IBU kepada pelakon sensasi Fasha Sandha, Hatijah Tehman, 49, akur dengan keputusan anaknya memilih Rizal Ashram Ramli, 35, selepas melihat kesungguhan mereka mempertahankan hubungan yang sudah beberapa kali dilanda badai.
“Memang Mama tidak buat apa-apa persediaan sebab Fasha tidak mahu menyusahkan Mama. Dia mahu menguruskan semuanya, kita ikut saja. Bagi Mama apa yang baik bagi dia baiklah kepada keluarga.
“Biarlah dia mengecap bahagia. Dalam soal jodoh, kalau itu yang ditentukan-Nya, kita terima saja,” kata Hatijah yang membahasakan dirinya Mama.
Selain ibu, finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 turut diiringi pengurus peribadinya, Nik Yasmin Nik Abd Rahman, pada lawatan empat hari tiga malam itu. Artis lain ialah Nabil Ahmad dan Black.
Walaupun Bandung dianggap menjadi syurga beli-belah, terutama buat bakal pengantin, mereka bertiga dilihat sekadar meninjau, sekali gus tidak menunjukkan tanda-tanda membeli barang hantaran.
Ditanya perasaannya mengenai desas-desus lokasi pernikahan di luar negara, Mama hanya mampu menahan sebak, malah tanpa berselindung turut menangis apabila cerita berhubung perkahwinan anaknya itu seperti ditokok-tambah.
“Terus-terang memang Mama sedih sangat sehingga menangis apabila terbaca di akhbar yang Fasha akan berkahwin di luar negara, tanpa mengundang kedua-dua belah pihak.
“Hati orang tua mana yang tidak sedih apabila anak kesayangan ditohmah dengan membelakangkan kita, lebih-lebih lagi hubungan kami memang rapat sebelum ini.
“Namun Fasha tetap memujuk Mama yang khabar itu tidak benar belaka. Fasha dan Jejai juga berterus-terang mereka tetap tidak akan membelakangkan keluarga. Mereka juga ada meminta restui kami,” katanya.
Hatijah menegaskan, dia tidak mengharapkan perkahwinan Fasha nanti dijalankan secara besar-besaran kerana bimbang jika segala perancangan gagal.
“Mama tidak menggalakkan mereka mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran. Tak payahlah seperti ‘wedding of the year’. Mama mahu segala yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa masalah.
“Namun, Mama juga mahu perkahwinan Fasha nanti turut diadakan di kampung halamannya di Perlis,” katanya.
Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan, Hatijah tetap menerima tempias apabila anaknya dilanda pelbagai kontroversi sejak bergelar artis, tujuh tahun lalu.
“Memang Mama tidak nafikan kadang-kadang tertekan dengan gosip yang tidak berasas, seolah-olah mereka sengaja mahu mengaibkan kami sekeluarga. Ada penulis langsung tidak mengambil kira perasaan keluarga Fasha apabila mereka membuat sesuatu laporan.
“Lebih-lebih lagi sampai ada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah untuk memburuk-burukkan kami sekeluarga. Mama harap dengan perkahwinan mereka, semuanya akan berhenti di situ dan Mama reda untuk melepaskan tanggungjawab Mama pikul selama ini kepada pilihan hatinya.
“Nasihat Mama agar pilihan Fasha itu (Jejai) dapat membimbing dan membahagiakannya kerana itulah yang sentiasa diharapkan mana-mana ibu di dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment