PETALING JAYA: Demi mengukuhkan lagi tapak kerjaya seni nyanyian, penyanyi Shila Amzah berani mengambil risiko dengan melaburkan hampir RM40,000 untuk menerbitkan albumnya sendiri.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata kesanggupannya itu disebabkan kerana ingin menguatkan profil kerjaya nyanyiannya selain enggan mengecewakan peminat-peminat yang sudah lama menunggu kemunculan album terbaru.
"Sudah lama saya impikan untuk menerbitkan album sendiri, walaupun tahu hasil jualan album tidaklah banyak mana, namun ia adalah kepuasan buat saya.
"Ia satu pelaburan yang besar untuk penyanyi seperti saya dan dianggarkan untuk sebuah lagu, kosnya lebih daripada RM5,000. Dan sebanyak lapan buah lagu akan dimuatkan pada album berkenaan.
"Bukan itu sahaja, saya juga perlu melaburkan dalam penerbitan klip video serta urusan promosi," katanya.
Tambah Shila, sebagai penyanyi muda yang masih lagi belajar mengenai selok-belok dalam pengurusan perniagaan muzik, albumnya itu akan dibuat secara berperingkat agar mendapat hasil yang berkualiti.
"Pada album itu, saya akan memuatkan lagu-lagu ciptaan sendiri yang sudah lama saya hasilkan, malah sejak dari sekolah menengah lagi.
"Cuma sebelum ini saya kurang keberanian untuk tunjuk kebolehan menghasilkan lagu kepada umum. Dan sejak muncul dengan lagu Patah Seribu, barulah saya yakin untuk merakam lagu-lagu berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, memandangkan telefilem lakonannya Patah Seribu mendapat respons positif, Shila berkata, buat masa ini dia ingin memberi fokus pada kerjaya nyanyiannya dahulu.
"Kalau boleh saya tidak mahu mencampuradukkan dua bidang (lakonan dan nyanyian) ini dalam satu masa, kerana sukar untuk memberi fokus.
"Malah ketika penyertaan saya dalam program Mania hampir tiga bulan, pembikinan album saya juga tergendala.
"Jadi biarlah saya fokus dengan nyanyian dahulu. Lagipun bidang lakonan hanyalah sekadar untuk saya mencuba melihat sejauh mana kemampuan diri dalam bidang tersebut.
- ---
No comments:
Post a Comment