NAMANYA barangkali masih terlalu asing di kalangan peminat industri hiburan tanah air.
Biarpun pernah mendapat perhatian menerusi lakonannya sebagai Zahlia dalam drama Bicara Hati, namun nama Christina Suzanne Stockstill atau mesra di sapa Kris bagai tenggelam dengan nama-nama baru.
Mengakui tidak terlalu gusar dengan keadaan itu, Kris berkata, dia lebih rela dikenali kerana hasil kerja lakonannya bukannya dikenali kerana kontroversi yang memalukan.
"Saya tidak mahu bila anak cucu saya melihat sejarah pembabitan saya dalam bidang seni suatu hari nanti, mereka akan baca mengenai kontroversi mengenai diri saya. Ia amat memalukan. "Jadi biarlah orang mengenali saya kerana lakonan dan populariti itu bukanlah sesuatu yang penting sebenarnya," ujarnya yang ditemui pada majlis tayangan filem Kil, baru-baru ini.
Menjelaskan punca dia jarang dilihat di kaca TV ataupun di layar perak, Kris berkata, dia sebenarnya terlalu memilih, sebelum bersetuju mengikat kontrak dengan mana-mana produksi.
Bagaimanapun, ujar Kris, dia bukan memilih dari segi watak yang diberikan, sebaliknya hanya mengutamakan produksi yang sememang mahukannya dari awal.
"Saya lebih suka dengan produksi yang menghubungi saya lebih awal, berbanding dengan produksi yang menghubungi saya pada saat akhir, atau kata lainnya menjadi pilihan kedua kerana pilihan pertama tidak dapat memberikan komitmen," jelasnya.
Menyentuh mengenai wataknya sebagai Zara dalam filem Kil terbitan Grand Brilliance, Kris berkata dia bersedia menerima sebarang kritikan jika ada penonton berpendapat lakonannya dalam filem itu agak kaku.
"Ia adalah filem pertama saya. Ketika itu saya baru sahaja dua bulan keluar dari program Pilih Kasih. Saya akui ada melakukan kesilapan dan saya bersedia menerima kritikan untuk memperbaiki lakonan saya selepas ini," katanya.
Filem yang menggandingkan Kris dengan pelakon Redza Minhat itu akan berada di pawagam mulai 30 Mei ini.- ---
No comments:
Post a Comment