PETALING JAYA: Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman berasa terkilan dan kecewa dengan dakwaan terbaru yang mengatakan keintimannya dengan seorang lelaki muda menjadi punca perceraiannya dengan Jalani Sidek pada 27 Jun lalu.
Raja Azmi, 53, berkata, tuduhan yang tidak berasas itu membuatkan dia berasa bersyukur dengan perceraian itu kerana tidak sanggup terus memalukan nama baik bekas suaminya dengan kontroversi yang silih berganti.
“Inilah (gosip) yang menyedihkan saya. Baru saja bergelar janda tidak sampai seminggu sudah timbul pula cerita saya menjalinkan hubungan dengan lelaki muda. Saya ini seolah-olah sudah dilabelkan sebagai wanita yang tidak lekang kontroversi.
“Dulu, orang kaitkan saya dengan Roslin Hashim, kini timbul pula cerita saya ada anak ikan (lelaki muda) pula. Bila difikirkan, ada baiknya juga bercerai. Saya tidak sanggup lagi dengar orang tuduh Jalani sebagai suami yang dayus,” katanya.
Bercerita lanjut, Raja Azmi berkata keintimannya dengan lelaki muda sejak beberapa bulan lalu bukan atas dasar peribadi tetapi untuk menilai beberapa calon bagi filem akan datangnya berjudul Anak Ikan.
“Memang saya rapat dengan lelaki muda yang orang gelarkan ‘anak ikan’ tetapi bukan seorang, ada dua dan tiga orang lagi. Mereka adalah orang baru yang mahu mencari peluang dalam bidang ini.
“Saya bakal menerbitkan filem baru sebab itu saya rapat dengan mereka. Saya mahu menilai potensi dan keserasian mereka untuk projek itu.
"Malah, salah seorangnya akan muncul dalam telefilem terbaru terbitan syarikat saya untuk Aidiladha nanti,” luahnya yang pernah dikaitkan dengan aktor filem ...Dalam Botol iaitu Wan Raja ketika filem itu hendak diterbitkan pada 2009.
Mengenai perkembangan kerjaya, Raja Azmi berkata tumpuannya kini terarah kepada penerbitan drama untuk televisyen kerana banyak filem yang sudah siap masih menantikan slot tayangan dan kutipan kebanyakan filem juga kurang memberangsangkan.
“Pada waktu ini, terlalu banyak filem yang sudah siap tetapi belum dapat slot tayangan. Majoriti filem yang ditayangkan kini juga kerana mendapat sambutan. Lebih baik saya alihkan tumpuan pada penerbitan drama dan telefilem.
“Kini, penerbitan drama dan filem adalah di bawah syarikat produksi baru, Akid Production yang ditubuhkan sejak awal tahun. Manakala, syarikat Pengedaran JAS pula menumpukan pada penerbitan buku dan komik.
“Syarikat saya baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Aidiladha Baitulmaqdisuntuk RTM atau Astro. Selepas Hari Raya nanti, saya akan mulakan sebuah lagi telefilem di Bali, Indonesia. Kalau tiada aral, penggambaran filem Anak Ikan akan menyusul pada hujung tahun,” jelasnya.
Raja Azmi dan Jalani atau Mohamed Jalani Mohamad Sidek, 49, bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin pada pukul 3.25 petang di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini, 27 Jun lalu.
Pasangan itu mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.
Hasil perkahwinan selama 28 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.
Mereka juga memiliki seorang cucu yang berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya dan pengarah filem, Mohd Shadan Hashim.
- ---
No comments:
Post a Comment