Bunkface tanpa Sam


BUNKFACE dari kiri: Paan, Sam dan Youk.


SEJAK tertubuhnya band baru The Azenders, vokalis band Bunkface Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Bahrom dikatakan bakal menarik diri daripada Bunkface. Malah berita itu dilihat semakin hangat apabila hanya dua ahli Bunkface iaitu Farouk Jaafar (Youk) dan Ahmad Farhan Hashim (Paan) yang kelihatan pada majlis pelancaran program terbitan RTM Xpresi Kembara yang berlangsung di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.
Bahkan pada majlis tersebut, Youk dan Paan turut membawa seorang penyanyi baru naungan Bunkface Production Sdn. Bhd. iaitu Myo yang dikhabarkan bakal menggantikan tempat Sam andai dia meninggalkan Bunkface kelak.
Paan dan Youk menegaskan Sam masih lagi ahli Bunkface dan berita dia meninggalkan Bunkface hanyalah khabar angin.

“Itu hanya khabar angin, Sam masih bersama Bunkface. Dia tidak dapat hadir ke majlis ini kerana dia kini sibuk dengan promosi band The Azenders yang merupakan projek sampingan Sam,” ujar Paan.
Disoal lagi, sampai bilakah keadaan ini akan berlarutan dan adakah benar jodoh mereka bersama Sam akan berakhir tidak lama lagi?
Jawab Youk: “Saya tidak tahu jodoh kami sebagai sebuah band akan bertahan sampai bila. Kemungkinan untuk Sam keluar daripada Bunkface saya tidak tahu bila. Tetapi sekarang apa yang boleh saya cakap dia masih bersama kami.”
Bagaimanapun Youk tidak menafikan wujud perselisihan faham antara mereka dan perkara itu bertambah berat apabila Sam memberi lebih tumpuan kepada The Azenders.

MYO (tengah) bersama Paan dan Youk pada majlis pelancaran program Xpresi Kembara oleh TV1. Myo menggantikan Sam yang sedang sibuk dengan promosi band sampingannya, The Azenders.


“Kami tidak bergaduh, kami masih baik dan akan sentiasa baik sampai bila-bila. Kalau berselisih faham itu biasalah, rasanya semua band pun alami perkara yang sama. Tetapi perselisihan faham itu bertambah berat bila wujudnya The Azenders. Tetapi semua perselisihan faham itu hanya kerana muzik tidak ada perkara lain,” katanya.
Jelas Paan pula, dia dan Youk masih berhubung dengan Sam, malah masih bersama menguruskan Bunkface Production. Dia berjanji, jika benar Sam akan keluar daripada Bunkface, ia akan diumumkan secara rasmi.
Youk kemudian memberitahu, isu Sam mahu keluar daripada Bunkface merupakan dugaan terbesar mereka sebagai sebuah band dan berharap mereka dapat melaluinya sebaik mungkin.
“Ini memang dugaan buat kami. Saya sendiri tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku. Sebenarnya perkara ini orang nampak semakin berat kerana Sam kini sedang dalam rangka promosi band barunya. Hubungan persahabatan kami masih lagi seperti dahulu. Walau apa pun yang terjadi, saya berharap peminat Bunkface akan terus menyokong muzik kami,” jelas Paan.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard