Fasha Sandha Doa Kejayaan Suami Sertai Lumba Kereta

Fasha dan Jejai. Foto JETT
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya.
Fasha atau nama sebenarnya Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Rizal daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
"Saya tidak pernah halang apa-apa yang dia mahu buat. Yang penting, saya akan menjadi tulang belakang untuk menyokongnya. Malah saya juga sanggup berpanas di atas trek litar.
"Diakui, mana-mana isteri pun akan risau apabila suami berada dalam zon bahaya, tetapi saya percaya dengan kemampuannya dan berdoa kepada Allah supaya dia selamat dan berjaya.
"Seronok juga jadi pengurus peribadi suami, asalkan dia bahagia, saya sanggup buat apa sahaja," katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Rizal atau nama panggilannya, Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Rizal berdiri di sebelah kereta model khas - Lamborghini Super Trofeo.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu.
Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu.
Dalam pada itu, Fasha yang turut menemani suaminya dalam kejohanan itu menganggap kemenangan Jejai adalah rezeki perkahwinan mereka dan anak dalam kandungan yang kini berusia kira-kira tiga bulan.
"Alhamdulillah syukur, kemenangan ini juga hasil daripada doa daripada keluarga kami. "Kiranya, berbaloi juga kerana inilah kali pertama saya beraya di luar negara tanpa keluarga.
"Tahun ini juga merupakan sambutan Aidilfitri yang paling seronok. Insya-Allah saya dan suami akan membuat majlis rumah terbuka bergabung dengan dua orang artis lagi," ujarnya.
Tambah Fasha, dia dan suami akan berangkat ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard