Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, cakap-cakap kurang enak mengenai hubungannya dengan Miera timbul apabila dia mengambil keputusan memecat pembantunya itu baru-baru ini.
"Hubungan saya dan Miera sebelum ini dalam keadaan baik malah kami merancang untuk berkahwin tetapi masalah timbul apabila saya memecat bekas pembantu peribadi kerana tidak tahan dengan sikapnya yang malas bekerja.
"Kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saya itu, dia telah menfitnah saya dengan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan Miera termakan dengan kata-katanya," ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya, ketika kejadian dia tidak berada di tanah air kerana sedang menjalani penggambaran di Australia dan hanya mengetahui mengenai kekecohan itu sekembalinya dia ke sini.
"Saya terkejut apabila mendengar pelbagai cerita buruk mengenai diri saya sehingga tidak tahu sebab sebenar Miera marahkan saya.
"Namun setelah berjumpa dan bercakap dengannya barulah saya mendapat tahu punca sebenar," katanya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia telah bersemuka dengan bekas pembantunya itu dan individu tersebut mengakui telah menfitnah dirinya kerana marah dipecat.
Shahrizal memberitahu, dia kecewa apabila seseorang yang pernah dia percaya dan bantu ketika dalam kesusahan telah melakukan perkara sedemikian kepadanya.
"Dia adalah seorang bekas banduan dan tiada siapa yang ingin mengambilnya bekerja. Saya telah memberinya peluang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa dia boleh berdikari selepas keluar daripada penjara.
"Saya langsung tidak sangka tindakan saya itu telah menyebabkan dia menikam saya dengan cara yang paling dashyat," ujarnnya.
Sementara itu, Shahrizal berkata, ekoran pelbagai dakwaan termasuk mengatakan dirinya seorang kaki perempuan telah menyebabkan kekasihnya itu merajuk dengannya gara-gara termakan kata-kata bekas pembantu peribadinya itu.
Ujarnya, sikap Miera yang mudah terguris dan merajuk ditambah dengan hasutan daripada rakan-rakan yang menyuruh dia meninggalkan dirinya telah menyebabkan kes berkenaan bertambah parah.
"Sehingga kini dia masih merajuk dengan saya dan mahu dipujuk. Saya juga telah menjelaskan tentang kedudukan sebenar tetapi dia belum menerima sepenuhnya.
"Apa yang boleh saya katakan walaupun kami tidak putus tetapi hubungan kami berada di tahap yang agak sukar dan kami masing-masing sedang memperbaikinya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizal memberitahu dia tidak berhasrat untuk mencari pembantu peribadi baru kerana lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri.
"Masa ada pembantu dulu pun semua perkara saya lakukan sendiri tanpa mengharapkannya jadi rasanya ia akan kekal begitu," katanya.
No comments:
Post a Comment