Beego ada masalah rumahtangga??

IKATAN perkahwinan yang dibina belum pun mencecah empat bulan usianya. Namun gelodak rumah tangganya bagai tidak boleh disembunyikan lagi apabila semakin banyak diperkatakan orang.

Apatah lagi bila kisah itu dihidu pihak media, memang tak senang duduk jadinya yang empunya diri.

Bekas anggota kumpulan Phynne Ballerz, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah bernikahi dengan isterinya Intan Shahira Mohd. Shahru pada 28 Disember 2007.

Namun akhir-akhir ini heboh desas-desus mengatakan sudah ada masalah dalam rumahtangga yang baru dibina itu.

Kononnya ada retak yang menanti belah dalam perkahwinan dua anak muda yang menganyam benang cinta selama hampir satu dekad itu.

Yang menjadi tanda tanya orang, bercinta sekian lama kenapa keindahan perkahwinan hanya seketika cuma?

Ditanya tentang persoalan berkenaan dan rumahtangganya yang dikatakan bergolak, Beego enggan mengulas terlalu banyak. Apa yang dia mahu katakan hanyalah "Tunggulah. Segalanya akan diselesaikan tidak lama lagi," kata Beego kepada media ketika ditemui dengan nada penuh rahsia.

Melihat jauh ke dalam diri Beego, ada rasa kasihan yang bertamu di dada. Sehebat ini cabaran perkahwinan rupa-rupanya tetapi Beego masih mampu untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.


BEEGO kelihatan sedikit kurus dan cengkung kala pertemuan terbarunya dengan media kelmarin.


Tidak kurang juga khabar yang disebar merata kononnya punca permasalahan itu ekoran daripada kasih sayang yang tidak ikhlas.

Beego dituduh mengahwini isterinya semata-mata kerana harta, bukan berteraskan kasih sayang yang sejati. Teruk benar tuduhan itu dan Beego sendiri mengaku dia agak terkesima dengan pelbagai tuduhan tidak berasas itu.

Sudah pastinya dia menolak dakwaan itu sekeras-kerasnya.

"Ini saya nak betulkan fakta yang salah. Saya berkahwin dengan isteri saya bukan kerana harta. Kami sudah kenal hampir sembilan tahun.

"Waktu itu umur baru belasan tahun, mana fikir soal harta lagi? Saya pun tak tahu kenapa perkara ini dihebohkan orang. Itu semua fitnah!" tegas Beego. Masih dengan emosi yang cukup tenang, Beego meminta supaya media memahami keadaan dirinya dan tidak diasak dengan persoalan yang lebih bersifat peribadi.

Masih suami isteri

Pun sudah semulajadi tugas media untuk mengkhabarkan perkembangan terbaru artis, mahu juga bertanya apakah benar bagai dikata yang rumahtangga mereka menuju sedang kehancuran?


PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta setelah sembilan tahun bercinta.


Beego tidak mahu menjawab soalan berkenaan sebaliknya memilih untuk bercerita secara 'kawan-kawan' sahaja, bukan untuk dipaparkan di media.

Pun katanya, sehingga ke hari di temu bual, Selasa lepas, dia masih lagi suami yang sah kepada wanita berkenaan.

Jejaka berusia 28 tahun ini yang mula popular dengan drama bersiri Puteri ini menjelaskan dia dan isterinya saat ini kekal sebagai pasangan suami isteri, bukan seperti yang dilaporkan.

"Yang boleh saya katakan, kami masih lagi suami isteri. Orang tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi antara kami. Mereka tidak kenal isteri saya, mereka senang sahaja hendak memfitnah dia dan saya tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Pada saya mereka yang suka mengata macam-macam ini tidak lebih hanya membuat dosa. Biarlah kami menyelesaikan masalah kami dengan tenang" tegasnya lagi.

Banyak cerita fitnah

Apa pun jelas Beego impak daripada isu rumah tangganya menjadi perhatian media, ia nyata telah mengguris naluri kelelakiannya.

Sebagai insan seni Beego tahu dia tidak mampu untuk menangkis segala kata-kata fitnah yang bertebaran tentang dirinya dan isteri.

"Saya sedih dan marah sebenarnya. Sebab banyak cerita yang dilaporkan terutamanya di internet semuanya tidak betul sama sekali.

"Namun, banyak mana pun saya cakap mereka masih nak mengata buruk tentang saya, terpulanglah," katanya lagi yang ditemui pada majlis Astro MegaDrama di Cathay Cineleisure, Damansara kelmarin.


BEEGO dan isteri di hari bersejarah mereka pada Disember lalu.


Dihalau Aziz M. Osman

Walaupun dilanda masalah peribadi, pintu rezeki Beego nyata masih terbuka luas. Buktinya, drama bersiri lakonannya yang berjudul Bicara Cinta bakal ditayangkan di Astro Prima bermula 7 Mei ini.

Digandingkan bersama Fazura, Zizie Izzette dan Aqasha, Beego memberitahu drama ini berlainan dengan drama lakonannya sebelum ini. Ini kerana ia adalah drama pertama yang dilakonkan bukan dengan arahan Aziz M.Osman tetapi oleh Rashid Sibir

"Orang mengenali saya menerusi drama Puteri. Mungkin kerana saya terlalu lama bersama Aziz sebab itu orang lain takut hendak beri tawaran kepada saya seolah-olah saya ada kontrak pula dengan Aziz.

"Sampai Aziz sendiri halau saya untuk cuba keluar daripada drama arahannya kerana ingin memberi peluang lain buat saya. Syukur Alhamdulillah, kemudiannya saya menerima tawaran daripada Rashid pula," ujarnya.

Menurut Beego lagi, selepas ini banyak lagi projek drama yang menanti, antaranya drama berjudul Exora juga lakonan bersama Fazura.

"Kalau dalam drama Bicara Cinta, Fazura heroin kepada Aqasha tetapi untuk Exora dia menjadi heroin saya pula," seloroh Beego.

Tambahnya lagi, pengalaman berlakon di bawah pengarah seperti Rashid Sibir memberinya satu pengalaman yang cukup berguna dan berharap drama ini akan diterima ramai.

"Biasanya drama arahan Rashid pasti mengalirkan air mata. Dan drama ini memang ada elemen itu cuma apa yang lain itu kenalah nantikan tayangannya," bicaranya.


KENANGAN pada majlis resepsi meriah yang dihadiri banyak rakan artis.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard