PELAKON Amelia Henderson, 24, mengakui tidak terkesan dengan tindakan netizen yang kerap mengecamnya di media sosial.
Tidak hanya dikecam kerana berpakaian seksi, Amelia juga baru-baru ini dikritik selepas menerima anugerah Malaysia Model Star Award di acara 2019 Asia Model Festival yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.
“Saya tak ambil kisah sangat pun kecaman netizen di media sosial dan tidak berkecil hati. Mereka seboleh-boleh nak pertikai bahawa saya bukan orang Malaysia.
“Rupa saya tak nampak macam orang Malaysia kerana saya berdarah campuran. Namun, saya lahir di sini, membesar dan kini bekerja di Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, ada komen yang terpaksa dibalasnya untuk membetulkan pemikiran dan stigma netizen.
“Malaysia adalah negara yang hebat dan itu membuatkan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Negara kita juga ada pelbagai bangsa, budaya dan adat resam.
“Saya balas komen untuk beri penjelasan dan pada masa sama ingin membetulkan tanggapan mereka terhadap saya,” katanya.
Tambah Amelia, pengalamannya yang pernah diugut untuk dirogol ketika zaman kanak-kanak banyak mengajarnya menjadi lebih matang untuk berdepan kata-kata kecaman daripada netizen.
“Ketika saya berumur 12 tahun, saya pernah menerima kecaman yang lebih teruk lagi. Ketika itu, saya masih kanak-kanak dan ibu saya yang menguruskan saya pada waktu itu pernah menerima kiriman SMS.
“Individu yang menghantar SMS itu menulis mesej berbaur ugutan, kononnya dia tahu tempat tinggal kami, ingin menculik saya dan merogol saya sampai mati,” katanya.
Amelia ditemui di set penggambaran filem J Retribusi, yang menjadi sekuel kepada filem J Revolusi. Dalam filem itu, Amelia memegang peranan sebagai Amy dan bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment