PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menolak andaian kononnya dia sedang mengalami fasa kejatuhan sehingga menyebabkan filem lakonannya iaitu Aku, Kau dan Dia yang ditayangkan pada 28 Jun lalu gagal mendapat sambutan penonton.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, gosip negatif yang melandanya sejak kebelakangan ini bukan menjadi punca sesebuah karya itu merudum sebaliknya ia adalah trend yang sedang melanda industri perfileman negara ketika ini.
“Saya belum jatuh. Sambutan yang kurang terhadap filem bukan hanya berlaku terhjadap filem lakonan saya tetapi filem-filem lain juga pada tahun ini,” katanya di sini, Isnin.
Remy diminta mengulas khabar angin kononnya peminat sudah tidak teruja dengan kehadirannya berikutan pelbagai gosip buruk melanda dia sejak kebelakangan ini sehingga memberi kesan terhadap kutipan filem Aku, Kau dan Dia.
Mengikut rekod yang dicatatkan Finas sehingga 9 Julai lalu, filem berkenaan mencatat kutipan kasar sebanyak RM150,000.
Remy berkata, sejak awal tahun ini, tidak banyak filem yang ditayangkan mencatatkan kutipan tinggi.
Katanya, faktor kejatuhan seperti yang diperkatakan itu adalah tidak benar sama sekali kerana sehingga kini dia masih mendapat banyak tawaran berlakon.
“Saya tidak merasakan yang saya sedang berada pada zaman kejatuhan tetapi kutipan yang tidak menggalakkan itu adalah berpunca daripada sebab-sebab lain,” katanya.
Tambah Remy, kebanyakan syarikat produksi juga sukar untuk membuat ramalan apakah genre yang diminati oleh orang ramai agar filem yang dihasilkan itu mencapai kutipanboxoffice.
Sementara itu ditanya adakah dia bakal kehilangan peminat berikutan percintaannya dengan Tiz Zaqyah, Remy memberitahu dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar.
“Peminat sudah boleh terima kisah cinta seseorang artis itu dan setakat ini ramai yang memberi sokongan. Apa yang penting kami tidak menyembunyikan hubungan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment