Datuk Freddie Desak Sheila Majid Letak Jawatan


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Freddie berkata, Sheila sudah tujuh tahun menjawat jawatan itu, tetapi isu royalti belum ada kesudahan sehingga kini.

"Dia ternyata sukar mahu memberi kerjasama. Dia gagal hadir dalam dua perjumpaan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

"Jawatankuasa muzik di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) aturkan perjumpaan untuk selesaikan masalah royalti artis. Yang hadir hanya wakil dari Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM). RPM tak hadir dan tiada wakil," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, menteri KPDNHEP meminta Sheila datang untuk perjumpaan, tetapi dia tidak hadir. 

"Kalau begini, macamana nak selesaikan masalah artis? Menteri boleh buat macam-macam untuk selesaikan isu ini, namun Sheila pula sebaliknya tak berikan kerjasama. Menteri nampaknya lebih berminat selesaikan hal ini berbanding Sheila.

"Dia sebenarnya bukan dipilih oleh artis sebaliknya oleh syarikat rakaman untuk menerajui RPM. Apabila dia gagal menyelesaikan masalah artis dan isu royalti, dia kena letak jawatan," katanya. 

Freddie yang mendapat sokongan ramai penyanyi dan pemuzik turut mendesak Ahli Lembaga Pengarah RPM meletak jawatan dan memberikan hak demokratik kepada ahli untuk memilih barisan baru bagi menyelesaikan semua masalah yang wujud sejak 20 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard