KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Hot FM, Shy8 (disebut Shy Eight) berasa ralat kerana populariti mendadak yang di kecapinya mengakibatkan waktunya bersama keluarga semakin terbatas.
Justeru, Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail berkata, dia perlu membahagikan waktu antara urusan kerja dan peribadi dengan sebaik mungkin.
“Saya baru berkahwin tidak sampai lima tahun dan anak lelaki pula sedang membesar, jadi saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesarannya kerana kesibukan kerja.
“Ralat juga jadinya apabila semakin popular dan sibuk, tidak banyak waktu yang dapat dihabiskan dengan keluarga. Sebab itu, saya mahu imbangi aspek itu sekarang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Shy8 yang popular menerusi watak Usop Wilcha dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah berkata, pemergian ibunya Tom Ali Khan yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu, memberikan kesedaran untuk dia menghargai insan-insan tersayang di sekelilingnya selagi berkesempatan.
“Pemergian ibu pada akhir Jun lalu bagai satu tamparan yang membuatkan saya sedar biar sibuk mana pun kita dengan urusan kerja, waktu bersama keluarga tetap menjadi keutamaan.
“Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh dalam tempoh yang singkat tetapi populariti, peluang dan wang bukan segala-galanya jika kita tidak banyak masa dengan keluarga,” jelasnya.
Mengenai perkembangan kerjaya, Shy8 yang masih berkabung kerana kematian ibunya meminta untuk mengurangkan aktiviti di depan khalayak termasuk di studio radio buat sementara waktu.
“Saya sudah berbincang dengan pengurusan Hot FM dan mereka faham situasi saya. Memandangkan baru saja kehilangan ibu, saya belum bersedia untuk berjenaka yang keterlaluan.
“Kini saya sedang membuat persiapan untuk penggambaran dua filem arahan Mamat Khalid berjudul Zombie Kilang Biskut dan Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh selepas Hari Raya nanti,” kongsinya.
No comments:
Post a Comment