Jangan Jadi Mangsa Macam Akhil Hayy

SELEPAS pelakon Sharifah Aleeya membuat keputusan untuk berubah dengan memakai tudung, terbaru pula anak N.D Lala iaitu Shila Amzah membuat keputusan serupa.
Nampaknya semakin ramai artis wanita yang cantik jelita tak kiralah yang anak dara atau mak janda sudah berubah.
Ingat satu sahaja! Rezeki Allah itu luas. Jangan anggap apabila dah pakai tudung, rezeki kita akan tersekat. Sesungguhnya sifat kasih Allah itu melebihi kemurkaannya apatah lagi kepada perkara-perkara kebaikan.
Yang penting kena jaga mulut dan perbuatan. Kata-kata yang baik apabila keluar daripada mulut kita menyebabkan orang akan menjadi bertambah suka.
Saya tertarik dengan kenyataan penyanyi Akhil Hayy dalam mStar Online pada 8 Ogos lalu.
Kata suami kepada penyanyi Waheeda ini, mana-mana artis yang sudah berhijrah, hendaklah berhati-hati. Jangan sampai orang politik ambil kesempatan. Yalah... orang politik memang macam itu.
Mereka akan lihat mana-mana ada ruang untuk memperkukuhkan kedudukan, di situlah mereka pasang strategi.
Artis yang baru sehari dua pakai tudung dan pakai serban akan digunakan oleh ahli politik ini untuk diusung ke sana ke mari.
Kenyataan Akhil Hayy dalam mStar Online pada 8 Ogos 2012 yang mengakui dipergunakan ahli politik semasa penghijrahannya suatu ketika dahulu.
Mereka akan bercerita tentang pengalaman “berhijrah”. Mimpi diseksa dalam kubur, dipatuk ular, mimpi melihat hari kiamat dan segala benda.
Sambil-sambil diselitkan pengalaman itu, mereka pun terus bercerita memburukkan diri sendiri semasa dalam dunia hiburan.
Kononnya hidup menjadi kotor ketika bergelar artis. Jarang nak sembahyang, selalu melompat dan bergedik dalam disko, mabuk dan macam-macam lagi bagi memberi gambaran dunia artis itu jijik.
Sebenarnya dunia artis tak kotor pun tetapi mereka yang berada dalam dunia artis itu sendiri yang melemparkan kekotoran tersebut.
Tak ada halangan untuk artis melakukan kebajikan, solat lima waktu, bersedekah ataupun beramal di negara Islam yang harmoni macam Malaysia ini.
Tetapi dek kerana kedangkalan sesetengah artis yang terlupa mereka dipergunakan oleh parti-parti politik tertentu, mereka pun ikutlah berkempen untuk meraih sokongan.
Mereka tidak terfikir, calon wakil rakyat yang ajak mereka naik pentas itu yang sebenarnya akan dapat sokongan. Artis itu menjadi seperti kelapa. Selepas santan habis diperah lalu hampasnya dibuang ke tanah.
Semasa Akhil Hayy berubah daripada seorang penyanyi rock berambut panjang dan berseluar ketat kepada pendakwah, beliau mengalami pengalaman itu. Diusung ahli politik untuk berkempen.
Ketika memberi ceramah, orang ketawa berdekah-dekah melihat gelagat dia. Ahli politik yang mengusung dia pun turut tersenyum lebar dengan harapan dapat sambung satu penggal lagi.
Akhil sendiri mengaku orang politik semangnya gemar ambil kesempatan daripada perubahan artis kerana golongan tersebut mudah mendapat perhatian dalam meraih sokongan orang ramai.
Kerana tidak sedar dipergunakan, Akhil secara terlupa semasa ceramahnya dulu pernah mengutuk lagu Sejati nyanyian Wings sehingga Awie nak berang.
Dia juga pernah mempersendakan lagu Wassini nyanyian Waheeda yang kini menjadi isterinya.
Tetapi Akhil sudah sedar. Syukurlah kerana dia tidak terus diperbodohkan oleh mereka yang berkepentingan.
Sekarang ini Akhil gagal diusung oleh ahli-ahli politik yang hendak memerahnya kerana dia sudah tahu taktik-taktik kotor mereka.
Cuma yang sedih apabila rakan-rakannya yang baru memakai kopiah dan selendang atas kepala pula menjadi mangsa.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard