Filem Terbaru Namewee Mengenai Pengalaman Di Kedai Kopi Datuknya

Namewee berharap penonton dapat melihat mesej tersirat di sebalik elemen gangsterisme dalam filem terbarunya, Hantu Gangster. - Foto AZMAN GHANI
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon kontroversi Namewee berkata tema gengsterisme dalam filem terbarunya Hantu Gangster bukan bertujuan memartabatkan elemen negatif itu tetapi sebahagian besarnya adalah berdasarkan pengalaman ketika datuknya menguruskan kedai kopi di Muar, Johor.
Ia juga ada kaitan dengan mesej perpaduan kaum di negara ini yang ingin ditonjolkannya.
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 29, berkata tema tersebut tidak buruk dan teruk seperti pandangan umum jika ia dinilai pada sisi berbeza kerana ia adalah simbolik kepada kelangsungan hidup manusia.
“Saya melihat gengsterisme sebagai asas kelangsungan hidup manusia. Saya sedar selama ini gengsterisme sinonim dengan elemen negatif dan tiada peradaban tetapi ia mempunyai sisi yang baik sebenarnya.
“Pada asalnya, konsep gengsterisme bertujuan melindungi kaum atau kumpulan tertentu tetapi kini ia menjadi lain kerana tujuan dan niat asal itu sudah diubahsuai kepada pergaduhan, buli dan pembunuhan,” katanya ketika ditemui pada tayangan previu filem itu di TGV Sunway Pyramid di sini.
Namewee berkata, dia mendapat ilham untuk mengetengahkan tema berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan datuknya di Muar, Johor.
“Saya dapat ilham filem ini daripada kisah sebenar hidup datuk saya. Ketika muda dulu, dia menjalankan perniagaan kedai kopi yang sering dikunjungi kumpulan-kumpulan gengster.
“Menurut cerita datuk, kumpulan-kumpulan gengster ini wujud bagi melindungi kaum dan penduduk dan bukannya untuk menunjukkan kuasa atau bertindak jahat.
“Dalam filem ini, elemen itu hanyalah metafora atau simbolik kerana di sebaliknya saya mahu paparkan mesej perpaduan antara kaum,” katanya.
Namewee bersama barisan pelakon (dari kiri) Abu Bakar Assiddiq, Mizz Nina, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Farid Kamil, penerbit Fred Chong, Amber Chia dan Dennis Lau.
Ditanya mengenai tekanan dan harapan terhadap filem kedua arahannya itu, Namewee berkata dia tidak peduli mengenai reaksi dan persepsi masyarakat tetapi berharap filem ini diterima baik apabila ditayangkan bermula 9 Ogos depan.
“Saya sudah tidak kisah dengan apa juga persepsi orang. Sejak kontroversi yang tercetus sebelum ini, saya seperti sudah terbiasa dengan reaksi orang pada saya.
“Apa yang saya harapkan, masyarakat memahami mesej yang diselitkan dalam filem ini,” katanya.
Hantu Gangster yang berlatarkan bandar Klang, Selangor pada era 1990-an mengisahkan perbalahan tiga kumpulan samseng daripada tiga kaum berbeza.
Tiga kumpulan ini yang hidup harmoni dan saling menghormati pada zaman bapa mereka bertukar menjadi musuh pada era anak masing-masing kerana konflik dan kepentingan peribadi.
Selain Namewee sendiri, filem ini turut dibintangi Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam.
Ia terbitan Prodigee Media Entertainment dan bakal ditayangkan pada 9 Ogos depan bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya.
Filem pertamanya, Nasi Lemak 2.0 yang ditayangkan pada 8 September 2011 berjaya mencatat kutipan sebanyak RM7 juta.
Sebelum ini, Namewee menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menghina negara melalui lagu Negaraku. Kes itu bagaimanapun ditutup selepas pihak polis berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard