KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Shake berkata disiplin yang tinggi dan penjagaan pemakanan seimbang merupakan rahsia penampilan awet mudanya selama ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 62, berkata, sejak dulu lagi dia mengamalkan kedua-dua aspek itu dan tidak percaya terhadap suntikan botoks atau pembedahan plastik.
"Kalau orang lain nak buat biarlah itu hak mereka tetapi saya tidak percaya kepada botoks atau pembedahan plastik (untuk kekal muda).
"Dari dulu, saya tekankan disiplin kepada senaman dan pemakanan. Biasanya selepas solat Subuh saya akan bersenam dan kawal makanan yang saya ambil.
"Alhamdulillah, saya masih kuat dan berstamina pada usia begini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album bahasa Malaysia terbaharunya Chameleon di Hard Rock Cafe di sini, petang Khamis.
Mengenai kemunculan semula di persada muzik tanah air, penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu berkata, 2013 adalah waktu terbaik untuk meraikan peminat yang merinduinya.
"Sudah banyak permintaan di kalangan peminat di sini yang mahu saya kembali. Kemunculan album Chameleon adalah untuk mereka.
"Selain album ini, saya bercadang untuk adakan konsert jelajah di seluruh negara pada tahun hadapan jika ada penajaan. Saya mahu adakan konsert terbuka untuk rakyat," jelasnya.
Ditanya mengenai keberaniannya mengetengahkan konsep elektro dan “urban” dalam album itu, Shake berkata, ia perlu dilakukan bagi menawarkan elemen segar dalam muziknya.
"Kalau di luar ramai sahaja penyanyi lama seperti Rolling Stones dan Stevie Wonder berani menghasilkan muzik kontemporari, mengapa tidak saya mencuba?
"Muzik tiada sempadan usia. Kalau budak-budak (penyanyi baru) tak nak buat, biar saya buat mana tahu mereka akan ikut nanti," kongsi datuk kepada lima cucu ini.
Album yang memuatkan 12 lagu antaranya Material, Berpusing, Kembalilah, Topeng, Mengapa dan Oh Kasihku itu kini dipasarkan secara digital menerusi www.dreammusic.com.my.
-
---
No comments:
Post a Comment