Tahun 2011 menyaksikan industri hiburan tanah air telah kehilangan beberapa nama besar. Biarpun meninggalkan kita buat selama lamanya, namun jasa mereka dalam dunia hiburan tetap diingati.
Semoga Allah memberi rahmat kepada roh umat Islam dan mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
1 Januari 2011 - (Faizal Yusup)
Tahun baru 2011 dibuka dengan berita sedih apabila pelakon Mohd Faizal Yusup,33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), kira-kira pukul 1.45 petang iaitu pada hari Sabtu, akibat serangan jantung.
Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul, Kuala Lumpur. Faizal meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, hasil perkahwinan pertamanya bersama penyanyi Siti Nordiana, manakala perkahwinan kedua bersama Rosmunira Rashid dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Raqqim Fyzal.
19 Januari 2011 - (Antonio Vincent)
Penyanyi utama kumpulan Sweet September, Antonio Vincent,57, yang popular pada era 70-an meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang akibat sakit jantung.
Antonio yang popular dengan lagu “Hatiku Kau Guris Luka” dan “Nak Kahwin Duit Tak Ada” ditemui mati oleh isterinya, Annie Ooi kira-kira pukul 4.05 petang, Selasa, di dalam bilik air rumah mereka.
Menurut Annie, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap suaminya apabila mendiang berada terlalu lama di dalam bilik air selain tidak menjawab sahutannya.
21 Februari 2011 - (M.Vasudevan)
Penyanyi rakaman popular Malaysia, M. Vasudevan meninggal dunia di selatan bandar Chennai, China selepas mengalami serangan jantung minggu lepas.
Penyanyi berusia 67 tahun itu berada dalam keadaan kritikal selepas serangan jantung dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta semalam.
Lebih dikenali dengan nama "Vasudevan Malaysia" di Kollywood, iaitu Bollywoood versi selatan, mendiang telah menyanyikan 8,000 lagu Tamil.
2 April 2011 - (Seri Bayu)
Penulis lirik Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 47, meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan akibat penyakit saraf.
Seri Bayu meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu selepas dimasukkan ke hospital itu. Jenazah beliau dikebumikan di rumah keluarga angkatnya di Port Dickson, Negeri Sembilan.
10 Mei 2011 - (Aimi Jarr)
Pelakon veteran dan penulis, Aimi Jarr atau Omar Puteh, 72, yang juga bekas wartawan hiburan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi Selasa, 10 Mei 2011.
Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi.
Ketika hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat rapat dengan seniman agung Tan Sri P.Ramlee dan sering terlibat dalam perbincangan dan pertemuan-pertemuan antara P.Ramlee dengan rakan-rakan rapatnya dalam media.
Beliau juga pernah berlakon di dalam beberapa buah filem dan drama dalam siri televisyen khususnya drama-drama arahan dan terbitan Skop Production milik Datuk Yusof Haslam.
14 Mei 2011 - (Orchid Abdullah)
Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.
Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau “paraganglioma” sejak tiga tahun lalu.
21 Mei 2011 - (Mahyon Ismail)
Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Binti Ismail telah meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Menurut anak sulungnya, Dilla Hussein, 47, ibunya sudah tiga minggu mengalami demam panas dan batuk namun, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kritikal melainkan penyakit diabetesnya sahaja.
Selain Dilla, Allahyarham yang merupakan balu pelakon veteran Hussein Abu Hassan, meninggalkan dua orang anaknya iaitu Fairuz, 45 dan Faizal 43.
19 Jun 2011 - (Zami Ismail)
Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.
Allahyarham yang popular dengan sitkom “Pi Mai Pi Pai Tang Tu” pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu “Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit” (arahan Mamat Khalid) dan “Shh...Dia Datang” (Saiful Apek).
Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem “Mak Som”.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.
1 Ogos 2011 - (Hasnah Haron)
Penyanyi veteran, Hasnah Haron, 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru pada pukul 8 pagi Isnin akibat penyakit kanser pangkal rahim.
Allahyarham menghidap kanser tersebut sejak dua tahun lalu sehingga merebak ke paru-paru.
Antara lagu-lagu popular beliau ialah “Bersedih”, “Sabar Menanti”, “Aliran Usia”, “Jauh Dariki”, “Mengharap Kasih” dan “Bintang Pujaan.”
5 Oktober 2011 - (Chee Hood Siong)
Pelakon siri komedi popular tahun 1990-an, “Baba Nyonya”, Chee Hood Siong meninggal dunia pada Ahad lalu akibat serangan jantung ketika berusia 66 tahun.
Mendiang terkenal dengan watak Ah Chim seorang wanita peranakan bersama-sama dengan seorang lagi pelakon, Kenny Chan yang memegang watak Bibik Kim Neo.
Siri popular itu diiktiraf oleh Malaysia Book oF Records sebagai siri televisyen paling lama di negara ini apabila mula bersiaran dari tahun 1980-an sehingga tahun 2000 dengan jumlah 509 episod.
Chee meninggalkan seorang isteri, Gladys Ong Keng Wah dan dua anak
No comments:
Post a Comment