Elizabeth Tan Bukan Rujukan Artis Cina


 Pelantun lagu Setia iaitu Elizabeth Tan tidak melihat dirinya sebagai rujukan terbaik apabila ada artis berbangsa Cina cuba mencipta nama dalam pasaran industri hiburan Melayu di negara ini.

Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, 23, sebaliknya berkata, dia sendiri masih dalam proses belajar dalam memantapkan kemahiran bahasa Malaysia selain cuba memperluaskan lagi pengaruhnya sebagai penyanyi.

"Ada banyak lagi yang lebih berjaya berbanding diri saya jika ingin jadikan saya sebagai inspirasi contohnya Soo Wincci dan Jaclyn Victor.


"Saya sendiri masih baru dan perlu lebih banyak belajar tambahan pula penguasaan bahasa Malaysia saya pun masih sederhana.


"Tetapi mungkin ada menjadikan saya sebagai inspirasi kerana melihat perjalanan karier saya cepat apabila terlebih dahulu dikenali menerusi YouTube," katanya pada sidang media program kartun Elena of Avalor di Publika di sini, Khamis.

 Lizzy diminta mengulas kenyataan pelakon Suri Hati Mr Pilot iaitu Alvin Chong yang menjadikannya sebagai inspirasi untuk cuba mengembangkan karier nyanyiannya dalam bahasa Malaysia.

Dalam pada itu Lizzy turut dipilih menyanyikan lagu tema kartun berkenaan berjudul My Time dalam versi Bahasa Malaysia.

Elena of Avalor bakal menemui penonton bermula 13 November ini pada setiap hari Ahad, pukul 11 pagi di saluran Disney (Astro 615).

Sementara itu sebagai penyanyi bukan Melayu dia  menyokong penuh sekiranya ada bangsa lain yang ingin mencuba membina karier mereka dalam pasaran Melayu.

Kata Lizzy, tidak salah sekiranya mencuba selain sentiasa mengambil pandangan dan kritikan peminat sebagai semangat untuk memperbaiki diri.

"Dengan teknologi hari ini pelbagai platform yang ada untuk sesiapa sahaja menyerlahkan bakat mereka.

"Pada saya, YouTube antara  medium berkesan untuk menunjukkan bakat kita tetapi haruslah bersedia dengan kritikan.

"Anggap kritikan itu sebagai satu proses pembelajaran dalam menjadikan diri kita lebih baik dan selebihnya anda kena percaya dengan kebolehan diri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard