PETALING JAYA: Pengalaman menjalani ibadat berpuasa buat pertama kali sebagai seorang suami memberikan keseronokan luar biasa bagi pengacara dan pelakon popular Awal Ashaari (Awal).
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, berkata, keseronokan yang dialami sejak awal Ramadan itu sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana hampir setiap hari dia akan ditemani isterinya aktres Scha Al-Yahya untuk bersahur dan berbuka.
“Seronok sangat apabila ada teman yang sentiasa berada di sini pada hampir setiap hari. Saya dan isteri akan pastikan kami berbuka bersama jika tiada komitmen kerja.
“Walaupun ini adalah tahun pertama kami menyambut puasa bersama, segalanya berjalan dengan baik kerana sistem tolak-ansur dan diplomatik yang kami amalkan,” katanya ketika ditemui di Menara Star di sini.
Pasangan bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman Lakeside.
Katanya, kedatangan Ramadan turut mendedahkannya kepada pengalaman baru mengenai cara berbuka dan bersahur yang lazim diamalkan keluarga mertuanya.
“Saya belajar perkara baru mengenai cara berbuka dan bersahur. Jika selama ini, saya dan keluarga tidak mengambil nasi atau makanan berat untuk berbuka tetapi ia bertentangan dengan keluarga Scha.
“Pada mulanya, saya terkejut juga apabila melihat lauk-pauk yang banyak di atas meja ketika kami berbuka bersama tetapi lama-kelamaan saya mula menyesuaikan diri. Apa-apa pun, saya dan Scha menjalani Ramadan secara sederhana dan ringkas,” kongsinya.
Beralih kepada kerjaya, pengacara program hiburan Melodi ini berkata, kerinduan pada set penggambaran membuatkan dia tidak sabar untuk kembali berlakon selepas setahun setengah berehat.
“Saya mahu berlakon semula. Sudah setahun setengah tidak berlakon, saya berasa terlalu rindu untuk kembali ke set (penggambaran).
“Saya rindukan suasana, kemeriahan dan pengalaman ketika penggambaran berlangsung. Malah, peminat juga tidak henti-henti bertanya bila saya akan berlakon?” katanya yang kali terakhir berlakon pada tahun lalu menerusi siri Dunia Kita.
Selain mengacarakan Melodi di TV3 bersama Zizan Razak, Awal juga baru menyiapkan rakaman program terbaru berjudul Awal Lagi.
Program bual bicara yang dikendalikannya itu mula ditayangkan pada 7 Julai lalu pada setiap Sabtu pukul 8.30 malam di TV9.
-
---
No comments:
Post a Comment