpulan Gorilla yang bernaung di bawah syarikat rakamannya iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE).
Dalam perkembangan sama, Aizat berkata, pembikinan album terbaharunya itu diilhamkan daripada kursus jangka pendek yang disertainya di Garnish School of Music, London, empat bulan lalu.
"Sepanjang tiga bulan kursus berkenaan banyak perkara yang saya pelajari dan semasa di London juga saya mendapat pelbagai ilham yang kini saya curahkan untuk album terbaharu itu," katanya.
- ---

Zahiril Adzim Bercuti Panjang

Zahiril memberitahu mahu berehat seketika daripada dunia lakonan kerana ingin memberi tumpuan kepada isterinya, Shera yang sedang hamil anak sulung mereka.
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim akan berehat daripada dunia lakonan bagi memberikan tumpuan kepada isterinya, Shera Aiyob yang kini sedang hamil empat bulan.
Zahiril, 28, berkata, pada tahap ini komitmennya kepada Shera sangat penting selain ingin memastikan kandungan isterinya itu berada dalam keadaan baik.
"Tiada apa yang lebih penting selain memastikan isteri dan anak dalam kandungan berada di dalam keadaan baik.
"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kerjaya lakonan untuk bersama-sama isteri," ujarnya.
Zahiril dan Shera menamatkan zaman bujang mereka pada 20 November 2011 dengan sekali lafaz di Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Zahiril berkata, selain ingin menjaga isterinya, dia mengambil keputusan untuk berehat kerana telah terlibat dalam banyak projek drama dan filem sehingga tiada masa untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Dia juga mahu memperlahankan seketika aktiviti lakonannya selepas beberapa tahun bekerja kuat untuk membina nama sebagai pelakon.
Zahiril dan Shera bergandingan dalam filem Juvana sebagai pasangan kekasih dan mengakui kekok ketika berada di lokasi penggambaran.
"Sejak mula saya jarang berehat dan terus bekerja untuk membina nama sebagai seorang pelakon.
"Kini tiba masanya saya memperlahankan sedikit aktiviti lakonan dan memberikan tumpuan kepada isteri dan anak sulung yang bakal lahir," katanya.
Sementara itu, Zahiril mengakui berasa kurang selesa berlakon dengan isterinya sebagai pasangan kekasih ketika digandingkan dalam filem Juvana yang akan ditayangkan pada Khamis ini.
Pun begitu dia mengakui lebih mudah untuk menghayati watak tersebut kerana setiap perkataan yang diluahkan adalah jujur dan penuh kasih sayang.
"Semasa penggambaran filem itu berlangsung kami baru sahaja berkahwin dan rasa segan memang ada tetapi yang bagusnya setiap dialog yang diluahkan adalah jujur dan terasa lebih mudah.
"Selain itu juga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain berbincang tentang watak kami di rumah," jelasnya.
- ---

Linda Hashim, Beego Nikah Pertengahan Tahun Ini

Beego dan Linda Hashim
PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengesahkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan Beego pada pertengahan tahun ini tetapi enggan mendedahkan tarikh sebenar majlis itu.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 29, berkata, dia terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
"Insya-Allah kami akan bernikah pada pertengahan tahun tetapi bukan Mac seperti didakwa sebelum ini. Tarikh sudah ada cuma kami tidak mahu dedahkannya dahulu.
"Persiapan sedang berjalan serba sedikit memandangkan kami berdua juga sibuk dengan komitmen lakonan masing-masing," katanya ketika dihubungi .
Pada laporan bertarikh 19 November 2012, Linda mengesahkan sudah bertunang dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 33, pada 3 November lalu.
Difahamkan, Linda dan Beego mula dikaitkan menjalin hubungan selepas mereka membintangi drama bersiri Seuntai Kasih pada Jun 2012.
Linda berkata pada masa ini dia terpaksa bekerja keras bagi mengumpulkan wang sebelum majlis berlangsung.
"Saya memang sibuk sekarang di mana saya sedang terlibat dalam dua komitmen lakonan serentak. Kenalah cari duit lebih untuk majlis nanti.
"Mujurlah persiapan majlis diuruskan butik andaman milik kakak iaitu Erin & Erinas Wedding, jadi tidaklah kelam kabut sangat dibuatnya," katanya.
Linda memberitahu dia juga belum berkesempatan menghadiri kursus perkahwinan gara-gara tawaran lakonan yang silih-berganti.
"Jadual lakonan memang padat sampaikan hendak berehat pun susah kebelakangan ini. Bayangkan, kursus kahwin pun saya belum ambil lagi tetapi tidak apa sebab benda itu tidak rumit.
"Insya-Allah tidak lama lagi saya akan cari tarikh yang lapang dan boleh hadirinya pada hujung minggu," katanya yang sedang menjalani penggambaran telefilem Surat Untuk Dia.
- ---

Friday, January 11, 2013

Faizal Tahir Tak Lepas Tangan - Anas Ridzuan

Anas Ridzuan
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Anas Ridzuan menolak dakwaan segelintir pihak kononnya penyanyi Faizal Tahir bersikap lepas tangan terhadap perkembangan kerjayanya selepas program Mentor musim keenam berakhir.
Anas, 23, berkata, tuduhan itu tidak sepatutnya timbul kerana Faizal sebenarnya sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya.
Pemenang tempat ketiga Mentor 6 terbitan TV3 itu berkata, sebagai orang baharu dia menghormati bekas mentornya itu dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Saya bukan diabaikan atau Faizal lepas tangan terhadap perkembangan kerjaya saya. Saya perlu hormati dia yang sedang sibuk dengan rakaman albumnya.
“Hakikatnya, ramai lagi orang berbakat di luar sana, tetapi rezeki saya berpeluang menyertai industri, jadi saya kena bersabar dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini, petang Khamis.
Anas berkata, dia juga bersedia mengambil inisiatif sendiri untuk mengedarkan lagu pertamanya Hanya Padamu ke stesen radio kerana menyedari kesibukan pihak pengurusannya.
“Saya tidak terkilan atau salahkan mana-mana pihak. Mungkin mereka (pengurusan) terlepas pandang atau sibuk dengan komitmen lain.
“Selepas berbincang dengan beberapa rakan industri, saya bersedia untuk edarkan sendiri lagu pertama itu ke stesen radio kerana sudah agak lama juga sejak Mentor 6berakhir,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan kerjaya yang masih terumbang-ambing, Anas berkata, dia bersyukur dan masih boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia seni ini.
“Terus-terang saya katakan, buat masa ini saya tidak rasa diabaikan mana-mana pihak. Saya masih cukup makan dan boleh mencari peluang menyanyi dan berlakon serba sedikit.
“Memadailah dengan beberapa tawaran yang ada untuk saya meneruskan kelangsungan hidup sebagai anak seni yang baharu,” katanya yang baharu menamatkan penggambaran filem Sunti @ Facebook.com arahan James Lee.
- ---

Zed Zaidi Dapat Pangkat Dalam RELA

Zed Zaidi
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi akan menerima penghargaan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam bentuk pangkat dalam Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,33, berkata, majlis pemakaian pangkat dan watikah pelantikan itu akan dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Ahad ini.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai pelantikan itu tetapi saya tidak pasti pangkat apakah yang akan diberikan kepada saya,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Zed berkata, majlis itu akan diadakan di Pejabat Rela Wilayah Persekutuan, di Jalan Hartamas 1 dekat sini.
Tambah Zed, pemberian pangkat itu adalah kerana sumbangan beliau terhadap aktiviti sukarela yang dilakukan melibatkan artis menerusi Persatuan Seniman yang diterajuinya selama ini.
Katanya, ia adalah satu penganugerahan yang amat besar kerana ia sebuah penghargaan kerajaan terhadapnya melebihi anugerah seni yang diterima oleh artis-artis tempatan.
“Saya bersyukur kerana pihak kerajaan menghargai kerja-kerja sukarela yang saya lakukan selama ini menerusi medium seni,” katanya.
- ---

Thursday, January 10, 2013

Sharnaaz Kongkong Shila Amzah

Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad secara terbuka mengakui dakwaan kononnya dia mengongkong pergerakan teman wanitanya iaitu penyanyi Shila Amzah.
Sharnaaz, 27, berkata, dia berbuat demikian kerana melihat kepada hubungan itu sebagai sesuatu yang serius selain meletakkan wanita tersebut sebagai bakal isterinya.
"Memang saya mengongkong dia kerana dia adalah bakal isteri saya dan kami amat serius dengan hubungan yang dijalinkan.
"Jika dia hanya teman wanita biasa saya, mungkin saya tidak perlu peduli dengan apa yang dia lakukan tetapi dia adalah bakal isteri saya," jelasnya tegas.
Sharnaaz ditemui ketika tayangan perdana filem Juvana di e-Curve, Damansara di sini pada Rabu.
Dalam filem arahan Faisal Ishak itu, Sharnaaz memegang watak sebagai Lan Todak di samping pelakon lain seperti Johan As'ari, Zahiril Adzim, Syazwan Zulkifly dan Syafie Naswip.
Ia bakal ditayangkan bermula 24 Januari depan.
Dalam pada itu, Sharnaaz berazam untuk tidak lagi mahu bercakap mengenai cinta sebaliknya ingin menumpukan terhadap soal perkahwinan dengan kekasihnya itu.
Shila Amzah
Sementara itu, dia mengakui namanya pada tahun 2012 sedikit tercalar dengan cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya dan berazam untuk memastikan kerjayanya lebih menyerlah pada 2013.
Bercakap mengenai Juvana, Sharnaaz berkata dia bertuah dapat membintangi filem berkenaan kerana ia memberikan kelainan kepada watak yang dipegangnya.
Katanya walaupun agak sukar untuk membawa watak jahat yang diberikan namun atas bimbingan pengarah dia berjaya melakukannya dengan baik.
Dalam perkembangan lain, Sharnaaz akan kembali ke set penggambaran filem arahan Kabir Bhatia yang masih belum mempunyai tajuk selain beberapa projek drama.
Ia adalah kerjasama ketiganya bersama pengarah itu.
"Saya sentiasa senang dapat bekerja dengan Kabir kerana beliau adalah seorang pengarah berbakat dan tahu apa yang dimahukan.
"Tahun ini saya menyasarkan untuk buat enam atau tujuh filem dan berharap ia akan tercapai," katanya.
- ---

Rapper Jambang (RJ) Bakal Rakam Lagu

Aksi RJ dalam AJL27 Ahad lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi rap, Rapper Jambang atau RJ menyifatkan tempias populariti yang di kecapinya bersama Black menerusi lagu Teman Pengganti sebagai kelebihan yang tidak dijangka.
RJ atau nama sebenarnya, Mohd Helmy Hamdan, 29, berkata, kemenangan mereka di pentas Anugerah Juara Lagu ke-27 pada malam Ahad lalu bagi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu berkenaan telah membuka ruang untuk dia mengembangkan bakat.
"Syukur dengan kemenangan itu dan ia juga telah membuka ruang kepada saya untuk mengembangkan bakat dalam bidang muzik walaupun tidak pernah menyangka mempunyai bakat sebagai penyanyi rap.
"Perancangan untuk menghasilkan single sendiri sudah ada dan kini sedang dalam proses perbincangan untuk memilih lagu sesuai," jelasnya ketika dihubungi pada Rabu.
Bagaimanapun kata RJ, dia tidak mahu terburu-buru mengeluarkan single tersebut kerana perlu mengambil kira kehendak pendengar dan pasaran tempatan.
"Biarlah lagu pertama saya itu nanti dapat memberikan impak kepada pendengar dan bukan sekadar untuk suka-suka," katanya.
Duet Black dan RJ menerusi lagu Teman Pengganti diterima baik oleh peminat.
"Banyak faktor yang perlu diambil kira kerana sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam industri muzik di belakang tabir saya sedikit sebanyak memahami bagaimana proses menghasilkan album," jelasnya.
Dalam pada itu, RJ menolak dia terlibat dalam bidang muzik kerana ingin mengejar populariti sebaliknya berkata, ia adalah satu kebetulan.
"Sudah lima tahun saya bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di syarikat rakaman Monkey Bone dan peluang sentiasa berada di depan mata saya. Jadi isu mengejar populariti tidak pernah timbul," katanya.
Sementara itu, RJ menjelaskan dia tidak terfikir untuk meninggalkan kerjayanya menguruskan artis di Monkey Bone dan yakin kedua-dua bidang itu dapat berjalan serentak.
"Saya sangat selesa dengan tugas saya sekarang dan tidak akan berhenti dan percaya ia boleh berjalan serentak kerana sudah biasa dengan perjalanan industri ini," ujarnya.
- ---