BERMULA dengan muntah-muntah dan tubuhnya dirasakan tidak selesa, Alyah akhirnya mendapat tahu dia sebenarnya mempunyai masalah kesihatan di tahap serius sehingga memerlukan dirinya dibedah! Kata Alyah, pembedahan segera terpaksa dilakukan setelah dia mengalami sakit perut luar biasa dan badannya sangat lemah.
“Selepas mengalami muntah-muntah, badan rasa sangat tidak selesa, saya dihantar ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya, hidung dan mulut saya keluar air tanpa henti, bila doktor tekan bahagian perut, sakit yang teramat!” katanya ketika ditemui semasa sesi penggambaran klip video lagu Boomerang bersama kumpulan Chocolate di Roller Sports World, Sungai Wang Plaza, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hasan yang dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Damansara menambah, selepas diperiksa oleh doktor yang merawatnya, dia terpaksa dibedah dengan segera ekoran apendiks di dalam perutnya sudah pecah.
Dalam pada itu katanya, kesan daripada umbai pada usus sebelah kanan itu telah pecah, ia juga telah merebak dan menyebabkan beberapa telur ovarinya menerima jangkitan.
“Oleh sebab itu, saya terpaksa menjalani dua kali pembedahan, pertama sekali pembedahan apendiks dan yang kedua pembedahan membersihkan jangkitan pada bahagian ovari,” ujar bintang kelahiran rancangan Hiburan Minggu Ini tahun 2000 itu lagi.
Disebabkan kesakitan yang dialaminya, Alyah terpaksa menolak beberapa undangan menyanyi berikutan kebimbangannya beraksi di depan orang ramai.
“Saya tidak mahu mengecewakan peminat dengan memberikan persembahan yang sambil lewa dan main-main, lebih baik saya tolak pelawaan menyanyi kerana saya yakin tidak mampu menyanyi dengan sempurna daripada menghampakan mereka,” ujar ibu pelantun lagu Kisah Hati yang kini baru pulih selepas menjalani pembedahan apendiks tersebut dua minggu lepas.
Selepas pembedahan, Alyah bagaimanapun tetap bertegas untuk meneruskan semula aktiviti nyanyiannya biarpun kadang-kala masih terasa ngilu di bahagian perut.
“Sampai hari ini saya masih lagi mengambil ubat-ubatan tahan sakit yang diberikan doktor, tapi saya tidak boleh membatalkan semua janji temu dan aktiviti yang awal-awal telah saya rancangkan,” tekad Alyah berbicara.
Atas alasan itu juga, Alyah sentiasa menghadiri sesi perbincangan mahupun latihan bersama kumpulan Chocolate di bawah syarikatnya, Like Music Entertainment juga sepanjang pembikinan klip video itu.
Menerusi single pertama kumpulan Chocolate, Alyah diundang sebagai penyanyi jemputan menerusi lagu berjudul Boomerang.
Lagu yang berkonsepkan pop retro itu digubah oleh komposer terkenal Audi Mok dan Omar K manakala lirik pula ditulis oleh Ad Samad.
Kisah hati
Sementara itu, Alyah turut ditebak dengan ramalan ramai mengenai lagu ciptaan sepenuhnya Manusia Putih yang dikatakan berhantu dan telah terpilih ke peringkat semi final Muzik-Muzik 26, malah lagu itu juga dikatakan bakal layak sekali gus ke peringkat akhir.
Dalam pada itu, ujarnya video klip single Kisah Hati kini mencapai antara penonton paling ramai di laman YouTube dan hal ini sama sekali di luar jangkaannya.
“Saya baru dapat panggilan yang menyatakan video klip Kisah Hati mendapat jumlah penonton paling ramai di YouTube.
“Tiada apa yang lainnya dalam klip video itu, mungkin orang ramai boleh lihat kesungguhan saya memberikan yang terbaik dalam setiap shot sekali gus menzahirkan jiwa saya dalam lagu, itu yang menarik minat penonton dan peminat.
Tambahnya: “Syukur Alhamdulillah saya dapat masuk ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 dan persiapan saya lebih kepada menjaga kesihatan, harap dapat stabilkan diri saya menjelang tarikh pertandingan.
“Rezeki di tangan Tuhan, kalau dapat ke final juga syukur Alhamdulillah” getusnya yang bakal berentap pada 18 November ini bersama 29 buah lagu lain untuk layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 26.
No comments:
Post a Comment