Kakak Siti Nurhaliza nafi kemelut rumah tangga kesan populariti
KUALA LUMPUR: "Tidak ada kena mengena dengan kehadiran orang ketiga," kata penyanyi Siti Nursaida Tarudin atau Saida ketika ditanya mengenai kemelut yang melanda rumah tangga dengan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri, 40.
Kakak kepada penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini juga menafikan krisis itu kesan populariti selepas dia bergelar artis.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, kemelut rumah tangga pasangan itu menampakkan jalan positif apabila mereka bersedia untuk menamatkan krisis itu dengan cara tersendiri.
Biarpun mengakui sudah pun memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Mohd Ghazali di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu, Saida, 34, bagaimanapun berkata, mereka akan menggunakan tempoh dua bulan yang diberikan mahkamah untuk memperbetulkan keadaan iaitu menerusi cara perbincangan bersama suami.
“Berilah kami ruang untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara kami sendiri. Saya mohon supaya perkara ini tidak diperbesar-besarkan kerana banyak hati yang perlu saya jaga dan tidak mahu proses memulihkan hubungan ini terjejas disebabkan cerita yang tidak benar,” katanya.
Pada prosiding 26 Oktober lalu, peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Saida memohon agar mahkamah memberi tempoh dua bulan kerana kedua-dua pihak berhasrat berbincang semula sama ada mahu meneruskan permohonan itu atau sebaliknya.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember depan.
Kata Saida lagi, faktor lain yang menyebabkan dia masih memberi ruang untuk krisis rumah tangga itu diselesaikan kerana masih sayangkan Mohd Ghazali.
“Selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga, mana mungkin perasaan sayang hilang begitu saja. Saya masih sayangkannya. Lagipun, hubungan kami masih berjalan seperti biasa, masih tinggal serumah dan komunikasi kami juga berjalan lancar. Cuma hati dan perasaan saya yang terganggu,” katanya.
Saida dan suami bernikah pada 14 Disember 1996 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 13; Anas, 11; Khalid, 7; dan Siti Nurul Mashitah, 4.
No comments:
Post a Comment