Pengacara Jimmy Shanley
Pengacara Jimmy Shanley
 
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menetapkan 28 Ogos depan sebagai perbicaraan berhubung tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) secara bersama yang dikemukakan isteri pengacara, Jimmy Shanley.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man memutuskan demikian setelah Jimmy, 32, dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy gagal mencapai persetujuan bersama dalam tuntutan itu.

Mawardi berkata, Jimmy selaku defendan dalam kes ini diarahkan memberi keterangan terlebih dahulu.

“Ini kerana defendan mempertikai kelayakan Suhaila sebagai seorang ibu dan Jimmy perlu buktikan dakwaannya itu,” katanya.

Sebelum itu, peguam syarie, Saadiah Din mewakili Suhaila menawarkan hak penjagaan bersama secara bergilir-gilir.

Saadiah berkata, pihaknya menerima surat tawaran balas daripada Jimmy yang mencadangkan agar lawatan terhadap anaknya seminggu di bahagian dua.

Bagaimanapun, Suhaila tidak bersetuju tawaran tersebut.

“Anak guam saya hanya menawarkan hak lawatan dan Jimmy boleh bersama dengan anaknya Zahrah Shanley, tetapi tidak boleh bermalam.

“Jimmy juga dilarang membawa keluar Zahrah dari rumah Suhaila,” katanya. Pada 18 Oktober 2011, Nursuhaila, 26, menfailkan tuntutan hadanah terhadap Jimmy dan mencadangkan agak hak penjagaan itu diberi sama rata dengan cara bergilir-gilir setiap minggu.

Sementara itu, peguam Jimmy, Mohd Noor Aizan Md Idrus berkata, Jimmy tidak bersetuju tawaran berkenaan.

“Anak guam saya berpendapat tawaran itu adalah tidak munasabah,” katanya.

Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010.

Pernikahan mereka berlangsung di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, di sini dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November dua tahun lalu apabila Jimmy tidak menyangkal perkahwinannya dilanda masalah seperti yang dilaporkan akhbar dan sudah tidak tinggal bersama sejak 21 Oktober 2010 iaitu 20 hari selepas bernikah.