Aziz M. Osman temui pengganti?

NAMPAKNYA selepas bercerai dengan isterinya Nur Aliah Lee, pengarah terkenal Aziz M. Osman, sudah menemui pengganti. Baru-baru ini, terdapat desas desus yang mengatakan Aziz bakal bernikah dengan seorang wanita dari Terengganu .


Malah, ada yang melihat kelibat Aziz membeli-belah di sebuah pasar raya di Terangganu sekaligus mengesahkan memang wujud hubungan berkenaan. Dia yang ditemui ketika pelancaran drama on-line pertamanya yang berjudul Luna Fantasiku di Damansara kelmarin, pada mulanya enggan menceritakan hal tersebut.

Namun apabila didesak, akhirnya Aziz sudi juga untuk menjelaskan isu kisah cinta barunya itu yang dikatakan sudah bercambah dengan hebat sekali.

Dia yang terdiam untuk seketika terus sahaja mengklasifikasikan hubungannya dengan gadis yang berasal dari Terengganu itu diperingkat saling mengenali antara satu sama lain.

"Proses mengenali, itu yang paling tepat untuk saya gambarkan keadaan kami sekarang. Kalau saya kata ya, nanti jadi panjang pula cerita ini. Sekarang ini saya dalam proses pemulihan jadi saya berhati-hati dalam memilih (teman hidup)," ujarnya.

Pengarah tersohor ini, dia dengan nada gurauan minta supaya hal ini tidak dibesarkan.

Cukuplah sekadar dia memberitahu wanita berkenaan seorang uztazah di sebuah sekolah biasa di Terengganu berumur dalam 20-an.

"Saya berjumpa dengannya pun sewaktu saya di Mekah ketika menunaikan umrah pada April lalu," terangnya lagi.

Tambah Aziz lagi, memang benar dia pernah ke Terengganu dan berjumpa dengan keluarga wanita tersebut dan itu bukan satu kesalahan untuk dipersoalkan.

"Saya bukannya pergi ke Pasar Payang, tetapi pergi ke pasar raya Mydin membeli keperluan peribadi seperti sabun dan sebagainya ketika di Terengganu. Itu yang sebenarnya," ujarnya lagi.






Ditebak pertanyaan lagi, mungkinkah wanita yang bertuah ini bakal menjadi suri buat dirinya dalam jangka masa terdekat, Aziz dengan tenang mengatakan " Kami dalam proses mengenali, itu saja, saya tidak mengesahkan apa-apa buat masa sekarang."

Pujuk anak-anak

Menjelaskan lagi, apa yang di laluinya sekarang ini bukannya satu kesalahan, sebaliknya ia sesuatu yang normal untuk semua orang dan Aziz mohon dirinya dimengertikan.

"Saya tidak buat benda yang salah. Apa yang penting anak-anak mesti suka .Kalau saya suka anak-anak tidak suka tidak boleh juga.

"Benda ini bukan mudah, ia berperingkat sebab susah untuk saya kerana ada enam orang anak. Bukan mudah untuk orang terima saya dan juga bukan mudah untuk anak-anak saya menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka

"Saya yang kena menilai dan buat pilihan. Kika seseorang itu saya suka, maka saya cuba memujuk anak-anak dan gunakan strategi psikologi dan diplomasi. Untuk sesuatu hubungan berjalan dengan baik, ia memakan masa,"tuturnya lagi.

Pengarah ini sempat bergurau mengatakan dia berasa agak janggal apabila namanya muncul dalam ruangan gosip yang membabitkan cinta. Di usia seperti sekarang dia mengakui agak 'malu' apabila namanya dikaitkan dengan kisah percintaan terkininya itu.

"Biasalah benda ini terjadi tapi saya gelilah sebab saya bukannya orang yang terkenal.

"Tidak salah hendak tulis tetapi saya ini bukannya bahan gosip sampai saya rasa pelik pun ada (ketawa). Rasanya orang lain tidak peduli akan kisah saya ini," beritahu Aziz.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard