Nash Sedia Lepas Gelaran Duda

Nash mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya dan memberitahu perkenalan mereka telah berlangsung selama dua tahun.
KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil yang juga legenda rock, Nash (Lefthanded) sudah bersedia untuk mengakhiri zaman dudanya selepas mengalami dua kegagalan rumah tangga sebelum ini.
Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias, 53, bagaimanapun berkata, pada usianya sekarang dia perlu berhati-hati dalam membuat pilihan mengenai teman hidup supaya tidak mengulangi kesilapan lampau.
"Sejujurnya saya mahu berkahwin lagi kerana selain usia semakin meningkat saya juga perlukan seseorang yang saya cintai agar dapat menemani saya.
"Saat ini saya sudah bersedia ke arah itu malah merancang untuk mengakhiri zaman duda jika diizinkan Allah S.W.T.," ujarnya .
Nash juga mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya. Perkenalan mereka telah berlangsung selama dua tahun.
"Insya-Allah jika ada jodoh di antara kami ia pasti akan terjadi suatu hari nanti," ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kriteria yang dicari terhadap bakal isteri, Nash mengimpikan seorang wanita yang bukan sahaja mencintainya tetapi boleh menerima empat orang anaknya.
"Anak-anak adalah keutamaan saya dan berharap calon isteri saya nanti bukan sahaja boleh mencintai saya tetapi empat anak-anak saya," katanya.
Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22, Mohd Shameer Nasha, 16 dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14.
Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Nash merancang menghasilkan sebuah album solo untuk para peminatnya.
Nash berkata, dia akan menggunakan khidmat vokalis kumpulan Sweet Charity iaitu Ramli Sarip sebagai penerbit selain berduet dengan penyanyi legenda tersebut.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard