KHABAR tentang penderitaan akibat penyakit barah payudara yang sedang dialami pelakon senior, Maimon Mutalib, 54, mula hinggap di telinga ramai. Di sebalik keceriaan, senyuman serta lakonan yang membangkitkan emosi benci atau marah yang tersiar di kaca televisyen, Maimon yang lebih mudah dibahasakan Kak Mon itu rupa-rupanya sudah lebih setahun berjuang untuk melawan penyakit yang sangat digeruni kaum Hawa.
"Saya memang takut jarum, sebut perkataan hospital pun saya sudah seriau. Selama ini saya tidak pernah masuk hospital kecuali sewaktu hendak bersalin dahulu.
"Sudah setahun setengah saya tahu menghidap barah payudara, itu benda yang paling ditakuti. Saya sembunyikan daripada pengetahuan umum sebab gerun dan fikir macam-macam.
"Selama ini saya cuma elak ke hospital tapi berbagai-bagai usaha sudah dilakukan, daripada berubat kampung sehinggalah bertemu pengamal perubatan homeopati, apa yang orang kata bagus, semua saya buat," katanya saat dihubungi Sensasi Bintang untuk bertanyakan khabar yang sedang diperkatakan.
Dalam nada sedikit lemah, Maimon bercerita bahawa dia dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu berpunca daripada kekejangan yang dialami pada paha kiri. Pelik dengan situasi yang tidak pernah dialaminya itu sementelah badannya mulai lemah dan tidak mampu bergerak sendiri, dia dinasihatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Sebenarnya saya terjatuh dari tangga, selepas itu terus rasa kejang. Bila datang hospital, terus saya ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Bengkak di bahagian kiri payudara saya semakin menyakitkan apabila doktor buat macam-macam ujian. Rasa sebak pun ada, sampai mengalir air mata bila badan kita diuji-uji begitu, tapi nak buat macam mana.
"Sekarang ini ibaratnya 'serah diri' sahaja, saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya juga tak tahu sampai bila lagi saya akan duduk dalam wad hospital ini. Selepas ujian imbasan CT nanti kena tunggu keputusan untuk prosedur kemoterapi pula," katanya.
Ditanya tentang tahap kritikal barah yang dihidapi, cerita Maimon: "Ikut kata doktor, barah saya sekarang sudah masuk tahap ketiga. Doktor juga periksa kepala sebab syak barah sudah merebak ke anggota badan yang lain, tapi semuanya okey. Saya cuma berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan dan segera sembuh. Kalau diizinkan Allah, saya masih perlu bekerja untuk anak-anak yang masih bersekolah," luah Maimon yang berstatus balu sejak kematian suami, 15 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, Maimon hanya bergantung hidup kepada lakonan sebagai mata pencarian untuk membesarkan lima orang anak. Sepasang anak kembar, Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, yang juga anak bongsunya kini masih di Tingkatan Empat.
Anak keduanya, Surayatul Nadia, 32, pula tidak boleh bekerja kerana menghidap sakit buah pinggang. Maimon juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Surayatul Natasha yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan anak sulung, Kamarul Syahid, 34.
"Sudah dua-tiga bulan juga saya terpaksa tolak banyak tawaran sebab tak larat. Saya juga selalu dimarahi kawan-kawan dan anak-anak kerana berdegil tak mahu ke hospital. Saya tak suka, nanti bila masuk hospital akan jadi begini, semua orang tahu dan fikir yang bukan-bukan," katanya.
Baru muncul dengan filem Budak Pailang, Maimon juga pernah berlakon dalam filem Sumpahan Kum-Kum, Semerah Cinta Stilleto, Pensil, Hijab, Hantu Dalam Botol Kicap dan banyak lagi. Di kaca televisyen, mungkin sudah ratusan judul yang menampilkan wajah Maimon dengan variasi watak.
Sepanjang berada di hospital, Maimon turut dilawati rakan-rakan artis serta wakil daripada Persatuan Seniman.
-
---
No comments:
Post a Comment