Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Labels:

Kamal Adli Turun Berat Badan Untuk Watak Baru




LUMRAH dunia! Yang kurus mahu berisi, yang sudah berisi mahu pula dikurangkan isinya. Namun, lain pula al-kisahnya bagi pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli, figura yang sudah berjaya mendirikan tapak utuh dalam dunia seni lakon.
Kamal, 25, kini dikatakan sedang dalam proses berpantang demi mendapatkan sosok tubuh idamannya seberat 75 kilogram.
Bukan kerana alasan klise perlu memiliki badan yang ideal untuk bergelar selebriti popular, sebaliknya Kamal yang berketinggian 180 sentimeter itu memaksa diri mengurangkan jisim badannya yang terkini seberat 80 kilogram demi menggalas watak utama dalam filem Gerimis Mengundang yang bakal memulakan sesi penggambarannya tidak lama lagi.
Ketika ditemui ketika sesi pelancaran filem Gerimis Mengundang di Hotel Legend, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia berkata, usaha untuk menurunkan berat badannya bermula sejak dua bulan lalu.
“Saya tidak makan nasi selama lebih dua bulan untuk mendapatkan berat lama saya iaitu 75 kilogram.
“Alhamdulillah kini berat badan saya sudah turun sebanyak dua kilogram dan saya masih lagi berusaha untuk menurunkan sebanyak tiga kilogram lagi,” jelas anak kelahiran Pahang itu.


Tambahnya, diet luar biasanya itu sudah diamalkannya sebelum mendapat tawaran berlakon dalam filem Gerimis Mengundang lagi iaitu selepas tamatnya pembikinan drama bersiri Gemilang yang ditayangkan di TV3 sebelum ini.
“Saya menolak untuk berlakon dalam filem ini pada awalnya kerana mempunyai komitmen dengan filem 3 Temujanji bersama Pierre Andre dan Liyana Samsudin. Nasib baik babak saya dalam filem itu tidak banyak maka dapatlah saya memberikan lebih fokus kepada filem ini,” tuturnya.
Menggalas watak utama sebagai Zamani dalam filem yang diarahkan oleh Ahmad Idham itu cukup memberi tamparan hebat buat Kamal.
“Watak ini bukan calang-calang, ia (watak Zamani) adalah yang paling berat yang perlu saya lakonkan, malah demi watak ini saya mahukan bentuk badan yang ideal dan tidak terlalu gempal.

DALAM filem Gerimis Mengundang, Kamal Adli berganding dengan bintang Indonesia, Olivia Jensen.


“Takut memang ada tapi ini umpama satu penghargaan besar buat saya apabila nama saya tersenarai untuk menggalas peranan ini,” katanya yang gagal membawakan watak Zamani ketika sesi uji bakat kali pertama.
Filem yang bakal menjalani penggambaran di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Jakarta, Indonesia itu dijangka bakal disiarkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada bulan Februari tahun depan.
Panas baran
Bercerita mengenai karakternya dalam filem Gerimis Mengundang yang diangkat daripada lagu dendangan kumpulan Slam sekitar tahun 1990-an itu, Kamal perlu membawa watak seorang juruterbang helikopter yang panas baran.
“Cabaran untuk membawakan filem kisah cinta dua buah negara antara Malaysia dan Indonesia ini bukan sekadar penjiwaan wataknya yang memerlukan saya menjadi seorang yang cepat marah dan egoistik.
“Tapi juga perbezaan dari segi pertuturan bahasa antara saya dan heroin filem ini yang bercakap dalam dua lenggok bahasa berbeza,” ujarnya tatkala ditebak berkenaan cabaran menjadi pendukung utama karya nostalgia itu.
Dalam filem itu, kisah cinta antara Zamani dan Mikha (heroin utama) yang digalas oleh pelakon remaja dari Indonesia, Olivia Jensen, bermula menerusi satu pertemuan antara mereka di Sabah.
Ubah cara pakai

KAMAL harus menurunkan tiga kilogram lagi berat badannya untuk mencapai sasaran.


Menurut Olivia yang tidak mempunyai masalah untuk mengikat hubungan lebih mendalam dengan Kamal menerusi filem itu, cara berpakaian menjadi taruhannya.
“Saya perlu menukar cara berpakaian termasuk potongan rambut untuk kelihatan lebih matang dan bukan seperti usia sebenar saya,” ujar pelakon itu yang pertama kali membikin filem dengan produksi luar negara.
Bagi figura yang melakar namanya menerusi lima buah filem lakonannya di Indonesia itu, kerjasama dua buah negara untuk penghasilan filem Gerimis Mengundang adalah satu langkah proaktif mencari lebih banyak prospek pada masa depan.
“Ini kali pertama saya mendukung watak yang besar sebagai heroin sebuah filem, seharusnya saya perlu berlakon dengan lebih serius dan profesional sesuai dengan watak Mikha yang diberikan kepada saya,” getus pelakon berusia 18 tahun itu yang bernaung di bawah syarikat WannaB Pictures.
Olivia yang baru selesai penggambaran filem Bukan Cinta Biasa 2 bersama penyanyi bersuara lunak merdu, Afgan, turut menjalankan kajian tersendiri berkenaan latar belakang Kamal dan produksi filem Malaysia.
“Sejujurnya saya kurang mengetahui aktor Kamal Adli, sehingga saya membuat kajian sendiri melalui Internet, akhirnya kami dipertemukan di Jakarta baru-baru ini dan saya rasa tidak akan ada masalah untuk kami bersama dalam filem ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

 
Gosip Artis Malaysia © 2012 | Designed by Canvas Art, in collaboration with Business Listings , Radio stations and Corporate Office Headquarters