PETALING JAYA: Selepas 39 hari mendirikan rumah tangga, pengacara Awal Ashaari memuji isterinya, Scha Al-Yahya kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan sempurna.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, Scha menjalankan rutin sebagai isteri dengan menyediakan pelbagai masakan untuk mereka berdua.
"Sebelum ini Scha bukanlah seorang yang gemar bersarapan pagi dan tak sangka pula dia sanggup bangun pagi dan menyiapkan sarapan untuk kami berdua sebelum ke lokasi penggambaran.
"Malah sebelum tidur, dia juga bertanyakan apakah menu masakan yang saya inginkan. Daripada situ saya nampak kesungguhannya untuk menjadi seorang isteri yang baik," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Tambah Awal, kehadiran Scha sebagai isterinya juga membuatkan dia tidak sabar untuk pulang ke rumah setiap kali selesai penggambaran, semata-mata untuk menikmati makanan hasil daripada air tangan Scha.
Dalam pada itu, dia juga baru sedar bahawa Scha seorang yang tidak suka keadaan rumah bersepah dan sentiasa memastikan barangan yang telah diguna, diletakkan semula ke tempat asal.
"Scha seorang pembersih dan tidak suka barang-barang yang bersepah. Dan kehadiran dia dalam rumah saya membuatkan saya sedar mengenai tabiat buruk diri yang suka menyimpan barang yang tidak penting.
"Bayangkan, apabila Scha mengemas rumah, dia terjumpa macam-macam benda seperti kotak-kotak kasut yang kosong, kamera rosak serta beberapa benda lain dan apabila dia bertanya mengapa saya menyimpan barang-barang berkenaan, saya tiada jawapan untuk itu," selorohnya.
Bercerita mengenai pengalaman pasangan itu yang baru pulang dari berbulan madu di Amerika Syarikat (AS) pada 18 Mei lalu, Awal berkata, percutian itu amat bermakna untuk kedua-dua mereka.
"Percutian kami amat menyeronokkan dan kami sempat ke New York dan Los Angeles selama 10 hari.
"Selepas pulang ke tanah air, kami bersama keluarga masing-masing bercuti di Gold Coast, Sepang dan Pulau Manukan, Sabah pula. Rasa puas sebab dapat meluangkan masa sebaik mungkin bersama keluarga sebelum memulakan rutin kerja harian," tuturnya.
Sementara itu, Awal juga bersyukur kerana rezekinya dan isteri tidak pernah putus sejak mendirikan rumah tangga apabila menerima pelbagai tawaran berlakon.
Malah, pengacara Melodi itu bakal mengendalikan sebuah programnya sendiri iaitu, Awal Lagi, menerusi saluran TV9.
Awal dan Scha bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman, Putrajaya dekat sini.
- ---
No comments:
Post a Comment