Tuesday, December 1, 2020

Siti Nurhaliza hamil anak kedua



Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan dia kini hamil anak kedua.

Siti berkata, usia kehamilannya sudah memasuki empat bulan dan berharap semua pihak mendoakan kehamilannya berada dalam keadaan baik. 

"Benar saya sedang hamil empat bulan. Alhamdulillah, saya ingin berterima kasih kepada semua kerana ramai yang mendoakan kehamilan kedua ini. Doakan semoga kehamilan ini saya diberikan kekuatan serta melahirkan zuriat yang sihat dan sempurna. 

"Soal jantina saya terima dengan hati terbuka, tapi lebih seronok kalau kehamilan kali ini dapat timang anak lelaki. Apapun doakan agar semuanya berjalan dengan baik," katanya pada majlis pelancaran produk BeauSiti X Wonderlab menerusi aplikasi maya, hari ini. 

Menurut Siti, dia mengakui ramai yang sudah dapat meneka serta berteka-teki mengenai kehamilan keduanya. 

"Rasanya sudah ramai yang boleh agak dan berteki-teki selepas saya ambil keputusan untuk berehat dan duduk di rumah. Lagipun dalam suasana yang tidak mengizinkan ini adalah lebih baik untuk duduk di rumah saja," katanya.

Pada 2017, Situ mengumumkan dia hami selepas 11 tahun berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 61, atau dikenali sebagai Datuk K.

Itu adalah khabar terindah dalam hidupnya selepas mengalami keguguran pada November 2015.

Siti mengaku menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dalam usaha mendapatkan cahaya mata pertamanya hasil perkahwinan dengan Datuk K.

Rawatan IVF itu adalah percubaan ketiga dilakukan Siti sepanjang tempoh 11 tahun berkahwin dengan suami. Siti selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018 dan kini Aafiyah mencecah usia dua tahun.

Video muzik teristimewa Siti



SIAPA boleh menafikan aura positif yang dimiliki penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jika melihat daripada kejayaan single terbaharunya, Siapa Tak Mahu yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu, video muzik terbabit berjaya mencapai satu juta tontonan dalam tempoh 72 jam di YouTube dan menduduki carta trending.

Tidak hanya itu, video muzik rasmi Kuasa Cintamu menerusi album ManifestaSITI2020 turut menterjemah sesuatu yang menarik untuk dikongsikan kepada peminat.

Bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik

lirik lagu ini, pengarahnya, Adriana Tunku berkata, dia memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti dari zaman kelahiran beliau sehingga dikurniakan cahaya mata, Siti Aafiyah.

"Bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita mengenai cinta yang bersifat universal. Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita seperti cinta kepada Tuhan, pasangan, ibu bapa, keluarga dan anak.

"Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu. Menampilkan kisah hidup Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Siti dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini," katanya.

Menurut Adriana, lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan bersama Siti itu menggunakan teknik penggambaran sekali rakam yang memerlukan perancangan rapi.

"Bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Siti, kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini, memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.

"Setiap butiran kecil membabitkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi supaya penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera. Bagi mendapatkan 'shot' yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali," katanya.

Sementara itu, penerbit Razlan Shah menyifatkan penyanyi nombor satu negara itu adalah figura yang profesional dan mudah untuk menjalin kerjasama.

"Bekerjasama dengan Siti adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami. Beliau cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan kamera.

"Sikap rendah diri dan profesionalisme beliau sememangnya melayakkan Siti bergelar penyanyi nombor satu di Malaysia. Saya berterima kasih kepada Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini.

"Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini," katanya.

Datuk Freddie Desak Sheila Majid Letak Jawatan


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Freddie berkata, Sheila sudah tujuh tahun menjawat jawatan itu, tetapi isu royalti belum ada kesudahan sehingga kini.

"Dia ternyata sukar mahu memberi kerjasama. Dia gagal hadir dalam dua perjumpaan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

"Jawatankuasa muzik di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) aturkan perjumpaan untuk selesaikan masalah royalti artis. Yang hadir hanya wakil dari Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM). RPM tak hadir dan tiada wakil," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, menteri KPDNHEP meminta Sheila datang untuk perjumpaan, tetapi dia tidak hadir. 

"Kalau begini, macamana nak selesaikan masalah artis? Menteri boleh buat macam-macam untuk selesaikan isu ini, namun Sheila pula sebaliknya tak berikan kerjasama. Menteri nampaknya lebih berminat selesaikan hal ini berbanding Sheila.

"Dia sebenarnya bukan dipilih oleh artis sebaliknya oleh syarikat rakaman untuk menerajui RPM. Apabila dia gagal menyelesaikan masalah artis dan isu royalti, dia kena letak jawatan," katanya. 

Freddie yang mendapat sokongan ramai penyanyi dan pemuzik turut mendesak Ahli Lembaga Pengarah RPM meletak jawatan dan memberikan hak demokratik kepada ahli untuk memilih barisan baru bagi menyelesaikan semua masalah yang wujud sejak 20 tahun lalu.