Artis lelaki Singapura rayu tarik balik laporan polis



PELAKON Indonesia, Raja Yunika Putri mendedahkan artis lelaki yang dikatakan mencuri sejumlah wang daripadanya pada 7 Jun lalu merayu supaya dia menarik balik laporan polis.
Raja Yunika ketika dihubungi Harian Metro berkata, penyanyi dan pelakon Singapura itu menghubunginya dengan menghantar mesej merayu supaya dia menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.


"Pada awalnya, dia tidak percaya dan mencabar saya membuat laporan polis. Namun, apabila laporan dibuat dan pihak polis memanggilnya untuk siasatan, barulah dia mengaku perbuatannya. Dia merayu saya menarik balik laporan polis tapi atas nasihat beberapa pihak, saya tetap teruskan," katanya.
Dalam pada itu, Raja Yunika turut menafikan kejadian itu berlaku di sebuah kelab malam, tetapi di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura.

Katanya, ketika itu dia datang ke restoran itu untuk bertemu dengannya atas urusan kerja dan meminta nasihat mengenai peluang untuk mengembangkan bakatnya di Indonesia.
Menceritakan kejadian itu, Raja Yunika berkata, dia ke kaunter untuk membayar bil dan meminta artis lelaki terbabit menjaga beg tangan yang ditinggalkan di atas meja.

"Selepas itu saya terus ke tandas dengan membawa telefon saja. Sebaik saya kembali ke meja, saya dapati dia sudah tiada dan sejumlah wang di dalam beg tangan sudah hilang. Apabila saya menghubunginya dan bertanya mengenai perkara itu, dia menafikannya," katanya.

Menurut Raja Yunika, dia mula mengenalinya menerusi Instagram sebelum Ramadan lalu. Artis terbabit kemudian meminta bantuannya mengenai peluang mengembangkan kerjaya seninya di Indonesia.

Katanya, dia bersetuju untuk membantu penyanyi itu kerana selain terbabit dalam bidang politik di Indonesia, Raja Yunika turut aktif membantu anak-anak muda melalui pelbagai program motivasi di Indonesia dan rantau Asean.

Terdahulu, Yunika yang juga pelakon filem Cinta Palsu Suaminya menerusi portal berita haluankepri.com mendakwa menjadi mangsa kecurian artis lelaki asal Singapura yang popular di Malaysia.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi artis terbabit untuk mendapatkan penjelasannya sejak semalam tidak berjaya apabila telefon bimbitnya dimatikan manakala mesej WhatsApp tidak dibalas.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard