Sepah 'hidup' dalam Sepah The Movie

BERPECAH kumpulan bukan alasan menjadikan Mamat, Shuib serta Jep (tiada dalam gambar) tidak mampu memberikan persembahan kelakar dalam filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan 29 November ini.

RIBUT pergeseran dan perpecahan kumpulan pelawak Sepah yang dianggotai Jep, Mamat dan Shuib sudah lama reda. Sepah meraih populariti apabila muncul sebagai juara pertandingan Raja Lawak musim ketiga sebelum menjulang pula trofi Maharaja Lawak musim pertama.
Seperti terbakar oleh glamor dan perhatian umum, perpecahan Sepah banyak memberikan impak. Selain penubuhan Sepahtu oleh Shuib dan Jep, Mamat yang terpinggir dan membawa haluan sendiri pula terheret dengan pelbagai kontroversi sehingga mendedahkan kepincangan grup komedi yang dikatakan pengganti kepada kumpulan lawak terkenal, Senario.
Konflik Mamat, Jep dan Sepah dikatakan belum berakhir walaupun mereka kembali bersepakat untuk menjayakan filem sulung Sepah The Movie pada hujung tahun lalu. Tanpa perlu berselindung, Shuib mendakwa itulah filem pertama dan terakhir membabitkan mereka bertiga.
Selain Mamat, Jep dan Shuib, filem terbitan PTV Film Productions itu turut dibintangi oleh Jehan Miskin, Yus (Jambu) dan Asrul dari Raja Lawak, Anzalna Nasir dan Ramona Qadri.
Hadir ke sesi fotografi tanpa Jep yang ada komitmen penggambaran sebuah drama di utara tanah air, Mamat dan Shuib menegaskan antara mereka bertiga, ikrar persahabatan Sepah tidak akan mati walaupun mereka sedang menggerakkan haluan secara berasingan.
Bagaimana hubungan kamu bertiga kini?
MAMAT (M): Provokasi dan berita yang digembar-gemburkan sebenarnya lebih besar daripada kisah sebenar perpecahan kami bertiga. Saya cuma bukan Sepahtu dan tidak boleh bergabung dengan Jep dan Shuib sebagai Sepahtu, tapi apabila projek itu dinamakan Sepah, kami masih berbaik. Saya boleh jamin, penonton tidak akan dapat mengesan sebarang kejanggalan kami dalam filem itu nanti.
SHUIB (S): Tapi dalam pada orang lihat kami bergaduh, kami sebenarnya boleh bekerja secara profesional. Kalau mahu tahu kami bergaduh atau tidak, tengoklah filem Sepah The Movie nanti.
Selain bahan komedi, apa tarikan yang dijanjikan oleh kalian terhadap filem itu?
M: Bagi saya filem ini satu keajaiban dunia. Kami menang Raja Lawak dan Maharaja Lawak, buat filem pula selepas berpecah. Filem ini sebuah nostalgia, hadiah untuk peminat yang undi kami selama ini walaupun banyak kontroversi tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara terhormat.
S: Aksi-aksi sukan motorcrosss semua kami lakonkan sendiri. Kalau dalam drama Bujang Sepah, kami digambarkan sebagai adik beradik, jadi ada hukum yang tak boleh dilanggar tapi dalam filem ini kami kawan dan kami guna nama sebenar. Sepah lebih 'hidup' dalam versi filem ini.
Secara peribadinya, bagaimana kalian melihat naik-turun kehidupan masing-masing?
M: Banyak cerita buruk tentang saya, lepas satu, kemudian satu lagi. Saya tahu dan itu semua menjejaskan mata pencarian saya. Sudah lama saya tiada tawaran berlakon, maruah saya jatuh dan keluarga di kampung juga terkena tempias. Tapi, saya tetap kena teruskan hidup. Nasib baik saya selalu dapat tawaran dari Singapura. Orang Singapura tidak ambil peduli tentang kontroversi saya.
S: Saya percaya hidup tak semuanya indah. Kami pernah berjanji untuk tidak berpecah, tapi akhirnya berpecah juga. Saya sebenarnya terkilan apabila ramai pihak di luar sana yang tidak puas-puas mahu mencari silap Mamat. Saya tidak tahu kenapa dia ditimpa nasib yang sebegitu, saya mendoakan yang terbaik untuk Mamat. Dalam keadaan tertentu, saya kena menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri, saya ada keluarga dan kena ada sasaran dalam karier.
Perkembangan terbaharu masing-masing?
M: Saya ada mulakan perniagaan kecil-kecilan berhampiran dengan Taman Tema Legoland yang baru dibuka di Johor. Alhamdulillah bisnes saya bagus.
S: Disember nanti saya akan mulakan penggambaran sebuah filem bersama Zul Yahya. Jadual saya sentiasa padat dan terbaharu, saya dilantik sebagai Duta Dobi Aqua Nano. Ia sebuah jenama kedai dobi yang diusahakan secara francais. Itu semua rezeki anak, Siti Sarah (isteri) kini sedang hamil anak kedua.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard