Tuesday, March 19, 2013

Aizat Dan Zee Avi sering bersama

Aizat Amdan
PETALING JAYA: Penyanyi Aizat mengaku sedang berkawan rapat dengan penyanyi Zee Avi.
Bagaimanapun, Aizat atau nama sebenar Muhammad Aizat Amdan, 22, berkata, hubungan baik itu masih belum ke tahap serius, sebaliknya mereka sering berkongsi pendapat tentang muzik.
"Dari dulu saya memang minat dengan dia, lepas tu saya dapat tahu dia duduk berhampiran dengan rumah saya.
"Ya... kami selalu keluar bersama jika ada waktu kelapangan. Hububungan kami rapat sejak tahun lalu," katanya  pada Isnin.
Aizat diminta mengulas khabar angin hubungan percintaannya dan Zee Avi selepas mereka dikatakan sering dilihat bersama ketika wanita itu berada di Malaysia.
Sementara itu Aizat memberitahu mereka turut bekerjasama dalam sebuah lagu yang bakal dimuatkan dalam album terbaru Aizat.
Zee Avi
"Kami memang ada buat sebuah lagu bersama untuk dimuatkan dalam album saya nanti, namun belum ada tajuk lagi kerana ia masih dalam proses pembikinan," ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap tentang imej yang dilihat semakin berisi penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu ini berkata dia sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan.
"Dulu berat saya 68 kilogram, sekarang sudah 80 kilogram. Ia berpunca kerana saya sibuk di studio dan tidak ikut rutin pemakanan yang betul.
"Selepas ini saya cuba nak kembali ke berat dahulu 70 kilogram pun sudah ideal buat saya," katanya yang selesa dengan imej bermisai.
Dalam perkembangan lain, Aizat turut terlibat dalam filem animasi Bola Kampung The Movie yang menyumbangkan suara untuk watak Mat.
Filem tersebut bakal ditayangkan pada Khamis ini di pawagam seluruh Malaysia.
- ---

Monday, March 18, 2013

Umie Aida Usaha Untuk Dapat Anak

Umie Aida
PETALING JAYA: Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Pelakon Datin Umie Aida, 40, mengakui masih berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Kata Umie, dia ada mencuba pelbagai rawatan dan ubat-ubatan termasuk cara tradisional dan moden sebagai cara dikurniakan cahaya mata.
"Alhamdulillah sudah masuk tahun ketiga perkahwinan kami, tentang anak memang saya masih mengharapkan untuk mendapat cahaya mata sendiri.
"Saya berusaha cara tradisional dan ambil pil hormon namun itu semua soal rezeki daripada Allah," katanya ketika ditemui ketika pratonton filem Sembunyi:Amukan Azazil, baru-baru ini.
Umie mempunyai dua orang anak angkat, Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19.
Jelas Umie, kegiatan aktif dalam kerja dan aktiviti sukan turut menjadi salah satu punca kesukarannya untuk hamil.
"Saya seorang yang tidak pandai untuk duduk diam di rumah, saya suka bersukan dan main badminton bersama kawan-kawan.
"Doktor pula menasihatkan agar lebih banyak berehat dirumah dan tidak boleh terlalu aktif," katanya.
Bagaimanapun, Umie berkata dia kini mengehadkan aktiviti lakonan dan menumpukan hal keluarga dan aktiviti sukan.
"Saya kurang berlakon, saya akan berlakon jika saya rasa rindu dan bergantung kepada watak yang ditawarkan.
"Kebanyakan masa lapang saya hanya tertumpu kepada keluarga dan aktiviti sukan," katanya yang turut mempunyai kelab sukan sendiri yang dianggotai oleh rakan-rakan artis.
Dalam pada itu, bercerita tentang lakonannya dalam filem Sembunyi:Amukan Azazil, Umie berkata cabaran utama adalah terpaksa mengenakan solekan tebal.
"Solekan mengunakan silikon yang tebal sangat memeritkan dan terpaksa dipakai dalam tempoh yang lama.
"Selain itu juga cabaran adalah memberi kelainan terhadap lakonan saya, saya tidak mahu ia kelihatan seperti lakonan di filem sebelum ini," katanya.
Filem seram garapan pengarah Kabir Bhatia ini bakal ditayangkan pada 28 Mac depan.
- ---

Puteri Sarah Bertudung Bukan Sebab Putus Cinta

Gambar terbaru Puteri Sarah yang diambil di laman Twitter miliknya.
PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Puteri Sarah, 28, berkata, dia kini dalam proses percubaan memakai tudung dan berazam untuk berimej tersebut dalam tempoh terdekat.
"Tahun lepas saya banyak berlakon watak yang memakai tudung, dari situ hati saya terdetik untuk terus bertudung.
"Buat masa ini ada lagi drama-drama yang saya berlakon tidak memakai tudung, cuma kalau keluar rumah saya kini lebih selesa mengenakan selendang," katanya di sini, Ahad.
Bagaimanapun jelas Puteri Sarah, dia berniat untuk bertudung bukan disebabkan kecewa putus cinta dengan pelakon Ammar Alfian akhir tahun lalu.
Hubungan pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi ini berakhir selepas lima tahun bercinta akbiat tiada keserasian.
"Saya rasa sudah sampai masanya, ayah juga banyak kali tegur agar saya bertudung dan sopan, namun bagi saya biarlah niat itu datang dari diri sendiri bukan paksaan.
"Alhamdulillah, ramai yang menyokong dengan tindakan ini, terutamanya ahli keluarga," katanya.
Namun, dia juga kesal apabila segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya ketika dalam tempoh percubaan ini.
"Saya belum sepenuhnya bertudung, mungkin di media sosial saya lebih selesa mengunakan imej bertudung tapi ia masih dalam tempoh saya untuk mencuba atas sebab-sebab tertentu," katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia sering meminta pendapat cara pemakaian tudung daripada pelakon jelita Natasha Hudson (Tasha).
"Saya sering bertanya dengan Tasha tentang gaya pemakaian tudung, dia gembira saya sudah kearah itu, dia beri banyak tip untuk tampil lebih bergaya biarpun bertudung," katanya.
Selain itu juga, pelakon filem Lu Pikir La Sendiri ini juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berundur daripada dunia lakonan sepenuhnya.
- ---

Wednesday, March 13, 2013

Scha Mahu Lebih Menonjol

Sikap Scha yang suka bercakap membuatkan dia selesa bergelar pengacara.
PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya berazam untuk lebih menonjol sebagai seorang pengacara dan tidak akan menolak jika ada mana-mana syarikat produksi yang ingin memberinya peluang itu.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak pernah berasa kekok bergelar pengacara kerana sifatnya yang memang gemar bercakap.
"Saya memang suka bercakap di depan kamera dan tidak keberatan untuk menerima sebarang tawaran sebagai pengacara sekiranya berpeluang kerana begitu menyukai bidang itu.
"Malah apabila TV3 menawarkan saya untuk menerajui program Muzik-Muzik saya tidak fikir panjang kerana saya memang menantikan peluang untuk bergelar pengacara," jelasnya .
Scha sebelum ini pernah mengacarakan program Sehati Berdansa bergandingan dengan pelakon Fahrin Ahmad.
Dalam pada itu, Scha berkata, selain lakonan dan bidang berkenaan, dia dan suami, Awal Ashaari juga sibuk menguruskan perniagaan mereka iaitu Schapoholic yang menjual pakaian dan aksesori wanita.
Menurut Scha, perniagaan itu semakin berkembang dan mereka telah pun membuka cawangan kedua di Wangsa Walk Mall di Wangsa Maju dekat sini selepas mendapat permintaan ramai.
"Syukur perniagaan semakin berkembang dan cawangan terbaharu ini kami dapat tapak yang lebih besar berbanding kedai pertama yang hanya kios sahaja dan sambutan sangat menggalakkan," katanya.
Kios pertama Schapobolic milik pelakon itu terletak di pusat membeli belah, The Curve, Kota Damansara di sini.
Dalam perkembangan lain, Scha memberitahu dia bakal muncul dengan drama berjudulHero Malaya dan sebuah telefilem, Lady Gagap untuk slot Cerekarama di TV3.
- ---

Thursday, March 7, 2013

Nouri Ramli Didakwa Bunuh Suami?


Rentetan daripada berita semalam (link sini ) berkaitan seorang artis wanita yang ditahan akibat tuduhan membunuh suaminya, hari ini kami mendapat pengesahan artis yang terlibat adalah Nouri Ramli.

Nouri pernah popular dengan lagu Hadirmu Yang Terakhir dan turut memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999.
- ---

Wednesday, March 6, 2013

Yasin Diugut Bunuh Gara-Gara Video Reformasi


GARA-gara sebuah video nyanyian bertajuk “Reformasi” yang dimuat naik ke laman YouTube, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 39, diugut dengan ancaman bunuh oleh dua individu melalui laman berkenaan.
Komen yang berbunyi, “Yassin ni patut dibunuh jer.. “ dan “Aku kalau jumpa si Yassin ni kat luar comfirm aku pijak-pijak kepala dia sampai lumat” didapati dibuat pada awal malam semalam selepas kira-kira dua minggu video itu dimuat naik.
Yasin berkata, ugutan bunuh yang diterima melalui video lagunya itu membuktikan ada pihak tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium sosial tersebut.
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Kota Damansara, semalam.
Justeru itu, Yasin memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.
“Sekiranya saya silap dalam penulisan, kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan dengan ugut-mengugut begini.
“Saya harap individu terbabit berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun. Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut dan mencaci orang lain,” katanya kesal dengan perkara itu.
- ---

Helmi Gimik nyaris maut kereta terbakar

Kereta Mercedes Benz E240 yang dipandu Helmi Gimik terbakar di Jalan Bukit Tangga, Jelebu– Seremban, semalam.
Pelawak, Helmi Gimik nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Bukit Tangga, Jelebu–Seremban, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Helmi bersama dua rakannya menaiki kereta jenis Mercedes Benz E240 dalam perjalanan pulang ke Nilai selepas membuat persembahan di majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Felda Pasoh 4, Simpang Pertang, Jelebu, di sini.

Menurut Helmi, dia bersama pembantu peribadi dan salah seorang pemuzik terhidu bau hangit ketika dalam perjalanan pulang.

“Ketika memandu, saya melihat kepulan asap keluar daripada pendingin hawa kereta dan berbau hangit.

“Saya terus berhentikan kereta dan keluar memeriksa bonet. Sebaik sahaja dibuka, asap tebal memenuhi keseluruhan enjin kereta,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Helmi berkata, dia bersama rakannya bergegas menyelamatkan barang-barang penting dalam kenderaan sejurus melihat asap tebal itu.

“Selepas selesai meletakkan barang di tepi jalan, kereta saya tiba-tiba meletup dan terbakar.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan saya tergamam melihat kereta sendiri dijilat api yang marak,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka keretanya terbakar kerana sejak dibeli lima tahun lalu, ia tidak mempunyai masalah.

“Saya bersyukur kami semua selamat dan tidak cedera,"katanya.- ---

Adibah Noor Tidak Lagi Merajuk

Adibah Noor.
PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor yang pernah merajuk gara-gara lagunya tidak mendapat perhatian stesen radio akhirnya memahami bagaimanakah sesebuah lagu itu disiarkan selepas dia bergelar deejay Suria FM.
Kata Adibah, 42, sesebuah stesen radio tidak boleh dipersalahkan kerana lagu seseorang artis itu hanya akan disiarkan selepas mendapat respons daripada pendengar.
"Selepas bergelar penyampai radio baru saya faham bagaimana sistem pemilihan itu dibuat dan sejujurnya stesen radio tidak boleh dipersalahkan jika tidak memainkan sesebuah lagu.
"Jadi saya tak perlulah nak merajuk.
"Ini kerana mereka sendiri mengikut sistem yang telah ditetapkan dan ia terpulang kepada respons pendengar," jelasnya.
Dalam pada itu, Adibah berkata, tugasnya sebagai penyampai radio segmen Ceria Pagi di stesen radio tersebut tidak memberikan kelebihan kepadanya untuk memutarkan lagu sendiri.
Katanya, layanan yang diberikan kepadanya adil seperti penyanyi lain dan dia tidak mempunyai masalah tentang perkara itu.
"Saya tidak mainkan lagu sendiri pada segmen sendiri dan kerjaya ini tidak memberi kelebihan kepada saya sebagai penyanyi sebaliknya dilayan dengan sama rata," jelasnya.
Sementara itu, Adibah berkata, dia ada merancang untuk menghasilkan sebuah lagu baharu namun tidak mahu mengambil risiko menerbitkan sebuah album penuh.
Jelas Adibah, dia perlu mengikut peredaran industri muzik tempatan yang kini lebih tertumpu kepada pengeluaran single sahaja.
"Saya akan tumpukan kepada pengeluaran single dan akan kumpulkan dalam sebuah album kerana tidak mahu mengambil risiko album tidak dapat dijual," jelasnya.
Adibah bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi.
- ---

Sabri Yunus Pernah Niat Tinggalkan Dunia Lawak

Sabri Yunus
SUBANG: Pelawak Sabri Yunus, 52, pernah berniat untuk meninggalkan bidang lawak sejak 10 tahun lalu kerana kecewa dengan industri hiburan yang dilihat meminggirkan cabang seni ini.
Bagaimanapun dia tidak boleh berhenti secara mendadak sebaliknya memilih untuk memperlahankan aktiviti dalam bidang tersebut.
"Saya pernah tekad untuk berhenti dari sebarang aktiviti lawak ini pada umur 40 tahun keran ketika itu saya anggap bidang ini semakin diketepikan masyarakat.
"Tapi disebabkan sifat humor yang ada dalam diri, saya tidak boleh berhenti mendadak namun cuba mengurangkannya sahaja," katanya ketika ditemui, di sini, pada Selasa.
Sabri berkata, dia kesal kerana sebelum ini pelawak pernah dianggap sebagai artis yang hanya akan muncul bagi segmen selingan untuk acara-acara hiburan tanah air.
"Saya rasa kesal suatu masa dulu pelawak hanya digunakan sebagai penyendal bagi mengisi masa-masa kosong sesebuah acara terutamanya ketika iklan" ujarnya.
Namun, melihat situasi semasa, dia bangga apabila bidang lawak kembali diangkat dan menjadi pilihan utama di stesen televisyen.
Masyarakat kini menerima cabang seni ini seperti mana zaman kegemilangannya sekitar 1980an.
"Saya lihat pelawak kini lebih senang cari makan, apa sahaja majlis, program televisyen dan pengacaraan program banyak menggunakan khidmat pelawak.
"Sekarang martabat pelawak sudah kembali diangkat seperti tahun 1980an dahulu," katanya.
Bagaimanapun, Sabri tidak menyangkal lambakan pelawak melalui program-program pencarian bakat sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada industri.
"Jika kita tidak kawal kualiti lawak ia akan mengundang masalah juga. Dengan lambakan pelawak akan keluar cerita-cerita atau filem komedi yang tidak berkualiti," katanya.
- ---

Jeslina Hashim Sah Cerai Talak Satu

Jeslina dan suaminya, Dion sah bercerai talak satu pada pagi Selasa di Mahkamah Tinggi Syariah.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Jeslina Hashim, 36, sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada pukul 9.55 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada Selasa.
Lafaz cerai tersebut dilakukan oleh Dion di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Abdul Karim Wahabdi bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).
Penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia itu turut mengaku berada dalam keadaan suci sebelum lafaz dibuat.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Dion iaitu Mohd Hafiz Abdul Rashid memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak setuju dengan perjanjian penyelesaian berkaitan hak penjagaan anak, mutaah dan hadanah tanpa sebarang pertikaian.
Sementara itu, Mohd Hafiz yang ditemui di luar mahkamah memberitahu kedua-dua pihak bersetuju untuk hak penjagaan bersama terhadap dua anak mereka.
Dion dan Jeslina bersetuju dengan perjanjian hak penjagaan dua anak mereka selain mutaah dan hadanah.
"Proses penceraian berjalan lancar dengan kedua-dua pihak bersetuju terhadap perjanjian yang dibuat.
"Anak-anak akan tinggal di bawah jagaan bekas suami di Mont Kiara, namun Jeslina diberi hak lawatan," katanya.
Nafkah sebanyak RM8,333 selama 18 bulan akan diberikan kepada Jeslina, sementara RM5,000 sebagai wang edah.
Dalam pada itu, Jeslina yang berbaju kurung datang ke mahkamah secara berasingan enggan mengulas lanjut sebab penceraian tersebut.
"Punca penceraian adalah hal peribadi antara kami dan maaf saya tidak boleh berkongsi," katanya.
Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005 dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan enam tahun.
Pada 20 Februari lalu hasrat Jeslina untuk bercerai secara baik dengan suaminya, di Mahkamah Rendah Syariah di sini terpaksa ditangguhkan ekoran wanita itu dalam keadaan tidak suci (haid).
- ---

Penyanyi Wanita Belasah Suami Hingga Mati

Gambar Hiasan
AMPANG: Seorang penyanyi wanita sanggup membelasah suaminya dalam keadaan kaki dan tangan terikat hingga mati gara-gara tidak mahu mangsa bertemu dengan anak perempuan mereka berusia setahun.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek bersama dua anak saudaranya bertindak sedemikian selepas berang apabila mangsa mendesak meminta bertemu dengan anaknya meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya yang menerima maklumat tentang kejadian, bergegas ke rumah itu sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah
bilik dengan keadaan terikat.

Menurutnya, mangsa cuba diberi bantuan kecemasan oleh anggota paramedik namun disahkan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana serangan jantung akibat pergelutan dan kekasaran. Suspek dan dua anak saudaranya ditahan reman untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, polis merakamkan percakapan suspek dan kes dijangka dibawa ke pendakwaan pada masa terdekat

Difahamkan, pasangan berusia 39 tahun itu tidak tinggal bersama sejak setahun lalu dan dalam proses penceraian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - ---