Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Labels: ,

Dato Siti tidak lupa doa dapat anak



BARU sahaja balik daripada bercuti menyambut hari jadi di Morocco, Marakesh dan Dubai bersama suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 13 Januari lalu, Siti Nurhaliza Tarudin dikejutkan dengan berita daripada sebuah agensi berita mengenai tawaran berlakon untuknya dalam sebuah produksi filem Indonesia yang berjudul Kekuatan Cinta. Agensi berita tersebut melaporkan sebuah syarikat penerbitan filem Indonesia berminat untuk mengambil Siti berlakon di dalam naskhah terbaharu mereka.
Malah, syarikat berkenaan sangat senang untuk menggandingkan Siti bersama pelakon Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo di dalam filem itu.
Begitupun, Siti sendiri tidak tahu mengenai tawaran tersebut dan tidak menerima sebarang tawaran rasmi melalui syarikat terbabit. Apatah lagi, menyatakan persetujuan untuk berlakon di dalam filem itu.
"Siti tahu tawaran syarikat itu pun daripada laporan secara atas talian. Siti tidak anggap berita tersebut sebagai tawaran. Mungkin syarikat produksi itu baru berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filemnya," kata Siti yang anggun dalam busana Marakesh ketika ditemui selepas sidang media majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al-Amin Siti Nurhaliza bersama Rabbani di Cyberview Lodge & Spa, Cyberjaya.


Memang sukar untuk Siti menentukan jawapan selagi tawaran rasmi tidak dibuat oleh pihak syarikat terbabit. Tegas Siti, walau bagaimanapun dia tetap memperhalusi tawaran yang diterimanya sebelum memberi persetujuan berlakon di dalam filem itu.
"Kalau dilihat dari barisan pelakonnya memang cerita itu kelihatan menarik. Siti ada gambaran bahawa filem itu besar kerana ia menggabungkan pelakon Indonesia dan Malaysia. Tetapi, selagi tidak ada sebarang tawaran rasmi daripada syarikat itu Siti tidak berani nak cakap terima atau tidak," ujarnya kelihatan gembira menyambut ulang tahun di negara yang diminati sekali gus percutian tersebut merupakan bulan madu kedua Siti selepas berkahwin.

KEMBARA di bumi Marakesh membawa Siti singgah ke Gunung Atlas.


Mengorek cerita di sebalik percutiannya, Siti mengaku begitu seronok dan teruja melawat ke negara yang belum pernah dikunjunginya. Malah, paling mempesonakan bagi Siti merupakan negara Marakesh.
"Marakesh memang cantik. Walaupun warna bangunan yang digunakan kebanyakannya hijau dan batu-bata sahaja tetapi ukiran dalamnya memang menakjubkan. Siti juga sangat teruja dapat menikmati makan malam di puncak Burj Khalifa pada tanggal 11 Januari," luahnya yang memberitahu, Datuk K turut memberi hadiah lain sempena hari jadinya tetapi enggan mendedahkannya kepada media.
Anak
Siti turut ditanya mengenai cahaya mata memandangkan penyanyi tersohor itu sudah berkahwin selama enam tahun.
"Siti memang merancang untuk memiliki anak sejak awal perkahwinan lagi tetapi sehingga sekarang masih belum ada rezeki menimang cahaya mata. Kita cuma merancang tetapi perancangan Allah itu lagi hebat. Rezeki di tangan Dia. Mungkin satu hari nanti Siti dikurniakan zuriat.
"Mungkin juga ada hikmah Allah melambatkan Siti untuk mendapat anak. Mungkin Dia mahu Siti sesuaikan dulu kehidupan bersama suami dan anak-anak suami atau mungkin Allah mahu Siti melaksanakan kerja-kerja Siti yang masih tertangguh. Jika sudah ada anak nanti perhatian akan beralih kepadanya pula," katanya yang sentiasa berdoa kepada Allah memohon zuriat sendiri selain mengaku turut berusaha untuk memperoleh zuriat.

SITI amat mengagumi seni reka bangunan di Marakesh.


Tanpa berselindung Siti juga mengaku, biarpun tanpa kehadiran cahaya mata, Datuk K menatangnya bagai minyak yang penuh. Tuturnya, sejak di awal perkahwinan sehingga usia perkahwinannya mencecah enam tahun layanan Datuk K terhadapnya tidak pernah berubah. Siti sentiasa dimanja dan dibelai suami. Selain belaian suami dan kesibukannya dalam menguruskan kerjaya nyanyian mahupun syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP) miliknya tidak timbul rasa sunyi dalam hidup Siti.
Dalam perkembangan lain, Siti turut berkongsi mengenai produk terbaharu Simply Siti keluaran syarikatnya.
Selain kosmetik kini Simply Siti juga mengeluarkan produk penjagaan kulit. Produk yang menggunakan pelan endorfin dan mengandungi stem sel serta advance hidrohalogen itu dikeluarkan menerusi lima produk iaitu pelembab, krim mata, serum, skrub dan topeng muka.
"Produk ini sudah dilakukan ujian ke atas beberapa wanita dan ia memang memberi kesan beberapa minggu selepas memakainya. Ia dapat mengurangkan kedutan, mencerahkan kulit dan memberi seri pada wajah," ujarnya yang turut bakal mengeluarkan tiga pewangi jenama Siti Nurhaliza selepas kelima-lima produk penjagaan kulit itu dipasarkan pada bulan Februari ini.

No comments:

Post a Comment

 
Gosip Artis Malaysia © 2012 | Designed by Canvas Art, in collaboration with Business Listings , Radio stations and Corporate Office Headquarters