Foto Viral Jadi Guru Pelatih Buka Rezeki Puteri Aishah


 Bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2015/2016 iaitu Puteri Aishah tidak menyangka gambarnya ketika menjadi guru pelatih di sebuah sekolah rendah pada 2014 yang menjadi viral membuka rezekinya dalam bidang seni sebagai pelakon.

Aishah atau Puteri Aishah Sulaiman, 22, berkata, dia menganggap penyebaran gambarnya itu membawa tuah sejak mula serius dalam bidang lakonan akhir tahun lalu.


"Syukur Alhamdulillah walaupun gambar saya yang menjadi viral itu sudah dua tahun berlalu tetapi masih ramai mengingatinya malah ada yang tetap memanggil saya Cikgu Aishah.

"Peluang dalam bidang lakonan juga semakin banyak gara-gara gambar berkenaan namun saya tidak boleh sambil lewa kerana kepercayaan diberikan perlu saya galas dengan baik," katanya.

Gambar Aishah yang tersebar sebelum ini bertambah kecoh kononnya bapa seorang murid di sekolah tersebut mengirimkan surat cinta kepadanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, sebagai pendatang baharu banyak perkara yang perlu dipelajarinya dan dia masih terdapat kelemahan sebagai pelakon.

Aishah mendedahkan, dia pernah menangis gara-gara tidak dapat menzahirkan wataknya dengan baik selain berasa kekok ketika berada di set penggambaran.

"Saya masih ingat ketika itu saya berlakon dalam drama Akulah Balqis arahan Erma Fatima, saya menangis kerana tidak yakin dengan diri sendiri.

"Tetapi saya tetap diberi peluang selain mencuba sehabis baik kerana memikirkan kepercayaan diberikan oleh pengarah terhadap saya," katanya.

Dia turut mengambil kursus lakonan bersama pelakon terkenal, Fauziah Nawi bagi mempelajari ilmu bidang berkenaan.

Sementara itu, Aishah yang mempunyai Diploma Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) berkata, buat masa ini dia belum berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya kerana ingin memberi tumpuan kepada bidang seni terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard