KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Koriri mengakui ada segelintir pihak pernah mencadangkan agar dia berimej seksi dan mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dengan mudah.
Shakilla, 23, berkata, walaupun percaya cara itu mampu menaikkan namanya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri lakonan tempatan, dia tetap dengan pendiriannya untuk menapak secara perlahan.
"Memang ada yang memberi cadangan untuk mereka-reka kontroversi agar saya lebih mudah diberi perhatian. Tetapi untuk apa? Adakah kedudukan kita itu akan berkekalan selama-lamanya?
"Bagi saya biarlah lambat asalkan orang kenal kita daripada hasil kerja kita atau paling tidak, perkara-perkara positif yang ditonjolkan.
"Saya percaya, apabila orang dah mula kenal siapa saya, itu tandanya kerja kita semakin berkualiti kerana ia mula dipandang umum serta daripada golongan industri," katanya.
Tambah Shakilla, dia gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa yang turut menampilkan Aaron Aziz dan Nadia Nissa menjadi tumpuan umum.
Malah pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikut nasihat Nadia untuk tidak terlalu terburu-buru mengejar perhatian ramai.
"Diakui saya tidak boleh nak tipu diri sendiri apabila hasil usaha selama enam tahun dalam industri hanya dipandang sebelah mata.
"Tetapi apabila orang dah mula kenal, perasaan takut pula muncul. Saya risau sekiranya populariti yang diraih membuatkan saya lupa diri.
"Saya sering pesan kepada keluarga dan rakan-rakan rapat supaya mengingatkan diri ini sekiranya saya terlajak daripada landasan sebenar dalam bidang ini," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Shakilla bakal muncul menerusi drama Erna Shuraya bergandingan dengan pelakon Tasha Shila dan Amran Ismail yang akan disiarkan pada 1 Januari 2013 di TV2.
Ia turut menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Shukri Mahari, Sharin Bali dan Norakmalina Iskandar.
-
---
No comments:
Post a Comment