Wan Shades Tetap Saman Blogger

Wan (Shades) dalam satu sidang media bagi menjelaskan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah blog hiburan yang dikatakan memfitnahnya baru-baru ini.
PETALING JAYA: Bekas penyanyi kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd Ali atau Wan (Shades) akan meneruskan niatnya untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah blog hiburan yang didakwa telah memfitnahnya sebagai suspek kes rogol anak tiri.
Wan berkata, dia meneruskan tindakan itu kerana ingin memberi pengajaran kepada pihak tersebut dan mana-mana pemilik laman blog supaya lebih berhati-hati ketika menulis sesuatu selain lebih beretika.
"Tindakan membawa kes itu ke mahkamah adalah semata-mata untuk memberi pengajaran kepada semua “blogger” di Malaysia yang kadang-kadang terlupa mereka bukan wartawan bertauliah dan tidak mengambil peduli tentang etika dalam penulisan.
"Saman ini adalah untuk memberitahu mereka walaupun berada dalam medium media bebas, itu tidak bererti mereka boleh menulis sesuka hati tanpa mengikut etika yang betul sehingga boleh mengaibkan ramai pihak," katanya.
Wan yang popular dengan lagu “Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal” ketika bersama Shades mendakwa difitnah apabila sebuah blog hiburan menyiarkan laporan tidak beretika dengan tajuk 'Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol Anak Tiri Selama Tujuh Tahun?' pada 20 Februari lalu.
Tajuk berkenaan menurut Wan telah mencemarkan maruahnya sebagai seorang selebriti dan kedudukannya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia, dekat sini.
Dalam pada itu, Wan memberitahu dia telah bersemuka dengan pemilik blog berkenaan ketika dipertemukan dalam sebuah rakaman program berjudul Awal Lagi untuk siaran TV9 baru-baru ini.
Katanya pihak blog berkenaan telah memohon maaf kepadanya secara terbuka dan dia menerima permohonan maaf tersebut dengan ikhlas.
"Saya sebelum ini telah memberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf tetapi mereka langsung tiada inisiatif untuk berbuat demikian tetapi saya tetap maafkan.
"Apabila “blogger” berkenaan menghulurkan kata maaf secara berdepan, kita sebagai seorang Islam kena terima dan saya telah memaafkan mereka tetapi dari segi kerjaya saya akan meneruskan saman terhadap pihak tersebut," ujarnya.
Bagaimanapun Wan berkata, dia agak kecewa apabila pihak tersebut seperti tidak mengambil serius terhadap isu itu seolah-olah tiada apa yang berlaku sebaliknya permohonan maaf itu hanyalah sekadar di depan kamera.
Sementara itu, Wan menafikan tindakannya itu adalah kerana ingin mencari publisiti selepas beberapa tahun menyepi dari dunia hiburan.
Ujar Wan, dia tidak perlu berbuat demikian kerana yakin namanya masih dikenali oleh peminat muzik tempatan.
"Ini bukan satu publisiti untuk menaikkan nama kerana peminat masih kenal siapa saya dan tidak perlu bukan gimik seperti ini kerana masih banyak cara lain yang boleh dibuat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan sedang dalam proses menghasilkan single solo pertamanya untuk para peminat sebelum menyusul dengan album baru.
"Insya-Allah semuanya sedang dalam proses dan jika tiada halangan pasti sebuah singlebaru solo saya akan berada di pasaran," katanya.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard