Aidil disuruh fokus hal kahwin



KERATAN Kosmo! 19 Jun 2012.



PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
“Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa,” tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.
Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.
Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.
Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.
“Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa,” kata beliau.
Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.
Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.
Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.
Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.
Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.
Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard