Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan penulis lirik, Budi Hekayat, nyanyian oleh Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.
Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.
Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor).
Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).
Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Beribu Sesalan ciptaan Kevin Chin serta lirik oleh Tinta yang dinyanyikan oleh Tiga Suara (Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Ning Baizura) sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Karma ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Audi Mok nyanyian Faizal Tahir yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Alyah menerusi lagu Kisah Hati dengan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Persembahan 12 finalis AJL25 diadili seramai 30 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Johan Nawawi, Cat Farish, Ajai, Dimas (Hujan), Taja (Meet Uncle Hussein), Fauzi Marzuki dan Azmeer selaku ketua juri.
Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Sementara itu, bagi kategori yang baru diperkenalkan, Anugerah 'Juara Mobile'bagi mengiktiraf lagu yang mendapat muat turun Nada Dering Pemanggil (Call-Me-Tones) terbanyak menerusi The Cube dimenangi oleh lagu Sedetik Lebih, ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.
Pertandingan bertemakan air yang menterjemahkan simbolik aliran dan prestasi industri muzik tempatan itu dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail dan Cheryl Samad.
Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor Awie, Datuk Shiela majid dan Jamal Abdillah untuk persembahan pembukaan, manakala nyanyian Black, Azlan & The Typewriter dan Hazama pula pada segmen interlud dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Datuk Ramli MS.
No comments:
Post a Comment