KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 17, (Elfira) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November depan berkata kesibukannya memenuhi pelbagai komitmen lakonan telah menjejaskan tumpuan dan prestasi akademiknya kebelakangan ini.
Elfira yang mengakui bimbang dengan keadaan itu bagaimanapun terpaksa berkorban dan membahagikan masanya dengan bijak bagi mengimbangi kekurangan tersebut.
"Saya akui tumpuan dan prestasi pelajaran di sekolah agak merosot kebelakangan ini kerana terlalu sibuk dengan komitmen lakonan saban hari.
"Kebiasaannya, setiap kali habis sesi persekolahan saya akan berkejar-kejar ke lokasi penggambaran dan menyebabkan saya menjadi penat untuk menelaah pelajaran," katanya.
Menyedari kepentingan akademik dan masa yang semakin suntuk menjelang peperiksaan penting itu, Elfira bagaimanapun segera menyusun strategi untuk memperbaiki keaadan.
Dia kini sedang giat menumpukan perhatian dengan menghadiri kelas tusyen sebelum terbang ke Itali selama dua minggu pada Ogos depan untuk penggambaran drama bersama Astro.
"Peperiksaan SPM hanya tinggal beberapa bulan saja lagi dan saya semakin risau sebenarnya.
"Insya-Allah selepas drama itu selesai, saya mahu duduk di rumah saja dan mengulangkaji pelajaran yang tertinggal,” kata penuntut tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsan Bandar Tun Hussein Onn 2 ini.
No comments:
Post a Comment