KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Mamat Khalid menafikan dakwaan kononnya dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak kerana syarikat produksinya Naga VXS “lingkup” sejak dua tahun lalu sehingga diisytiharkan muflis.
Mamat, 50, berkata, penghijrahan tersebut adalah permulaan baharu dalam kariernya selepas berdepan dengan beberapa masalah dalam operasi syarikat berkenaan.
"Operasi Naga VXS sebelum ini ada beberapa sekatan. Saya perlu meneruskan kehidupan dengan memulakan perkara baharu.
"Saya bersyukur kerana diberikan peluang kedua apabila dapat menubuhkan syarikat baharu yang kini diuruskan isteri saya iaitu Intan.
"Sudah setahun syarikat Enjit Semut Productions ditubuhkan. Buat masa ini ia beroperasi di rumah kami di Ipoh, Perak," katanya.
Mamat ditemui pada malam gala tayangan filem arahannya berjudul Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di GSC Mid Valley di sini, malam Selasa.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia diisytiharkan muflis gara-gara diperdaya dalam perniagaan, Mamat berkata, tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.
"Saya bukan diperdaya atau salahkan sesiapa melainkan pengurusan yang tidak betul.
"Ketika perniagaan syarikat itu bermula, kami masih baharu. Banyak yang perlu diperbaiki dan kehidupan harus diteruskan.
"Kalau kita terus mengenang kesilapan lalu, takkan bergerak jadinya. Memilih langkah seterusnya adalah lebih penting," katanya.
Mengenai perasaannya mengenai kemunculan filem terbaharu selepas tiga tahun menyepi, Mamat berkata, 2013 bakal menyaksikan segala usahanya selama tempoh itu dikongsikan kepada khalayak.
"Selain filem ini, saya juga akan muncul dengan Rock Ooo, Apokalips, Zombie Kilang Biskut dan Rentaz.
"Tahun ini segala usaha sepanjang tiga hingga empat tahun lepas akan menemui penonton," katanya yang berharap filem terbaharu itu dapat menyaingi kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang memperoleh kutipan kasar RM7.90 juta.
-
---
No comments:
Post a Comment