Siti Saleha Dan Gajet Raya



TIGA tahun berada dalam industri membuatkan si gadis manis ini semakin matang untuk menempuh cabaran dalam arus industri seni tempatan.
Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum mengakui dia ingin dikenali kerana bakat yang dicurahkan dan bukan dengan kontroversi atau isu yang remeh dikaitkan dengan empunya diri.
Bicara gadis berusia 22 tahun ini juga, setelah namanya dikenali melalui drama Nora Elena yang menggabungkan dirinya dengan aktor sensasi, Aaron Aziz, dari situ dia mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat yang lebih serius dalam kariernya sebagai seorang pelakon.
"Tapi saya tidak mahu terus naik dan lama-kelamaan terus tenggelam. Jika boleh saya mahu kekalkan keseimbangan tersebut. Oleh itu, jika tidak muncul dalam drama, saya akan muncul di layar perak pula.
"Semestinya populariti itu sesuatu yang baik, namun perlu lihat juga dari segi apa. Saya mahu populariti meningkat dari segi bakat yang saya tampilkan dan bukan kontroversi atau isu remeh-temeh yang tidak berbaloi," tutur Saleha yang ditemui di set penggambaran telemovie Syawal, Aidil dan Fitri di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Aktiviti Ramadan
Walaupun ketika bulan Ramadan, Saleha masih aktif mengambil tawaran berlakon seperti biasa. Namun apa yang berbeza, dia memenuhi jadual di bulan Ramadan ini dengan banyak mengambil tawaran penggambaran telemovie serta program raya.
Antara telemovie sempena Ramadan yang melibatkan dirinya juga termasuklah Aku, Dia dan Tong Sampah yang bakal bersiaran di TV9.
"Sepanjang bulan Ramadan ini, saya banyak ambil tawaran berlakon telemovie memandangkan masa penggambaran yang singkat tidak seperti drama atau filem yang mengambil masa lebih lama.
"Jadi, saya banyak fokus kepada telemovie dan menghadiri sesi fotografi yang telah diatur. Selain itu, saya juga banyak menghadiri program berbuka puasa," tambahnya lagi.
Bagaimanapun, jika tidak terbabit dengan aktiviti bekerja, gadis kelahiran England ini pasti pulang ke rumah bapanya yang terletak di Klang, Selangor untuk berbuka serta bertarawih bersama keluarganya.
"Alhamdulillah, setakat hari ini, saya sudah sempat berbuka bersama keluarga dan melakukan solat tarawih memandangkan masjid hanya bertentangan dengan rumah," tutur Saleha lagi.
Menambah cerita mengenai kegemaran juadah berbukanya, bicara Saleha, dia jarang memasak. Jadi, antara menu juadah yang menjadi kegemaran Saleha ketika mengunjungi bazar Ramadan ialah nasi tomato, ayam percik, sate, rojak, murtabak serta air soya.
Aidilfitri dan teknologi
Sementara itu, menyentuh mengenai aktiviti Aidilfitrinya, saban tahun dia akan beraya di rumah bapanya serta rumah saudara-mara yang terletak di kawasan Lembah Kelang sahaja.
"Memandangkan saya tiada kampung, jadi saya hanya beraya di sini sahaja sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Namun, mungkin raya tahun ini berbeza, kerana pada 1 September ini, sepupu saya bakal melangsungkan perkahwinan di Terengganu. Mungkin juga kami akan ke sana, insya-Allah," cerita Saleha tentang jadual rayanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan raya, jawab Saleha, dia hanya mengamalkan kesederhanaan setiap kali menjelang Aidilfitri. Akuinya, dia bukan jenis yang perlu berbelanja besar untuk membeli barang atau pakaian baharu di musim perayaan.
"Saya bukan jenis yang semuanya perlu beli baharu, dan saya tidak kisah untuk memakai semula pakaian yang lepas. Kami sekeluarga begitu, sangat mudah. Begitu juga di rumah yang mana kuih-muih dan juadah banyak juga yang dibeli," katanya.
Namun cerita Saleha, walaupun mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja, suasana raya mereka sekeluarga sangat meriah memandangkan bapa Saleha mempunyai bilangan ahli keluarga yang sangat besar.
"Ayah saya ada 14 orang adik-beradik. Jadi, bayangkan jika hari raya pertama bila semua saudara-mara berkumpul termasuk sepupu-sepupu saya, memang meriah.
"Lagi bertambah meriah kini, kerana ada antara sepupu yang telah berkahwin dan telah melahirkan cahaya mata. Jadi, ia suasana yang pastinya sangat riuh rendah pada beberapa hari di awal Aidilfitri nanti," ucap Saleha penuh keterujaan.
Ditanya tentang perbezaan raya kini dan dahulu, dia memberitahu jika dahulu mereka sama-sama berkumpul dan bermain bunga api serta mercun sesama sepupu yang hadir, sayangnya budaya itu kini bagai sudah dilupakan.
Menurut pengamatan dirinya, generasi kini lebih gemar menghabiskan masa dengan teknologi seperti lebih banyak meluangkan masa bersama gajet yang mereka miliki.
"Selalunya, apabila saudara-mara datang ke rumah, yang muda pasti masuk ke dalam bilik dan membuat kerja masing-masing serta tidak berkomunikasi.
"Sebenarnya teknologi ini, ada baik dan buruknya. Seronok juga kadangkala kita melayan permainan di iPad mahupun di telefon bimbit kita, tapi, apa yang tidak baiknya, apabila kita melawat keluarga, dan yang muda ini, sedang bermain dengan gajet mereka.
"Tidak bagus juga, kerana pada saya jika ke rumah saudara, saya akan menghargai mereka dengan bersembang bersama. Ini kerana, setahun sekali kita dapat berkumpul dan berjumpa saudara-mara," cerita Saleha panjang lebar.
Bagaimanapun, apa yang pasti, apabila bersama sepupu-sepupunya, mengambil banyak gambar bersama keluarga dan saudara-mara merupakan satu perkara yang harus dilakukannya.
Katanya, itu kegunaan gajet yang dimiliki iaitu untuk merakam gambar kenangan bersama.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard